Isnin, 3 September 2007

Wanita nikahi wanita diperintah berpisah


MELAKA: Mahkamah Rendah Syariah di sini memerintahkan sepasang "suami isteri" sama jantina berpisah kerana perkahwinan itu tidak sah dan tidak menepati hukum syarak.

Hakim Syarie Che Saufi Che Husin berkata Mazinah Mohamad yang menggunakan nama Mohd Soffian Mohamad, 40, sebagai suami, dari Klebang Besar, gagal membuktikan bahawa dia seorang lelaki dan kalangan khunsa.

Pemeriksaan terhadapnya oleh dua doktor pakar adalah lengkap, tiada alat kelamin lelaki yang ditemui daripada responden itu, katanya ketika membacakan keputusan penghakiman perbicaraan terhadap pasangan itu, hari ini.

Mohd Soffian dan Zaiton Aziz, 43, sebagai isteri, didakwa bernikah sesama jantina mengikut Seksyen 11 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 dan jika sabit kesalahan mahkamah berhak membatalkan pernikahan itu.

Mengikut fakta kes, mereka dinikahkan oleh imam satu Masjid Bukit China, Ishak Juhi pada 27 Dis 2002.

Che Saufi berkata mahkamah berpuas hati dengan keterangan lima orang saksi, termasuk dua doktor pakar dan pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, pada perbicaraan kes itu.

Hukuman yang dikenakan berdasarkan kepada apa yang dizahirkan dan dibuktikan pada perbicaraan itu, iaitu tiada alat kelamin lelaki ditemui daripada Mohd Soffian, katanya.

Hakim turut memerintahkan JPN menukar nama dan status jantina Mohd Soffian pada kad pengenalan kepada sebagaimana yang dicatatkan dalam sijil kelahiran.

Peguam bela Syarie Mohd Zulfiqri Zakaria yang mewakili pasangan itu, ketika ditemui pemberita, berkata rayuan terhadap keputusan itu hanya akan dibuat setelah mendapat persetujuan daripada anak guamnya.

Peguam Syarie Mohd Mohtar Karim mewakili Pendaftar Pernikahan, Cerai dan Rujuk Jaim.
BERNAMA

Gambar dan artikel petikan laman web mSTAR Online