SETIAP kali kedatangan Ramadan dan menjelang perayaan, ada saja cerita mengenai ketiadaan bekalan barang keperluan tertentu terutama yang membabitkan penyediaan juadah berbuka puasa atau kuih raya. Entah sampai bila pesta naik harga pada Ramadan ini terus berpanjangan. Jika ditanya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), jawapan yang biasa didengar ialah kementerian akan bertindak tegas kepada peniaga ingkar yang menaikkan harga sesuka hati. Selepas gula sukar dicari di pasaran sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan pengguna, minyak masak paket satu kilogram pula sukar diperoleh. Terbaru, harga ayam naik mendadak kepada RM6 sekilogram berbanding RM5 hingga RM5.50 sebelum ini. Peniaga di beberapa pasar dikatakan terpaksa menaikkan harga ayam proses berikutan tindakan pemborong menaikkan harga. Pembekal pula memberi alasan kenaikan itu disebabkan peningkatan kos pengeluaran termasuk bahan makanan ayam terutama jagung. Penternak pula mendakwa mereka juga kerugian jika masih terikat dengan harga yang ditetapkan kerajaan.
Sementara peniaga, penternak dan pemborong bermain tarik tali, penggunalah menanggung beban kenaikan harga. Ayam adalah antara barang keperluan yang mendapat permintaan tinggi pada Ramadan dan musim perayaan. Kerana itu, kita kadang kala sangsi dengan alasan peniaga sama ada benar mereka kekurangan bekalan atau ia adalah helah untuk menekan kerajaan supaya bersetuju dengan kenaikan harga. Saranan kerajaan agar pengguna dan badan bukan kerajaan (NGO) melaporkan tindakan peniaga yang menaikkan harga barang adalah langkah baik. Namun, pengguna masih berharap agar pihak berkuasa memainkan peranan lebih tegas dan menjaga kepentingan mereka. Orang ramai kini dalam keadaan tertekan kerana semakin banyak barang keperluan naik harganya. Bagi mereka, usaha kementerian sekarang masih belum berkesan dalam menangani isu peniaga menaikkan harga barang keperluan. Mereka mahu kementerian bertindak lebih proaktif dalam menangani apa saja isu berkaitan kepenggunaan.
Sindrom kenaikan harga barang keperluan menjelang musim perayaan membuktikan bahawa kementerian berkenaan harus lebih tegas. Peniaga yang gagal mematuhi penetapan harga, misalnya perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 yang boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 atau dua tahun penjara serta kompaun sehingga RM7,500. KPDNHEP perlu cepat bertindak jika berlaku kenaikan harga sesuka hati, termasuk memantau barang bukan kawalan. Kenaikan harga barang adalah isu nasional kerana ia membabitkan keperluan rakyat. Sebarang kenaikan harga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna dan menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam memantau dan mengawal masalah berkenaan. Kebajikan pengguna perlu sentiasa dijaga dan peniaga yang menaikkan harga barang keperluan harus dikenakan tindakan. Kita percaya cara paling berkesan dalam menghadapi kenaikan harga barang ialah dengan mencari alternatif lain atau memulau peniaga itu. Pada zaman komunikasi serba canggih sekarang, bukan sukar untuk memberitahu sanak saudara atau sahabat handai mengenai kedai mana yang harus dikunjungi kerana harga murah dan premis mana yang perlu dielak kerana harga mahal. Sudah tiba masanya kita sebagai pengguna menggunakan hak kita untuk mengelak daripada berurusan dengan peniaga yang mengambil kesempatan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba, untuk menaikkan harga.
Berita Harian 14 September 2007