
TANGGAL 31 Ogos hari ini, disambut lagi seluruh rakyat Malaysia. Sejauh mana kemeriahannya bukan persoalan, tetapi menyelami erti kemerdekaan itu perlu dititikberatkan bagi setiap insan.
Ada yang menyifatkan merdeka sebagai berakhirnya episod keperitan dan kepedihan kepada bangsa dan negara. Ada juga yang menyifatkan sebagai saat pembebasan kepada apa yang membelenggu kehidupan mereka sebelum ini.
Ada juga antara kita menganggap hari kemerdekaan hanyalah hari bercuti dan berehat, sama seperti hari cuti lain dan tidak membawa sebarang makna. Sesetengahnya melihat pelbagai sambutan termasuk perarakan menerusi televisyen di rumah saja. Itu antara pengertian kemerdekaan yang diketahui umum.
Namun, bagi mereka yang terbabit secara langsung dalam memastikan saat yang diraikan itu menjadi kenyataan, kemerdekaan bukan sekadar kebebasan semata-mata. Makna yang tersirat di sebalik kemerdekaan itu terlalu besar dan bermakna.
Kemerdekaan bagi mereka adalah satu pengorbanan dan maruah bangsa yang tergadai dan diperkotak katikkan di bumi sendiri. Kerana merdeka, nyawa, keluarga dan segala-galanya sanggup dipertaruhkan.
Oleh itu, tidak mustahil bagi mereka yang menyaksikan keperitan memperjuangkan kemerdekaan, makna hari keramat itu cukup besar dan bermakna buat mereka.
Mencapai kemerdekaan hanyalah permulaan. Sambutan ulang tahun yang kita raikan saban tahun ini mengingatkan kepada pelbagai persoalan pokok yang berkaitan dengan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan memartabatkan Malaysia.
Kemerdekaan mendefinisikan makna kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, kepelbagaian kaum yang membentuk asas kemakmuran masyarakatnya dan tanggungjawab untuk membangunkan negara ke tahap lebih baik dan harmoni.
Untuk merealisasikan erti kemerdekaan ini, kita harus menyerlahkan pengisian kemerdekaan dalam bentuk amalan. Banyak cara kita berbakti dan berkorban untuk negara. Bagi memastikan negara terus maju, penekanan terhadap modal insan di kalangan remaja dan belia perlu ditekankan dalam pengisian kemerdekaan kerana merekalah generasi pelapis yang bakal mentadbir negara suatu hari nanti.
Pembangunan infrastruktur moden dan canggih yang dinikmati negara ini tidak membawa makna sekiranya pembangunan modal insan diketepikan. Seperti yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan.
Memperkasa sumber modal insan bakal menyediakan Malaysia dengan satu corak pembangunan berasaskan acuan sendiri dan tidak menceduk dari mana-mana negara lain dan sama sekali tidak menolak arus pemodenan yang terlalu deras.
Bangsa Malaysia perlu berciri global dan glokal. Apabila kita tawan dunia perlulah disertai jati diri bangsa Malaysia yang asli dan utuh, jangan sampai lupa di mana kita berada. Tamadun Malaysia perlu dibangunkan mengikut acuan kita sendiri dan ia hanya dapat ditampilkan melalui penguasaan sains dan teknologi serta tidak lupa kepada jati diri bangsa sendiri.
Sepanjang kemerdekaan kita sudah mengecapi pelbagai kejayaan demi kejayaan yang cemerlang dan gemilang. Kejayaan ini membawa kepada kecemerlangan pembangunan, bukan berakhir begitu saja dalam satu-satu era pembangunan. Ia harus melalui proses penambahbaikan yang dijalankan secara berterusan.
Kejayaan melalui proses penambahbaikan secara berterusan inilah yang boleh dianggap sebagai ‘kegemilangan’. Dalam menjana modal insan yang gemilang, penelitian harus dibuat terhadap sejauh manakah ‘modal’ yang ada pada seseorang itu mampu membawa ‘kegemilangan’ dan bukan sekadar ‘kejayaan dan kecemerlangan’.
Justeru itu barulah kita dapat melahirkan bangsa yang terbilang dari segi pemantapan pembangunan modal insan bersahsiah berkualiti dan bermutu tinggi di mata dunia.
Modal insan dijana menerusi sistem pendidikan mantap. Ia tidak terhad kepada pengajian formal dan pengijazahan saja. Modal insan yang harus dikembangkan merangkumi pelbagai peringkat dan usia.
Peringkat profesional dan pengurusan memerlukan pendidikan formal yang baik dan berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga bermutu dan berprestij. Golongan separa profesional dan pekerja am perlu dibangunkan dari segi kemahiran, sikap dan kesungguhan.
Negara tidak hanya mahu mempunyai pelajar atau guru yang cemerlang diatas kejayaannya sehinggakan pula ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan di atas kecemerlangan itu. Tetapi pada saya, negara pasti inginkan insan yang mampu mencapai kecemerlangan ini secara berterusan, mencari idea, membuat inovasi, membuat penambahbaikan supaya akhirnya mampu memberi sumbangan secara ikhlas kepada anak bangsa.
Inilah dikatakan kegemilangan! Pembangunan modal insan di kalangan remaja dan belia perlu diseimbangkan supaya tiada pihak terpinggir. Kecenderungan kini adalah menumpukan kepada pemulihan golongan belia bermasalah atau meraikan belia cemerlang dengan pelbagai insentif, berbanding usaha memajukan golongan majoriti belia yang mungkin tidak menonjol kerana kurang bimbingan untuk memaksimumkan keupayaan.
Jika mereka berkerja sebagai pensyarah, mereka berfungsi sebaiknya menjadi peneroka dan pengajar ilmu yang terbaik dan cemerlang. Kualiti rakyat yang tinggi ini hanya terjana menerusi amalan dan etika kerja yang baik, budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.
Sesebuah negara yang maju sebenarnya bukan hanya didukung oleh profesional berdaya saing dan mempunyai sikap proaktif, malah ditunjangi pekerja separa profesional dan pekerja am yang berkualiti dan berjiwa besar.
Harus difahami walaupun negara kita kaya dengan hasil bumi, tetapi itu tidak menjanjikan dan menjamin kita dapat mencapai matlamat Wawasan 2020 dengan jayanya. Semangat patriotik adalah salah satu elemen penting dalam menjayakan cita-cita ini.
Rakyat Malaysia perlu sama-sama menggembleng usaha menjayakan misi nasional. Dalam kemeriahan kita meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-50 hari ini, ada baiknya menoleh dan memperkasakan kualiti modal insan dalam diri dan organisasi, keluarga dan masyarakat.
Itulah tugas kita yang terus releven untuk mengekalkan kemerdekaan kita bukan hanya dijajah secara fizikal, tetapi juga pemikiran dan amalan. Selamat ulang tahun ke-50 negaraku, Malaysia!
Oleh Siti Aslidah Ariffin
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Perdagangan, Politeknik Kota Kinabalu
Berita Harian
31 Ogos 2007