Jika melihat batik, ada dua perkara yang mungkin timbul. Pertama, ada yang melihat batik sebagai produk murahan dan basahan.
Manakala golongan kedua pula menganggap produk hasil tangan tradisi masyarakat Melayu itu sebagai produk yang terlalu mahal hingga tidak mampu dimiliki oleh semua.
Tanggapan sedemikian menyebabkan industri batik Malaysia tersepit di antara mahu mengekalkan ciri-ciri tradisinya atau menjadikannya lebih moden dan komersil.
Hakikatnya batik bukan sekadar fesyen dan diperaga sebagai pakaian. Batik adalah manifestasi gaya hidup yang sepatutnya kita banggakan.
Menurut pensyarah Tekstil di UiTM Shah Alam, Profesor Madya Mohd Najib Mohd Noor, batik sebenarnya adalah satu budaya tradisi yang menjadi gaya hidup masyarakat Malaysia.
"Jangan meletakkan had ke atas keupayaan batik. Batik hari ini sebenarnya telah banyak berbeza daripada dahulu," ujarnya.
Memang ada kebenarannya. Lihat sahaja batik sarung yang pelbagai guna. Selain dipakai sebagai basahan, juga diguna untuk berkemban. Batik sarung turut dijadikan buaian mendodoi anak kecil malah batik jugalah yang dicari bagi menutupi jenazah.
Walaupun batik dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh golongan Baba dan Nyonya, di dalam masyarakat Melayu, ia melambangkan gaya hidup masyarakatnya.
Justeru, langkah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA) bersama agensinya Kraftangan Malaysia mengadakan Forum Apresiasi Batik yang dipengerusikan oleh pensyarah UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr. Dzil Haimi Md. Zain bersempena Promosi Batik Merdeka di Kompleks Kraf, Jalan Conlay baru-baru ini amatlah dialu-alukan dalam usaha mengetengahkan pelbagai produk batik.
Apa yang membanggakan, batik yang dipromosi bukan sahaja untuk kegunaan berfesyen malah turut mengetengahkan batik sebagai satu produk gaya hidup.
Antaranya ialah menjadikan batik sebagai set lengkap bilik tidur dewasa dan kanak-kanak, barang permainan, pelengkap hiasan di ruang tamu dan meja makan sehinggalah ke bilik air.
SUNTIKAN BARU
Idea lama yang diberi inovasi lebih moden dan mengikut trend bukan sahaja memberi nafas baru kepada industri ini, bahkan membuktikan batik Malaysia mampu pergi lebih jauh.
Seperti kata Najib, ramai di kalangan pengusaha batik tidak berusaha memperkenalkan idea baru. Rekaan yang statik dan tidak diperbaharui menyebabkan penggemar batik meminggirkannya buat seketika.
"Apatah lagi jika hanya dijadikan kain pasang. Dengan harapan pembeli sendiri akan membawanya ke tukang jahit. Inilah di antara penyebab mengapa industri batik hanya mampu pergi separuh jalan sahaja. Saya berpendapat, jika kita mahu membangunkan industri ini sebagai satu produk komersil, batik tidak boleh menjadi produk separuh siap sahaja. Batik perlu menjadi produk terus guna atau pakaian yang siap dipakai mengikut cita rasa dan trend semasa," komen Najib.
BATIK BERIDENTITIKAN MALAYSIA
Bagaimanapun, jika batik mahu diketengahkan sebagai produk gaya hidup, batik Malaysia perlu ada identitinya. Selain Malaysia, negara-negara seperti Indonesia, China, Jepun dan Thailand turut memiliki seni batik. Tetapi agak menghairankan apabila hanya batik Indonesia sahaja yang disebut-sebut.
Walaupun batik Malaysia turut menembusi pasaran negara-negara Eropah, tetapi batik Indonesia lebih dikenali.
Bagi Najib, batik Indonesia dikenali kerana usaha berterusan mengekalkan tradisi mereka daripada segi corak dan warnanya.
Sedangkan di Malaysia, tidak ramai pembuat batik menghasilkan corak yang beridentitikan budaya Malaysia walaupun diakui negara ini kaya dengan pelbagai budaya yang boleh dijadikan motif batik seperti seni bina dan juga kraf negara.
