Khamis, 6 September 2007

Taufan Fitow makin hampiri Jepun



TOKYO 6 Sept. – Satu lagi taufan dilaporkan sedang menghampiri kepulauan Jepun dan dikhuatiri akan menyebabkan banjir dan tanah runtuh serta menjejaskan sistem pengangkutan negara ini.

Jabatan Meteorologi melaporkan, Taufan Fitow yang dinamakan sempena sejenis bunga di Micronesia, kini berada berhampiran Pulau Hachijo, kira-kira 200 kilometer ke selatan Tokyo dan bergerak dengan kelajuan 126 kilometer sejam.

Fitow dijangka melanda ibu negara Jepun awal pagi esok dengan membawa bersama hujan kira-kira 400 milimeter.

Ia turut memberi amaran kemungkinan banjir dan tanah runtuh.

Walaupun kini berada pada skala ‘satu’ iaitu yang paling lemah, Fitow dilaporkan bergerak dengan kelajuan tinggi ke pulau utama iaitu Pulau Honshu sejak kelmarin tetapi tidak ada laporan kecederaan atau kerosakan.
– AP