
LUDZIDZINI: Berpuluh ribu anak dara Swaziland menjerit sambil memperagakan tarian mendedahkan payu dara masing-masing di depan pemerintah negara itu dengan harapan dapat memikat hatinya untuk dijadikan isteri ke-14.
Upacara Umhlanga atau tarian buluh, yang berakhir semalam di kediaman diraja di Ludzidzini, adalah pameran tradisi negara dan amat dihargai dalam salah sebuah negara paling kecil di Afrika itu.
Pegawai mendakwa, 100,000 gadis dan wanita yang belum berkahwin, hampir 10 peratus dari keseluruhan penduduk, memberikan buluh yang baru dikerat kepada Ibu Ratu untuk bertindak sebagai penahan angin di sekitar kediamannya.
Sebagai sebahagian upacara itu, Raja Mswati III, raja terakhir negara itu, layak memilih pengantin perempuan baru di kalangan anak dara yang hadir di pesta itu untuk dijadikan isteri yang ke-14. Ia adalah penghormatan yang tidak boleh ditolak.
“Saya berbangga dengan budaya dan tarian buluh kami. Jika ada harga diri, anda boleh lakukannya untuk negara.
“Tarian ini membantu kami mengetahui siapa kami dan rakyat perlu menghormati Raja dan puteri. Dia raja yang hebat bagi kami,” kata Nothando Nhlengethwa, 21, yang bertindak sebagai Indvuna, atau ketua anak dara.
Bagaimanapun, tidak semua rakyat negara itu berperasaan sama dan kekecewaan semakin memuncak.
Kira-kira 70 peratus penduduk tinggal dalam kemiskinan, bertentangan dengan kekayaan dan kemewahan keluarga diraja.
Enam minggu lalu, negara itu menyaksikan mogok umum terbesar dalam masa sedekad yang menuntut, antaranya penubuhan pelbagai parti politik.
Parti politik diharamkan oleh bapa Raja Mswati, Sobhuza II, pada 1973 dengan alasan mereka berpecah belah, selepas tiga ahli Parlimen pembangkang dipilih.
Meskipun begitu, sukar untuk menilai sejauh mana penentangan dalaman terhadap pemerintahan raja di Swaziland, khususnya di luar bandar.
Peserta tarian melebihi sekumpulan pemogok beberapa minggu lalu sekalipun penentang raja mendakwa sesebuah keluarga tiada pilihan kecuali menghantar anak dara ke majlis itu kerana mereka boleh didenda seekor lembu jika tidak berbuat demikian. – Agensi