Isnin, 3 September 2007

Semua kaum perlu berusaha kurangkan polemik


HARI ini rakyat pelbagai kaum menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-50. Apakah generasi muda secara amnya dan golongan rakyat yang lahir pasca merdeka sedar akan perjuangan dan pengorbanan serta perjalanan yang berliku dalam mencapai kemerdekaan bagi negara yang tercinta dan makmur ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika pelancaran kempen Jalur Gemilang 17 Ogos lalu, menggerakkan nostalgia mengenai peristiwa pengumuman tarikh kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 20 Februari 1956 di Padang Bandar Hilir, Melaka.

Dalam pada itu, jam 12 tengah malam, 30 Ogos 1957 adalah dianggap saat paling bersejarah bagi rakyat Malaysia kerana pada waktu itulah bendera Union Jack, tanda kuasa penjajahan British di Tanah Melayu, diturunkan dan Bendera Jalur Gemilang (Bendera Persekutuan Tanah Melayu) dikibarkan dengan megahnya di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka).

Peristiwa itu adalah tanda mercu kerjasama dan muafakat di antara kaum yang berbilang keturunan, agama, bahasa dan kepercayaan serta identiti, yang terus menjadi kunci dan model kemakmuran serta pembangunan dan kejayaan negara ini.

Generasi muda hari ini bukan saja harus menghayati dan menghargai tokoh pejuang Melayu seperti Tunku Abdul Rahman bahkan juga pejuang bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock (MCA) dan Tun V T Sambantahan (MIC) yang juga banyak berjasa, menabur bakti dan mengasaskan negara merdeka ini.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia juga harus mengingati jasa dan sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mempopularkan imej Malaysia di dunia. Beliau adalah seorang pemimpin bertaraf antarabangsa yang berjaya mencetuskan idea bernas seperti Wawasan 2020, dengan mencerna pemikiran menjangkaui zaman untuk membangunkan pembangunan infrastruktur moden yang menjadi kebanggaan negara.

Tradisi membangun dan memakmurkan negara ini, kini diwarisi Abdullah yang juga sedang berusaha, mulai Rancangan Malaysia Kesembilan, untuk membina tamadun dan menjulang martabat negara melalui pembangunan modal insan kelas pertama.

Di samping itu, Pak Lah juga adalah pelopor pendekatan Islam Hadhari yang menekankan kepada pegangan prinsip berasaskan nilai universal yang luhur.

Sumbangan dan jasa pemimpin terdahulu yang memakmurkan bumi ini harus terpahat selama-lamanya dalam jiwa dan ingatan rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama.

Dalam konteks ini, kita harus mengurangkan polemik terhadap perbezaan yang wujud di kalangan pelbagai keturunan masyarakat dan berusaha mencari persetujuan untuk melestarikan kembali semangat perjuangan perintis dan pelopor kemerdekaan dalam menyatupadukan rakyat majmuk menghayati Perlembagaan 1957 yang menjadi kerangka asas kelahiran bangsa Malaysia.

Kita harus imbas kembali kata-kata Pak Lah dalam satu seminar baru-baru ini iaitu “Sesungguhnya kita harus menyemai satu kesedaran kebangsaan yang sama sebagai rakyat Malaysia yang menjangkau identiti etnik, agama dan wilayah tanpa menjejaskan kedudukan komponen itu”.

Apakah kita sudah bersedia merealisasikan hasrat murni Pak Lah dalam menjana rakyat Malaysia yang memiliki minda kelas pertama dalam melahirkan masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang?

Melahirkan rakyat Malaysia yang patriotik dan mentaliti kelas pertama berteraskan nilai agama masing-masing, beradab, progresif, mampu berdaya saing menghadapi cabaran globalisasi adalah matlamat nasional untuk 50 tahun akan datang.

Rakyat Malaysia sudah berjaya mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah tetapi apakah kita mendapat kemerdekaan insan yang menjadi teras kepada segala macam kemerdekaan?


Oleh M Periasamy (Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan)


Berita Harian
31 Ogos 2007