Khamis, 6 September 2007

Rasional lantik hakim syarie wanita

Perbincangan mengenai pelantikan wanita Islam sebagai hakim di Mahkamah Syariah sekali lagi hangat diperbahaskan.

Dalam resolusi Seminar Wanita Muslim Meniti Perubahan (Muslim Women in the Midst of Change) anjuran Forum Profesional Malaysia (MPF) baru-baru ini, ada saranan agar keputusan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan wanita Islam menjadi hakim di Mahkamah Syariah hendaklah dilaksanakan dengan segera.

Pandangan ini diutarakan oleh Dekan Kuliyyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Dr. Zaleha Kamaruddin, dan turut disokong oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dan Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan harus wanita Islam menjadi hakim di Mahkamah Syariah dengan syarat memiliki kebolehan, kewibawaan, kelayakan dan pengalaman luas dan tidak pula mengadili kes-kes hudud dan qisas (keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 6 April 2006).

Sebenarnya, Malaysia agak ketinggalan dalam hal ini walaupun kita jauh ke hadapan dalam sistem kewangan dan perbankan Islam. Malaysia yang dianggap oleh dunia Islam sebagai negara contoh tidak menunjukkan ‘teladan’ yang baik dalam pelantikan wanita Islam sebagai hakim di Mahkamah Syariah. Negara-negara Islam jiran seperti Indonesia dan Brunei telah pun melaksanakan ketetapan ini. Ia juga telah dilaksanakan di negara-negara Islam lain seperti Mesir, Maghribi, Sudan dan Pakistan.

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai ‘kuasa’ untuk memaksa negeri-negeri menerima fatwa yang dikeluarkannya kerana seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, urusan hal ehwal mengenai undang-undang Islam adalah terletak secara eksklusif di tangan kerajaan-kerajaan negeri. Setiap negeri mempunyai Jawatankuasa Fatwa masing-masing dan fatwa yang dikeluarkan setelah diwartakan hanya berkuat kuasa di negeri berkenaan sahaja. Ini termasuk dalam persoalan pelantikan wanita Islam sebagai hakim di Mahkamah Syariah.

Sesungguhnya, ulama berbeza pendapat mengenai perkara ini. Dua pandangan yang bertentangan menyebabkan sesetengah negeri sukar membuat keputusan. Apatah lagi, pandangan yang mengharamkannya pula datang daripada mazhab Syafie yang menjadi mazhab dominan di negara ini.

Sebenarnya, pandangan yang mensyaratkan lelaki sebagai hakim di mahkamah disokong oleh fuqaha dari mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki. Mereka berhujah kepada beberapa dalil al-Quran, antaranya:

* “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita).” (al-Nisa:34)

* “Dan kaum lelaki itu mempunyai satu tingkat kelebihan berbanding kaum wanita” (al-Baqarah: 228).

Mereka juga merujuk kepada satu hadis yang bermaksud: “Tidak sesekali akan berjaya sesuatu kaum yang melantik pemimpin mereka daripada kalangan wanita.” (Diriwayatkan oleh Bukhari, Tirmizi, Nasa’i dan Ahmad dari Abu Bakrah).

Para ulama yang menyokong pandangan ini berhujah bahawa lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal berbanding dengan wanita. Justeru, bagi mereka, pelantikan wanita sebagai hakim akan membawa kepada kerosakan.

Melantik

Tetapi mazhab Hanafi mengharuskan pelantikan wanita sebagai hakim kecuali dalam kes-kes hudud dan qisas. Mereka menolak dalil-dalil yang dikemukakan oleh majoriti. Dalil al-Quran yang menyatakan “kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita” sebenarnya dikhususkan dalam urusan hal ehwal rumah tangga, dan tidak lebih dari itu.

Justeru, kepimpinan lain adalah diharuskan. Golongan Hanafi juga menolak hadis “Tidak sesekali akan berjaya mana-mana kaum melantik wanita mengendalikan urusan mereka”. Terdapat tiga alasan utama yang menyebabkan mereka menolak hadis ini:

* Ia hanya melibatkan larangan melantik wanita sebagai Imam Al-Uzma dan tidak kepada jawatan-jawatan lain.

* Hadis tersbut adalah hadis Ahad yang bersifat zanni; dan

* Ia merujuk khusus kepada jawapan oleh Nabi Muhammad s.a.w terhadap pelantikan Raja Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai pengganti.

