LONDON: Semua bakal ibu akan menerima insentif berjumlah £120 (RM828) bagi menggalakkan mereka menggunakannya membeli buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai cara melindungi bayi daripada penyakit.
Perancangan bagi ‘kesihatan dalam kehamilan’ itu akan diumumkan oleh Setiausaha Kesihatan, Alan Johnson, minggu ini dalam ucapan pertamanya yang menggariskan bagaimana kerajaan berusaha menangani jurang kesihatan lebar antara golongan paling kaya dan paling miskin di England dan Wales.
Bayaran itu - pertama kali dilancarkan kerajaan yang berkaitan dengan sasaran kesihatan tertentu - akan diberikan kepada wanita sebaik usia kandungan mencecah tujuh bulan. Ia berkaitan dengan mereka mendapat nasihat mengenai cara mengekalkan diet seimbang.
Tindakan itu dibuat ketika rekod kerajaan mengenai memperbaiki kesihatan umum akan dinilai minggu ini apabila bekas penasihat kerajaan berhubung Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), Derek Wanless, menerbitkan laporan mengkritik kekurangan usaha menangani gaya hidup tidak sihat yang membawa kepada wabak kegemukan di Britain.
Laporan dijangka memberi tumpuan kepada tabiat pemakanan buruk dan peningkatan kadar rakyat yang mengalami kegemukan melampau. – Agensi