BAGI umat Islam, kita adalah umat pilihan yang dilahirkan dengan tujuan dan matlamat. Kita mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan risalah Islam. Iaitu risalah yang bersifat kamil dan syumul untuk disampaikan kepada seluruh manusia.
Menyampaikan risalah Islam tidak mengenal sempadan, bangsa, budaya. Bahkan Allah s.w.t. sendiri telah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa manusia itu dijadikan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa.
Inilah yang menerangkan kebesaran penciptaan Allah bahawa manusia itu dicipta daripada lelaki dan perempuan, dan kemudian hidup berbangsa-bangsa dan bersuku-suku.
Lahirnya pejuang-pejuang kemerdekaan yang tulen adalah ditunjangi oleh kesedaran perjuangan untuk membina khayra ummah atau menjadi bangsa terbilang. Sering kali kita dapati daripada pembacaan sejarah bahawa munculnya pejuang-pejuang kemerdekaan adalah untuk memperbaiki nasib bangsa yang ditindas dan dizalimi oleh penjajah sehingga menjadi bangsa yang mundur dan hanya bergantung kepada belas ihsan kuasa asing.
Atas sebab itu jugalah kita melihat ramai pemikir dan penulis Islam membincangkan persoalan ini, iaitu bagaimana untuk ummah atau bangsa yang sentiasa ditindas ini bangkit dari kemunduran. Maka untuk itu, kita orang Islam, telah diingatkan oleh Allah dengan firma-Nya yang bermaksud, “Dan kemuliaan itu adalah bagi Allah, rasul-Nya dan bagi sekelian orang yang beriman”. (al-Munafiqun, 8).
Dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan ‘izzah’ iaitu yang boleh ditakrifkan sebagai kemuliaan atau kecemerlangan ummah atau bangsa. Maka ia merupakan satu dorongan untuk kita isikan anugerah kemerdekaan ini dengan konsep ‘izzah’ yang telah diungkapkan oleh al-Quran.
Maka tidak hairanlah sekiranya kita melihat ramai pejuang Islam abad ke-19 dan 20 turut menggunakan istilah ‘izzah’ dengan melahirkan konsep ‘wataniyah izzah’ iaitu sejenis perjuangan untuk mencapai semula kemuliaan ummah yang telah hilang itu.
Lanjutan daripada itu, apakah ramuan yang paling mujarab untuk mengisi kemerdekaan ini agar ummah ini kembali menjadi ummah terbilang dan unggul. Tidak ada jalan lain kecuali kembali menghayati al-Quran dan sunah Rasul-Nya serta melihat tentang sejarah jatuh bangunnya umat-umat terdahulu.
Allah telah mengutuskan Rasul dan al Quran sebagai kitab hidayah untuk dijadikan panduan. Kemudian setelah tiada lagi nabi dan rasul, maka Allah bangkitkan pula di kalangan ummah itu pemimpin yang menghayati hidayah dan memperjuangkan kitab hidayah itu. Selagi mana kitab hidayah itu diperjuangkan, maka selagi itu ‘izzah’ akan terpacul keluar dari ummah yang terbilang.
Begitu juga sebaliknya, selagi mana kitab hidayah ini tidak dihayati, maka tidak akan ada kebangkitan dan kemerdekaan yang mempunyai roh ‘izzah’. Mungkin di sana ada kemerdekaan yang dilihat maju dan kaya, tetapi ia penuh dengan amalan kebendaan yang sarat dengan fahaman ‘sekularisme’, ‘kapitalisme’, ‘sosialisme’ dan sebagainya.
Tidak ada satu pun yang dapat menepati syarat ‘izzah’ seperti yang digambarkan oleh al-Quran, iaitu pemimpin di kalangan ummah yang menghayati hidayah dan cekal memperjuangkan kitab hidayah. Dan bukan pula pemimpin dan ummah yang leka dengan keindahan duniawi dengan sentiasa mengharapkan imbuhan dunia sebagai balasan. Ini sesuai dengan firman Allah yang maksudnya: “Ikutilah orang yang tiada meminta balasan kepadamu dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk”. (Yasin, 21).
Inilah yang ingin kita isikan menerusi sambutan kemerdekaan yang ke-50, iaitu pemimpin dan rakyat yang istiqamah dan komited dengan kitab hidayah serta tidak meminta upah sebagai balasan duniawi, yang tidak ada kepentingan diri, keluarga atau kelompok. Malah mereka ini ikhlas menawarkan diri untuk memikul amanah kitab hidayah kerana berasa bertanggungjawab di hadapan Tuhan.
Inilah ciri ummah merdeka yang mempunyai matlamat dan tanggungjawab. Jika inilah ada pada setiap seorang Muslim, tidak kira pemimpin ataupun rakyat, iaitu yang sanggup melakukan apa saja tanpa memikirkan untung rugi duniawi, malahan mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi, maka ‘izzah’ yang diimpikan itu tidak mustahil dapat dijelmakan kembali dalam kesuraman dunia Islam masa kini.
Inilah gagasan perjuangan kemerdekaan ummah yang perlu dicanangkan, bahkan sudah dimulakan oleh nama-nama besar dalam sejarah dan tamadun Islam.
Sesungguhnya nama-nama yang abadi dalam sejarah ialah mereka yang berkorban untuk memperjuangkan dan meninggikan kalimah Allah dan kitab hidayah-Nya. Imam Syafie, Imam Ahmad, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik adalah antara mereka yang berada di dalam barisan perjuangan kitab hidayah. Orang-orang seperti ini namanya kekal dalam sejarah dan menjadi sebutan sepanjang zaman.
Justeru, kita yang sudah 50 tahun merdeka, adakah persoalan-persoalan ini dapat menjengah jauh ke lubuk sanubari jiwa, apakah benar kita memiliki jiwa merdeka yang dapat mempertahankan anugerah kemerdekaan ini? Sesungguhnya rahsia kejayaan mempertahankan kemerdekaan itu terletak pada keberkatan Tuhan, iaitu dengan adanya amalan yang diikhlaskan kepada Allah mentaati segala perintah dan larangannya, dan juga tidak meminta habuan duniawi, juga tidak minta dihargai atau dipuji.
Oleh ABU BAKAR YANG
Utusan Malaysia 7 September 2007