Dalam suasana yang berbeza dengan zaman dahulu, seharusnya pandangan mazhab Hanafi diterima pakai. Ini disokong oleh Imam-imam lain seperti Ibn Jarir Al-Tabari dan Hassan Al-Basri. Hujah mereka ialah kalau wanita boleh dilantik menjadi mufti, maka melantik mereka ke jawatan hakim juga adalah patut.

Ini berdasarkan amalan yang pernah dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri di mana Baginda pernah melantik seorang wanita bernama Samra’ binti Nuhaik al-Asadiah sebagai Muhtasibah (jawatan dalam Hisbah) di Mekah. Jawatan ini merupakan salah satu cabang dari hakim.

Ini ditambahkan pula dengan pelantikan Al-Syifa’ Abi Sulaiman sebagai Muhtasibah di pasar Madinah semasa zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Tambahan pula, mengikut pendapat Ibn Jarir, tugas hakim ialah untuk melaksanakan keadilan dan keadilan boleh dilaksana oleh lelaki atau wanita.

Justeru, beliau menolak hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah bahawa sesuatu kaum itu tidak akan berjaya kalau pemimpinnya dilantik daripada kalangan wanita. Ini kerana, larangan dalam hadis itu hanyalah untuk jawatan khalifah.

Pandangan-pandangan yang mengharuskan wanita dilantik sebagai hakim turut dikongsi oleh Ibn Hazm Al-Zahiriyyah, Ibn Al-Qayyim dan beberapa ulama kontemporari seperti Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi, Syeikh Rashid Al-Ganushi, Allahyarham Dr. Zaki Badawi dan lain-lain.

Menurut Prof. Madya Dr. Siti Zalikhah Md. Nor, Jabatan Syariah, UKM, terdapat banyak rasional dalam mengharuskan pelantikan wanita sebagai hakim, antaranya:

* Memandangkan kes-kes yang terlibat di Mahkamah Syariah hanya dalam kategori mal dan kesalahan ta’zir;

* Hakim sekarang tidak memerlukan ijtihad yang berat seperti dahulu;

* Majoriti pelanggan Mahkamah Syariah terdiri daripada wanita;

* Kehadiran wanita di mahkamah tidak mengaibkan golongan lelaki; dan

* Terdapat wanita yang dilantik sebagai peguam.

Dalam muzakarah pakar yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Selangor tahun lalu (16 November 2006), para hadirin telah melihat hujah-hujah yang dikemukakan oleh para pembentang. Ada yang menyokong supaya wanita dilantik sebagai hakim di Mahkamah Syariah dan ada yang menentang. Datuk Md. Salleh Md.@ Ahmad, (UIAM) tidak bersetuju dengan pelantikan wanita sebagai hakim melihat kepada hujah-hujah yang dikemukakan di atas. Datuk Syeikh Ghazali Abdul Rahman (JKSM) pula nampaknya berhati-hati dalam membuat keputusan, manakala Dr. Siti Zalikhah menyokong penuh pandangan yang mengharuskan pelantikan wanita sebagai hakim di Mahkamah Syariah.

Pandangan majoriti yang menyatakan terdapat ijmak ulama bahawa wanita tidak boleh dilantik sebagai hakim sebenarnya tidak tepat. Ini kerana pada pengamatan penulis, pandangan yang menyatakan haram adalah pendapat jumhur. Pandangan minoriti termasuk daripada mazhab Hanafi, Ibn Jarir Al-Tabari, Ibn Hazm dan Ibn Qayyim serta ulama kontemporari seperti Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi dan Rashid Al-Ghanushi tidak boleh ditolak begitu sahaja.

Pelantikan wanita sebagai hakim di Mahkamah Syariah tidak bertentangan dengan hukum syarak. Ini lebih-lebih lagi melihat kedudukan bidang kuasa dan peruntukan terhad yang diberikan kepada Mahkamah Syariah yang tidak boleh menjatuhkan hukuman hudud dan qisas.

Mengambil pendekatan golongan minoriti bukanlah suatu yang asing dan pelik dalam Fiqh. Tambahan pula, walaupun pandangan mazhab Syafi’i merupakan pandangan dominan di Malaysia, terdapat beberapa amalan yang diambil daripada mazhab Hanafi seperti pembayaran zakat fitrah dengan menggunakan wang menggantikan beras setelah mengambil kira faktor maslahah dan peredaran zaman.

DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL,
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU),
Universiti Teknologi Mara, (UiTM).


Utusan Malaysia 7 September 2007