Bagaimanapun, menurut pensyarah di Institut Seni Malaysia (MIA), Samsudin Abu Bakar, apabila menyebut batik sebagai gaya hidup, pembuat batik bukannya tidak mampu menghasilkan batik sebagai produk hiasan, tetapi mereka tidak mempunyai kepakaran untuk menjalankan penyelidikan.
"Misalnya, kita perlukan fabrik yang berbeza untuk perabot. Selain itu, fabrik yang digunakan untuk batik seperti yang terdapat di pasaran hari ini mungkin tidak sesuai untuk pasaran di negara-negara beriklim empat musim," jelas beliau yang juga seorang usahawan batik.
"Batik Malaysia bukannya tidak beridentiti, tetapi tidak ada dokumentasi mengenai corak dan juga warna yang pernah dihasilkan. Saya beri satu contoh, katakanlah ada sebuah syarikat dari luar negara membeli produk batik daripada sebuah syarikat, tiga tahun kemudian, syarikat berkenaan datang kembali, sayangnya, kerana tidak ada rekod mengenai produk yang sama sebelumnya, syarikat berkenaan tidak dapat memenuhi kehendak pelanggan," jelas Samsudin.
WARNA TERANG DENGAN MOTIF BERANI
Bagi pengasas Ilham Cipta, Masrina Abdullah pula, batik Malaysia memang mempunyai identiti. Jika dilihat pada warna yang terang dan berwarna-warni serta motif yang berani, identiti batik Malaysia memang telah lama tercipta. Bahkan telah lama dicuba oleh generasi terdahulu lagi.
"Inilah yang perlu digerakkan. Kita tidak boleh meninggalkan seratus peratus apa yang telah kita ada. Kerana batik adalah satu tradisi. Justeru saya berpendapat sekiranya kita ingin melakukan inovasi, kita tidak boleh mengatakan inilah batik. Itu mengubah identiti batik.
"Mungkin boleh ditukar kepada nama-nama lain seperti "Inspirasi Batik", Rekaan dari Batik, Batik Kontemporari atau sebagainya. Jika kita modenkan tetapi terus mendakwa itulah batik, kita akan menipu dunia dan mengubah sesuatu yang asli," sambung Masrina yang pernah bekerjasama dengan pereka fesyen Itali, Roberta di Camerino dengan pendekatan, Batik Malaysia, Inspirasi Itali.
DARIPADA KRAF KE SENI HALUS
Persoalan tentang harga batik yang mahal terutamanya di dalam industri fesyen, Masrina menyatakan ia bergantung kepada pendekatan yang digunakan oleh pengusaha dalam mempersembahkan hasil batik. Jika rekaan coraknya disasarkan kepada pasaran yang eksklusif, tentulah lebih mahal ditambah pula batik tersebut telah menjadi satu seni halus.
"Masih ramai pengusaha yang mengeluarkan batik untuk pasaran biasa. Tetapi harus diingat, batik lukis (canting) adalah satu seni. Seni yang dihasilkan oleh pelukis itulah yang harus dihargai," tambah Masrina.
Manakala seorang lagi pengusaha batik terkenal, Ab.Kareem Khadaied, dari Khadani Sdn Bhd berpendapat kaedah tradisional kraf batik yang sedia ada sudah cukup baik untuk dieksport memandangkan beliau sendiri telah 20 tahun terlibat untuk pasaran di Eropah atau syarikat-syarikat besar di luar negara.
"Jika ada pendapat yang menyatakan kaedah penghasilan batik Malaysia tidak cukup baik untuk dieksport secara besar-besaran, itu adalah pemikiran yang salah. Apa yang kurang ialah penyelidikan secara saintifik serta tenaga kerja mahir.
Beliau memberikan contoh mengenai masalah pengusaha mendapatkan maklumat mengenai kesan atau tindakan ke atas warna apabila bercampur dengan air yang mempunyai nilai pH yang tinggi.
Menurutnya, walaupun batik lukisan tangan telah wujud di Malaysia hampir 20 tahun, hingga kini belum ada kajian mengenai kesan air yang berpH tinggi ke atas warna secara menyeluruh.
"Industri batik sepatutnya bekerjasama dengan saintis untuk meningkatkan lagi inovasi teknologinya. Selain penyelidikan dalam teknologi bahan, pengusaha juga perlu mendokumentasikan hasil mereka untuk kesinambungan industri batik di Malaysia."
Oleh Nurul Halawati Azhari
Bernama