Khamis, 27 September 2007

Silap taktik, sogok baju Melayu kepada pegawai BPR


KUALA TERENGGANU: Penyelia sebuah pasar raya di Gong Badak dekat sini ditahan pagi ini kerana menyogok sepasang baju Melayu kepada seorang pembeli sebagai dorongan bagi menghalangnya daripada melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai percanggahan harga kacang goreng yang dijual di situ.

Penyelia berusia 34 tahun itu tidak tahu bahawa pembeli berkenaan sebenarnya seorang pegawai Badan Pencegah Rasuah yang kebetulan singgah di pasar raya itu.

Timbalan pengarah BPR negeri Mohamad Zahir Ismail memberitahu pemberita bahawa kejadian berlaku pada 11.05 pagi apabila pegawai BPR berkenaan bersama rakan setugasnya singgah di pasar raya itu untuk membeli satu paket kacang goreng.

"Pasar raya tersebut menjual satu paket kacang goreng itu dengan harga RM2.29 sedangkan harga yang dipamerkan ialah RM1.69.

"Apabila pegawai BPR itu memberitahu kepada penyelia terbabit bahawa beliau akan laporkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, penyelia tersebut kemudian cuba memberikan sepasang baju Melayu kepada pegawai BPR berkenaan sebagai dorongan supaya tidak melaporkannya kepada penguatkuasa KPDN&HEP di atas kesalahan yang dilakukan pasar raya berkenaan," katanya.

Penyelia terbabit kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda sehingga RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi.

Mohamed Zahir berkata bahawa BPR pernah menerima aduan orang ramai bahawa pasar raya yang baru sahaja beroperasi itu mengenakan bayaran yang tinggi daripada harga yang dipamerkan.

Bernama