Ahad, 16 September 2007

Pesawat terhempas, putus dua ketika mendarat cemas di Lapangan Terbang Phuket


BANGKOK: Sebuah pesawat syarikat penerbangan tambang murah One-Two-Go Airlines, yang membawa 130 penumpang dan lima krew, terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, petang semalam menyebabkan 88 orang terbunuh.

Pegawai kanan lapangan terbang, Chaisak Chai-arkad, memberitahu stesen radio di sini, pesawat milik syarikat yang berpangkalan di Thailand itu terbabas dari landasan ketika mendarat cemas dalam cuaca buruk.

Katanya, angka awal menunjukkan 88 orang dalam pesawat jenis McDonnell Douglas MD-82 itu terbunuh manakala 42 lagi terselamat.

"Pesawat itu juga terputus dua sebaik terhempas dengan muncungnya terhumban lalu terbenam ke dalam tanah di kawasan hutang berhampiran manakala belakangnya terkandas di landasan.

"Jarak penglihatan agak terhad ketika juruterbang cuba mendarat. Dia cuba untuk terbang semula tetapi hilang keseimbangan dan terhempas menyebabkan pesawat terputus dua," kata pegawai Pihak Berkuasa Pengangkutan Thailand.

Kejadian berlaku ketika pesawat itu yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang di sini ke Phuket, cuba mendarat pada jam 3.40 petang dalam keadaan hujan lebat.

Gambar televisyen menunjukkan keadaan pesawat itu yang terbakar dan berasap dikelilingi jentera bomba dan pasukan penyelamat. Kira-kira separuh daripada penumpang pesawat itu dipercayai warga asing, kebanyakannya dari Eropah.

Sehingga malam semalam, daripada 42 orang yang disahkan terselamat, lapan ialah warga negara Britain, dua (Australia) manakala tujuh yang lain rakyat tempatan.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi di ibu negara semalam mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas itu.

"Kita sudah menghubungi Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Thailand dan selepas melihat senarai penumpang, pihak di sana mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang menaiki penerbangan itu," katanya.

Seorang penumpang, Nong Khaonual, warga Thailand yang terselamat bersama isterinya berkata, pesawat itu terlalu cepat menjunam ketika cuba mendarat.

"Pesawat mendarat ketika hujan. Ia mendarat terlalu laju. Saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini. Sejurus sebelum terhempas, kami rasa pesawat seperti cuba naik semula tetapi ia terbabas," katanya kepada krew televisyen di hospital.

Seorang lagi mangsa yang terselamat dari Ireland, yang hanya dikenali sebagai John berkata, pesawat itu memang ada masalah sebelum cuba mendarat.

"Anda tahu ia ada masalah. Pesawat itu berlegar sebelum cuba mendarat. Kami dengar bunyi kuat, jelaslah hujan lebat ketika itu. Pesawat itu terbakar tetapi saya dapat merangkak keluar. Saya mungkin keluar dari bahagian sayap," katanya kepada stesen televisyen ITV.

One-Two-Go Airlines adalah syarikat penerbangan tambang murah berpangkalan di Bangkok dan anak syarikat Orient Thai Airlines. Syarikat penerbangan itu memulakan operasi pada Disember 2003 dengan perkhidmatan antara Bangkok ke Chiang Mai.

Baru-baru ini syarikat itu menambah penerbangan dari Bangkok ke Phuket, dengan enam penerbangan sehari. Ia mempunyai lapan pesawat jenis McDonnell Douglas.

Sementara itu Penerbangan Malaysia (MAS) membatalkan penerbangan kedua dari Kuala Lumpur ke Phuket berikutan penutupan lapangan terbang itu. Seorang pegawai MAS memberitahu Bernama, pesawat MH790 dari Kuala Lumpur ke Phuket yang sepatutnya mendarat di Phuket pada 6.30 petang (7.30 petang waktu Malaysia), kembali semula ke Kuala Lumpur jam 7.35 petang.

Belia berkata, 67 penumpang yang sepatutnya terbang dari Phuket ke Kuala Lumpur dalam pesawat MH791 dibawa ke hotel dan akan diterbangkan hari ini selepas lapangan terbang berkenaan dibuka semula.

MAS menyediakan dua penerbangan untuk laluan ke Phuket dengan yang pertama berlepas dari Kuala Lumpur jam 9.30 pagi. Reuters/Bernama

Gambar dari BBC Online