PASIR GUDANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan menggunakan sebahagian daripada RM3.2 bilion yang diperuntukkan melalui Bajet 2008 untuk membina kampus cawangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Pusat Giatmara di sini, awal tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata projek pembinaan kampus cawangan UniKL bernilai RM140 juta akan dimulakan awal tahun depan di kawasan seluas 40 hektar di Bandar Seri Alam.
“Semua urusan tender dan pemberian kontrak kerja sudah selesai, manakala Pusat Giatmara di Permas Jaya membabitkan kawasan seluas 1.6 hektar kini menunggu kelulusan pemberian kontrak kerja,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Kerja Jentera Pilihan Raya K-10, Gerak Mesra dan Perayu Undi, Wanita Umno bahagian Pasir Gudang di sini, semalam.
UniKL yang ditubuhkan pada 20 Ogos 2002 meletakkan matlamat melahirkan tenaga kerja berpengetahuan, berkemahiran, memiliki ciri keusahawanan dan kepemimpinan supaya dapat menyumbang ke arah pembangunan saintifik dan teknologi negara.
Universiti itu kini menawarkan satu program asas, diploma (35) dan ijazah sarjana muda (15) menerusi tujuh kampus cawangan dan dua institut di seluruh negara.
Mohamed Khaled berkata, projek pembinaan MRSM pertama di daerah Johor Bahru di kawasan seluas 20 hektar bersebelahan UniKL belum dimuktamadkan tetapi yakin dapat dimulakan tahun depan.
Mengenai bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat lalu, beliau berkata, ia memberi banyak kelebihan kepada masyarakat ramai.
"Kita dapat melihat bagaimana kerajaan memberi penekanan kepada soal pembangunan modal insan khususnya pendidikan menengah dan rendah diberikan secara percuma. Oleh itu, rakyat tidak mempunyai sebab rasa tertinggal atau tercicir memberi pendidikan kepada anak-anak mereka.
"Keputusan kerajaan itu amat penting kerana penyertaan rakyat dalam pembangunan hanya boleh berlaku jika mereka dibekalkan dengan ilmu. Jika pembangunan berlaku dan rakyat tidak dibekalkan dengan pendidikan dan kemahiran, mereka akan menjadi golongan yang tercicir,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, keputusan kerajaan melonggarkan pengeluaran caruman akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setiap bulan untuk membayar baki pinjaman perumahan, membolehkan rakyat membuat perancangan awal membeli rumah berkualiti, selain memilikinya sebelum umur persaraan.
Oleh Khirul Bahri Basaruddin
Berita Harian
10 September 2007