Khamis, 13 September 2007

Wakaf al-Quran bantu minoriti Islam


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengajak umat Islam di negara ini memainkan peranan lebih besar dengan membantu orang Islam minoriti di negara bukan Islam bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam urusan dunia dan akhirat.

Perdana Menteri berkata, bantuan dalam bentuk wakaf al-Quran adalah inisiatif penting untuk memberi mesej kepada golongan berkenaan bahawa penguasaan ilmu penting untuk mengukuhkan keimanan mereka dan membawa kemajuan kepada umat Islam.

Katanya, dengan ada ilmu, manusia menjadi insan yang boleh berfikir dan mengambil inisiatif tertentu untuk mengubah tamadun manusia itu sendiri.

“Saya percaya menerusi pemberian al-Quran kepada sahabat kita yang menjadi minoriti di negara bukan Islam, mereka dapat dibantu dan menguasai ilmu. Pemberian ini juga sebagai mesej kepada sahabat kita bahawa penguasaan ilmu penting jika mereka hendak maju dan berjaya,” katanya berucap melancarkan Program Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan anjuran Dewan Amal Islam Hadhari (Damai) di sini, semalam.

Program itu adalah bagi mengumpul sumbangan untuk wakaf al-Quran kepada masyarakat Islam minoriti di negara yang ditadbir pemerintah bukan Islam yang sebahagian besarnya hidup dalam kemiskinan.

Terdahulu Abdullah menerima sumbangan al-Quran daripada badan korporat yang menderma untuk program itu. Badan korporat berkenaan adalah Bank Islam dan Lembaga Tabung Haji.

Perdana Menteri berkata, wakaf berbentuk al-Quran akan mengukuhkan lagi keimanan mereka terhadap agama dan dijadikan panduan untuk menghadapi kehidupan di negara yang majoriti rakyatnya bukan Islam.

“Islam tidak mahu pengikutnya menjadi miskin, ketinggalan dan buta huruf. Al-Quran untuk dibaca dan mendapatkan ilmu. Banyak manfaat diperoleh sekiranya penerima mengambil ilmu dalam al-Quran itu,” katanya.

Abdullah berkata, dari segi membuat amal jariah seperti wakaf al-Quran, pihak yang menyumbang akan mendapat pahala, manakala yang menerima pula akan menerima manfaat dan kebaikan daripadanya.

Katanya, al-Quran yang diturunkan pada Ramadan adalah untuk menjadi petunjuk dan memberi kebaikan kepada manusia sekiranya mahu mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya.

Perdana Menteri juga berkata, wakaf itu bukan saja dapat membantu penduduk Islam di negara bukan majoriti Islam, tetapi secara tidak langsung memberitahu negara luar bahawa Malaysia boleh maju dengan mengamalkan Islam dalam negara yang mempunyai pelbagai bangsa.

Program anjuran Damai itu terbuka kepada orang ramai yang mahu turun serta menderma menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Mereka yang berminat boleh menaip SMS Wakaf 1 untuk sumbangan RM1 atau Wakaf 2 untuk sumbangan RM2 dan hantar ke 32776 atau 32728. Mereka yang ingin membuat sumbangan dalam jumlah yang lebih besar boleh menghubungi Damai di talian 03-26971868/67/69.

Oleh Rohaniza Idris

Berita Harian 14 September 2007