Khamis, 27 September 2007

Menteri Dalam Negeri Thailand letak jawatan


BANGKOK - Kabinet Thailand yang berusia satu tahun berdepan krisis besar dengan seorang lagi menterinya meletak jawatan, sekali gus membuka laluan kepada pemimpin rampasan kuasa Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang akan bersara menjadi anggota Kabinet.

Selepas spekulasi panas sejak beberapa hari lepas, Aree Wongsearaya akhirnya tunduk kepada tekanan dan menawarkan diri untuk meletak jawatan semalam, berikutan dakwaan bahawa syarikatnya diberikan kontrak oleh sebuah agensi negara di bawah kementeriannya dan Kementerian Pelajaran semasa beliau menjadi timbalan menteri.

“Saya bertanggungjawab dalam hal ini (kontrak). Saya akan memaklumkan kepada perdana menteri,” kata Aree, yang beragama Islam dan memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dalam sidang akhbar di rumahnya di sini.

Peletakan jawatannya berlaku beberapa hari selepas Menteri Penerangan dan Teknologi Komunikasi Sitthichai Pookaiyaudom dan Timbalan Menteri Perdagangan Oranuj Osathananda meletak jawatan ekoran dakwaan bahawa mereka masih memegang saham dalam syarikat swasta melebihi daripada had yang dibenarkan undang-undang sebanyak lima peratus.

Mengikut Perlembagaan 1997 yang kini dimansuhkan, anggota Kabinet dilarang memegang lebih daripada lima peratus saham dalam sesebuah syarikat bagi mengelakkan pertelingkahan kepentingan.

Jurucakap Suruhan-jaya Kebangsaan Bagi Menangani Rasuah (NCCC) Klanarong Chantik berkata, tiada seorang pun daripada tiga anggota Kabinet yang akan didakwa kerana melanggar peraturan atas sebab teknikal berikutan pemansuhan Perlembagaan 1997.

Bagaimanapun NCCC akan menyiasat pertelingkahan kepentingan yang mungkin wujud dalam kontrak yang membabitkan syarikat milik Aree. Awal tahun ini, Menteri Kewangan Pridiyathorn Devakula meletak jawatan daripada Kabinet.

Sonthi, yang mengetuai rampasan kuasa dan menggulingkan perdana menteri Thaksin Shinawatra pada 19 September tahun lepas, kini semakin jelas akan dilantik sebagai pengganti Aree dan timbalan perdana menteri yang bertanggungjawab mengenai keselamatan selepas persaraannya minggu depan.

Perdana Menteri Surayud Chulanont berkata, beliau akan membuat rombakan kecil Kabinet selepas kembali ke tanah air dan membayangkan Sonthi akan diberikan satu portfolio Kabinet.

Kerajaan yang dilantik junta tentera Thailand akan menyerahkan semula kuasa kepada sebuah kerajaan awam selepas pilihan raya umum diadakan pada 23 Disember.

Bernama