Ahad, 9 September 2007

Tak cukup tidur punca mati pucuk


CAIRNS: Masalah tidur kronik mampu mengurangkan syahwat lelaki dan menyebabkan mati pucuk, kata seorang penyelidik seks kepada persidangan tidur antarabangsa di Brazil.

Pakar kesihatan seksual Brazil, Profesor Monica Andersen, berkata gaya hidup moden menjejaskan waktu tidur dan memberi kesan buruk ke atas hubungan seks. Semakin banyak bukti menunjukkan mereka yang tidak cukup tidur kurang syahwat dan dalam kebanyakan kes, turut mengalami mati pucuk.

Di kalangan segelintir lelaki, kekurangan tidur mencetuskan keadaan jarang berlaku dan amat mengganggu yang digelar seks tidur atau sexsomnia, apabila syahwat memuncak dan memulakan seks ketika tidur.

“Tidak mendapatkan tidur mencukupi boleh merosakkan kehidupan seks lelaki tetapi ia tidak berlaku kepada semua orang,” kata Andersen, pensyarah di Universiti Persekutuan Sao Paolo.

Bercakap di persidangan itu, pakar melakarkan kaitan antara tidur dan seks.

Kajian membuktikan sesiapa yang mengalami masalah tidur, terutama dengan masalah jam tubuh terganggu, terbukti lebih lemah syahwat secara umum.

Rungutan sama didapati daripada lelaki yang mengalami masalah pernafasan waktu malam, yang memerlukan rawatan dengan tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP) untuk membantu memulihkan masalah mati pucuk mereka.

“Ini akibat buruk gaya hidup 24 jam sibuk yang kita hadapi sekarang. Jam tubuh kita tidak berfungsi, tidur bukan lagi keutamaan dan kehidupan seks terjejas,” katanya. – Agensi