
JEDDAH: Pasangan di Arab Saudi yang mahu berkahwin, perlu menjalani ujian HIV dan hepatitis, sebagai sebahagian daripada ujian yang diwajibkan kerajaan negara itu, kata Timbalan Menteri Pencegahan Penyakit, Dr Khaled Al-Zahrani, semalam.
“Ujian itu yang dilakukan sebelum pasangan berkahwin bertujuan melindungi rakyat termasuk mengesan masalah kecacatan genetik berpunca daripada darah serta wabak penyakit,” kata Dr Khaled kepada Arab News.
Beliau berkata, jika seorang daripada pasangan yang mahu kahwin disahkan positif HIV dan mereka masih mahu meneruskan perkahwinan, kes seumpama itu akan dirujuk kepada Kementerian Kehakiman.
HIV adalah virus yang dianggap permulaan kepada proses seseorang itu kena jangkitan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids).
Pengumuman berkenaan dilakukan serentak dengan pelancaran klinik pertama bagi ujian Aids secara sukarela di negara itu. Ia terletak di Hospital King Saud dan pembukaannya dirasmikan Dr Khaled, kelmarin.
“Pihak klinik akan merahsiakan semua data pesakit dan memberikan mereka kod khas tanpa menggunakan nama sebenar.
“Orang ramai boleh datang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan diberi pilihan jika mahu menjalani pemeriksaan sama ada mereka positif HIV atau tidak,” katanya.
Klinik berkenaan disasarkan sepenuhnya kepada warga Arab Saudi, manakala rakyat asing dikehendaki menjalani ujian berkenaan setiap kali mereka memperbaharui permit menetap. Mereka yang didapati positif HIV akan dihantar pulang.
Dr Khaled, bagaimanapun, berkata pelancaran klinik itu tidak bermakna kes penyakit Aids semakin meningkat di Arab Saudi, sebaliknya, kes di negara itu disifatkan yang paling rendah di dunia.
Mengikut perangkaan yang diterbitkan pada 2006, 1,390 kes HIV dilaporkan di negara itu tetapi dua pertiga daripadanya bukan membabitkan warga Arab Saudi.
Laporan awal menunjukkan gesaan menteri itu diterima penduduk yang pergi ke klinik berkenaan bagi menjalani ujian. Klinik berkenaan dibuka pada Sabtu hingga Rabu.
Malah, pada pelancarannya, wartawan yang hadir memberi darah mereka untuk diuji dan keputusan yang didapati selepas 10 minit mendapati semuanya negatif HIV. – Agensi