Isnin, 3 September 2007

Wanita hamil keguguran dalam ambulans

TOKYO: Menteri Kesihatan Jepun berjanji untuk cuba menyelesaikan masalah kekurangan doktor selepas seorang wanita hamil keguguran dalam sebuah ambulans ketika saat cemas selama tiga jam mencari hospital yang boleh memberi rawatan kepadanya.

Lapan hospital menolak wanita berusia 38 tahun itu yang hamil enam bulan dan ambulans yang membawanya juga berlanggar dengan sebuah van kecil ketika dalam perjalanan ke hospital ke sembilan, kata seorang pegawai jabatan bomba di Nara, barat Jepun.

Air ketuban wanita terbabit pecah beberapa minit sebelum kemalangan dan bayi terbabit mati ketika dilahirkan. Mangsa dan beberapa kakitangan perubatan tidak cedera dalam kemalangan yang berlaku kelmarin.

“Hospital berhampiran hanya tiga minit perjalanan. Tetapi, ambulans terbabit dipandu dengan kelajuan 70 kilometer sejam,” kata pegawai terbabit.

Jepun berhadapan dengan masalah kekurangan doktor dan hospital kecemasan terutama di kawasan luar bandar.

Bilangan pakar obstetrik juga semakin berkurangan manakala pelajar perubatan terpaksa bekerja dalam tempoh yang lama dan menyebabkan semakin meningkatnya saman akibat kesilapan perubatan.

Tahun lalu, seorang wanita maut di Nara berikutan 19 hospital enggan mengambil beliau yang tidak sedarkan diri selepas bersalin.

“Kekurangan doktor adalah masalah sosial yang besar sedang dihadapi Jepun dan saya akan menanganinya,” kata Menteri Kesihatan, Yoichi Masuzoe dalam satu program televisyen lewat kelmarin.

Negara itu yang berhadapan dengan kadar kelahiran yang terlalu rendah dan masalah penduduk tua yang semakin tinggi, berikrar untuk mengatasi kebimbangan mengenai penjagaan kesihatan termasuk memberikan biasiswa kepada doktor yang sanggup bekerja di kawasan pedalaman. – Reuters