Rabu, 10 Oktober 2007

Usaha Perteguh Penyelidikan Dan Inovasi Di IPT


Pelan Strategik Pengajian Tinggi yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini dilihat sebagai satu rangka kerja jangka panjang yang holistik bagi menambahbaik pendidikan tinggi.

Ia dilihat sebagai satu peralihan paradigma dalam melahirkan modal insan yang dapat memenuhi permintaan pasaran dan tenaga akademik yang lebih tersohor.

Justeru, demi merealisasi hasrat itu, pelan itu menekankan pada penyelidikan dan pembangunan serta inovasi yang dianggap penting bagi kejayaan sesebuah institusi pengajian tinggi.

Wartawan BERNAMA Rosliwaty Ramly memetik rakaman temubual bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi KPT, Datuk Profesor Dr Hassan Said di Rancangan Selamat Pagi Malaysia menerusi RTM 1 pada 24 September lepas.


INTIPATI PELAN

1. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi pada 27 Ogos lepas. Apakah usaha-usaha kerajaan untuk memperteguh penyelidikan dan inovasi di IPT?

Dr Hassan:

Bagi memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi, KPT telah menggariskan lima strategi utama iaitu:

. Menambah bilangan penyelidik untuk mencapai bilangan kritikal: iaitu nisbah 100 penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) bagi setiap 10,000 tenaga pekerja.

ii. Mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi dan membangunkan sistem pengurusan harta intelek di IPT bagi menyokong sistem inovasi kebangsaan.

iii. Meningkatkan kecekapan tadbir urus aktiviti penyelidikan.

iv. Memastikan IPT terus berusaha menambah dana penyelidikan dari sumber dalam dan luar negara, dan

v. Meningkatkan infrastruktur, kemudahan dan peralatan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C) di IPT.

CABARAN DI HADAPAN


2. Apakah cabaran yang dihadapi dalam memperkasakan R&D&C dan inovasi?

Dr Hassan:

Selain kekurangan bilangan penyelidik, saintis dan jurutera, kita juga masih kekurangan dana untuk membiayai aktiviti R&D&C. Kita juga berdepan dengan karenah birokrasi dalam aktiviti R&D&C di IPT dan menghadapi masalah kurang kerjasama industri dan kerjasama antarabangsa dalam R&D&C.

Kita juga mengakui bahawa para pelajar dan ahli akademik kita belum begitu terdedah dengan budaya penyelidikan dan inovasi.

BAGAIMANA MENANGANI CABARAN

3. Apakah usaha-usaha yang diambil oleh KPT untuk menangani cabaran-cabaran itu?

Dr Hassan:

Dalam menangani isu kekurangan bilangan penyelidik, saintis dan jurutera, pelbagai usaha kini dalam proses pelaksanaan. Antaranya ialah meneruskan program Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA, selain penajaan pelajar terbaik.

Usaha-usaha lain ialah mengekalkan bilangan penyelidik terbaik di IPT melalui pemberian pengiktirafan, dorongan, insentif dan motivasi serta menghimpunkan penyelidik utama dan terbaik di pusat-pusat kecemerlangan penyelidikan IPT dalam bidang-bidang keutamaan.

KPT juga menyediakan insentif untuk menarik pakar luar menjalankan penyelidikan di IPT di samping menyediakan mekanisme bagi membolehkan pelajar menimba pengalaman di luar negara.

Bagi mengatasi kekurangan dana untuk membiayai aktiviti R&D untuk IPT, selain peruntukan penyelidikan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam RMK9, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memperoleh RM200 juta daripada kerajaan bagi Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS). Setakat ini KPT telah mengagihkan RM150.8 juta untuk membiayai 2,792 projek penyelidikan.

Untuk mengatasi karenah birokrasi, KPT juga berusaha untuk mempertingkatkan tadbir urus di IPT.

Bagi menangani masalah kekurangan kerjasama industri dan antarabangsa dalam R&D&C, selain mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor di beberapa IPTA, jawatan pegawai perhubungan industri turut diwujudkan.

Usaha lain termasuk memantapkan Majlis Perundingan Akademia Industri (AICC) yang meliputi hubungan IPT-Industri dan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan MOSTI. Hubungan IPT dengan syarikat multinasional dalam R&D&C khasnya diutamakan.

Dalam usaha mendedahkan budaya penyelidikan dan inovasi di kalangan para pelajar dan ahli akademik, KPT berusaha menerapkan kedua-dua elemen ini menerusi aktiviti reka cipta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti pertandingan mencipta robot dan Pertandingan Projek Akhir Pelajar (NIRC).

Kerjasama dengan Kementerian Pelajaran juga dipertingkatkan bagi memupuk kreativiti dan daya saing di kalangan pelajar sekolah.

BAGAIMANA MENGGALAKKAN PENYELIDIKAN

4. Apakah program-program yang dilaksanakan bagi menggalakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi di IPT?

Dr Hassan:

Pada masa ini, hasil-hasil R&D yang dikomersil di Malaysia hanya mewakili 3.5 peratus daripada jumlah hasil R&D berbanding 10 peratus di peringkat antarabangsa.

Bagi menggalakkan aktiviti pengkomersilan R&D, pelbagai aktiviti dilaksanakan, antaranya ialah penglibatan IPT dalam pameran R&D peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

KPT turut menerbit dan mengedarkan katalog produk penyelidikan dan inovasi yang telah dikomersil, yang berpotensi untuk dikomersil dan produk-produk yang telah dipaten.

Selain itu, direktori kepakaran IPTA secara online juga diwujudkan bagi memudahkan capaian kepada kepakaran yang terdapat di IPTA.

UNIVERSITI PENYELIDIKAN

5. Sebelum itu, pada 2 Ogos 2007, telahpun diadakan majlis penyampaian watikah bagi pemberian status Universiti Penyelidikan kepada beberapa buah universiti tempatan. Apakah konsep Universiti Penyelidikan dan perbezaannya dengan IPT lazim?

Dr Hassan:

Universiti Penyelidikan adalah universiti berasaskan penyelidikan ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan melalui strategi berikut:

i. Peningkatan aktiviti R&D&C

ii. Peningkatan pengambilan pelajar pasca siswazah dan pasca doktoral

iii. Peningkatan bilangan pensyarah yang mempunyai PhD

iv. Mewujud dan memperkukuhkan lagi Pusat Kecemerlangan

v. Mempertingkatkan pengambilan pelajar asing dan

vi. Meningkatkan kedudukan atau `ranking' IPTA di kalangan universiti-universiti terkemuka dunia.

Selain itu, USM, UPM, UKM dan UM sebagai Universiti Penyelidikan akan dibandingkan berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti kuantiti dan kualiti penyelidik, kuantiti dan kualiti pendidikan pasca siswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah, rangkaian dan pautan serta kemudahan sokongan.

Keempat-empat Universiti Penyelidikan itu akan dibangunkan supaya setaraf dengan universiti-universiti terkemuka di dunia. Ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan sekurang-kurangnya tiga buah IPT tempatan berada dalam kedudukan 100 yang terbaik di dunia dan satu lagi adalah antara 50 yang terbaik.

Bernama