Khamis, 27 September 2007

Ibu tunggal bersama lima cucu berbuka dengan juadah ikan rebus

BACHOK – Seorang ibu tunggal kini tidak mengharapkan apa-apa selain menyediakan makanan lazat kepada lima cucunya sepanjang bulan puasa ini. Kehidupan mereka semakin terhimpit apabila suaminya, Che Samad Che Mat yang bekerja sebagai pengayuh beca meninggal dunia sejak Februari lalu selepas menghidap penyakit lelah.

Mek Long Awang, 72, berkata, dia hanya mampu menyediakan makanan berbuka puasa dan bersahur sekadar yang termampu.

“Saya dan lima cucu termasuk empat yang masih bersekolah berbuka puasa dengan makanan yang ada sahaja walaupun ada antara mereka yang merungut.

“Setakat ini hanya ikan sardin rebus dan budu menjadi juadah berbuka semenjak hari pertama Ramadan menjelma. Tiada ayam goreng atau ayam gulai atau sup tulang yang menjadi santa­pan mereka selama ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mek Long berkata, dia mempunyai tiga anak dan kesemua sudah berkahwin malah tinggal bersama suami masing-masing. Menurutnya, dia memelihara lima cucunya bagi menghilangkan kesunyian apabila tinggal seorang diri.

“Saya hanya membuat kuih-muih untuk menyara hidup dengan pendapatan RM3 hingga RM5 sehari pada bulan biasa tetapi bulan Ramadan tiada kerja yang dilakukan untuk mendapatkan pendapa­tan­.

“Malah selama saya tinggal di sini saya tidak beri bantuan lain, wakil rakyat kawasan ini tidak pernah menjenguk saya begitu juga dengan penghulu dan Penyelia Pembangunan Mukim,” katanya sedih.

Mek Long menambah, rumah yang mereka tinggal kini dibina hasil sumbangan masyarakat sekitar dan dia menumpang di atas tanah adik-beradiknya.

“Untuk makan pun makcik tidak mampu sediakan apatah lagi menyediakan persediaan hari raya.

“Cukuplah pakaian yang lama sahaja untuk dipakai pada hari raya. Asalkan bersih,” katanya dengan air mata berlinang.

Sinar Harian 28 September 2007