HD 113766
Ahli astronomi baru-baru ini menjejaki bukti bakal wujudnya bumi kedua yang terbentuk pada jarak 424 tahun cahaya dari sebuah bintang.
Menggunakan teleskop Spitzer Space NASA, ahli-ahli astronomi telah menemui satu lingkaran besar debu panas yang berpusing mengelilingi bintang yang dinamakan HD 113766 yang lebih besar daripada saiz matahari.
Saintis menjangka gumpalan debu itu mengeras dan membentuk planet baru yang terletak di tengah-tengah zon sistem bintang tersebut yang sesuai menjadi habitat kerana suhunya cukup untuk menjadikan air dalam bentuk cecair. Saintis menjangka, ia boleh membesar seperti Marikh atau lebih besar.
Pengkaji juga berkata, bintang (matahari) itu dianggarkan berusia 10 juta tahun dan sudah sampai masa untuknya mewujudkan planet-planet berbatu. Penemuan mereka diperincikan dalam jurnal Astrophysical.
"Masa untuk matahari ini membina sebuah 'bumi' adalah tepat," kata ahli kumpulan pengkaji, Carey Lisse dari John Hopkins University Applied Physics Laboratory di Baltimore, Amerika Syarikat (AS).
Jika sistem bintang (matahari) berkenaan amat muda, planet-planet yang terbentuk akan dipenuhi gas dan akan membentuk planet gergasi gas seperti Musytari.
Jika terlalu tua pula, Spitzer sepatutnya telah menjejaki planet berbatu itu sejak lama dahulu.
Sistem matahari itu juga mempunyai adunan yang tepat iaitu material-material debu yang akan membentuk planet seperti bumi, kata Lisse.
"Adunan lingkaran tersebut sangat menyerupai dengan apa yang mengalir pada lava bumi," kata Lisse.
"Saya memikirkan material Mauna Kea (di Hawaii, AS) apabila saya mula-mula melihat komposisi debu pada sistem ini. Ia mempunyai batu mentah dan dipenuhi dengan besi sulfida," tambahnya.
Pada awal tahun ini, saintis mengumumkan bahawa mereka telah menemui satu atau dua planet baru yang berpotensi menyerupai bumi. Planet tersebut dinamakan Gliese 581c dan Gliese 581d.
Kosmo 11 Oktober 2007