KUCHING: Seorang saintis Jepun menemui spesies nyamuk dipercayai terkecil di dunia dengan saiz kurang dari satu milimeter di kawasan Tanah Tinggi Bario, bahagian utara Sarawak, selepas melakukan kajian lebih empat tahun di hutan hujan tropika negeri ini.
Dr Ichiro Miyagi, 71, pakar serangga dari negara matahari terbit itu bersama kumpulan penyelidik dari Muzium Sarawak, menemui spesies serangga berkenaan yang menjadikan mangkuk pokok periuk kera sebagai habitatnya dengan hanya keluar sesekali saja.
Beliau yang tiba di Kepulauan Borneo empat tahun lalu menjalankan penyelidikan mengenai serangga jenis 'topomyia' yang turut mendapat kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Dr Ichiro berkata, terdapat hampir 50 jenis serangga dari jenis 'topomyia' di seluruh dunia, namun dua spesies terkecil di dunia dari jenis 'Topomyia Napenthicola' dan 'Topomyia Lecharlesi' hanya dapat ditemui di kawasan Bario.
"Kedua-dua spesies serangga berkenaan ditemui ketika saya sedang menjalankan kajian di kawasan Bario dengan 'Topomyia Napenthicola' menjadikan mangkuk pokok periuk kera sebagai habitatnya.
"Ini adalah mengagumkan kerana nyamuk jarang menjadikan tumbuhan sebagai habitatnya kerana memerlukan sumber darah sebagai makanan utamanya," katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.
Dr Ichiro berkata, kajian awal mendapati serangga berkenaan tidak menghisap darah haiwan lain, sebaliknya menjadikan sumber alam yang lain sebagai makanannya.
"Serangga ini hanya hidup dan membiak dalam mangkuk pokok periuk kera tanpa bergantung kepada hidupan lain. Dengan saiznya yang tidak sampai satu milimeter, nyamuk ini adalah yang terkecil di dunia.
"Berbeza dengan spesies 'topomyia' lain, bahagian perut 'Topomiya Napenthicola' mempunyai warna perak berkilauan dengan anggota lainnya sama seperti nyamuk biasa.
"Saya sudah banyak membuat kajian mengenai serangga ini dan setakat ini 'topomyia' di Sarawak paling unik dan berbeza dari spesies lain di serata dunia," katanya.
Dr Ichiro turut dibantu oleh Kurator Muzium Sarawak, Dr Charles Leh, yang turut terbabit secara langsung dalam penyelidikan yang terarah kepada kajian taxonomy dan bionomics serangga kecil di dunia itu.
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
Berita Harian 17 September 2007