Isnin, 3 September 2007

Larangan bawa buah mangga dalam bagasi


NEW DELHI: India meminta penumpang yang menaiki pesawat menuju ke Amerika agar tidak membawa buah mangga di dalam bagasi mereka kerana eksport buah-buahan ke negara itu dihadkan hanya kepada pedagang berdaftar.

Langkah membenarkan eksport buah mangga secara komersial, menyebabkan ramai penumpang membawa buah mangga yang amat digemari warga India di Amerika, di dalam bagasi mereka, sehingga menimbulkan bantahan pihak berkuasa pentadbiran makanan negara itu.

India mula mengeksport buah mangga ke Amerika April lalu, selepas melobi selama bertahun-tahun dalam apa disifatkan penganalisis sebagai ‘diplomasi mangga’.

Sebelum ini, Washington menolak eksport buah-buahan dari India dengan alasan ia tidak dilindungi serangan lalat buah dan serangga.

New Delhi bersetuju mematuhi kaedah yang diarahkan Washington.

“Hanya buah mangga yang dilulus boleh dibawa masuk ke Amerika,” kata pegawai kanan bahagian pengembangan eksport produk makanan proses, Kementerian Perdagangan India.

Pegawai berkenaan berkata, pihaknya turut menerima laporan ada penjual buah mangga membina gerai berhampiran lapangan terbang. – Reuters