Khamis, 25 Oktober 2007

Mara Masih Relevan Untuk Masyarakat Usahawan Bumiputera


Sejak ditubuhkan pada 1 Mac 1966, Majlis Amanah Rakyat (Mara) melaksanakan bermacam bentuk program dengan pelbagai pendekatan dalam usaha melahirkan seramai mungkin usahawan bumiputera, bukan sahaja dari segi bilangan malah kualiti yang menepati matlamat.

Mara yang penubuhannya hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pertama (1965) boleh dikatakan sinonim dengan kebangkitan masyarakat pengusaha dan peniaga bumiputera di negara ini.

Lebih-lebih lagi dalam menghadapi alaf baru yang berdepan dengan era globalisasi khususnya menuju 2020, peranan serta komitmen Mara dijangka bukan sahaja menjadi lebih berat tetapi juga lebih mencabar.


MASIH RELEVAN

Meskipun sudah wujud lebih 40 tahun, peranan Mara dilihat masih relevan dalam menjadi pemangkin dan peneraju kepada usaha melahirkan dan membimbing usahawan Bumiputera.

"Selagi terdapat isu Bumiputera yang masih belum selesai, selagi itu Mara akan tetap relevan sebagai badan amanah yang berfungsi memperjuangkan nasib dan harapan Bumiputera dalam menghadapi apa jua cabaran," tegas Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin dalam sesi wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Medan Mara di sini baru-baru ini.

Kenyataan beliau itu jelas merujuk kepada matlamat serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu membasmi kemiskinan dan pengstrukturan semula masyarakat serta sasaran 30 peratus pemilikan Bumiputera yang masih belum tercapai.

"Kemampuan usahawan Bumiputera berbanding kaum lain sangat terbatas sama ada dari segi bilangan mahupun nilai urus niaga. Justeru soal bantuan kerajaan terhadap usahawan Bumiputera tetap menjadi agenda penting khususnya bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD)," tegasnya.

Keadaan tersebut juga, tambah Nam menuntut Mara untuk dari semasa ke semasa terus mengambil inisiatif dalam menyemai budaya niaga dan keusahawanan di kalangan masyarakat Bumiputera.

Mara, katanya telah menyediakan Pelan Strategik Mara (PSM) untuk tempoh 10 tahun (2006-2015) di mana tumpuan ditekankan kepada pembinaan daya saing pengusaha Bumiputera dengan hasrat antaranya untuk mengukuhkan nilai pemilikan usaha niaga Bumiputera yang sedia ada.


PENDEKATAN BERBEZA

Bagaimanapun, Nam menjelaskan bermula daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu bagi tempoh 2006-2010, Mara menggunakan pendekatan atau kaedah berbeza dalam program pembangunan usahawannya.

Sebelum ini, Mara, katanya banyak menyediakan kemudahan dalam bentuk aktiviti seperti latihan keusahawanan, bantuan pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan kilang, bantuan khidmat runding cara perniagaan dan khidmat sokongan yang berkaitan.

"Kini kesemua aktiviti di atas digabungkan secara pakej dalam bentuk projek dan program keusahawanan untuk menjana pembabitan lebih besar dan berkesan," jelas beliau.

Pendekatan baru itu, katanya diambil memandangkan kaedah konvensional untuk melahirkan masyarakat usahawan Bumiputera yang dijelaskan sebelum ini menunjukkan kejayaan yang agak perlahan.

"Kita ingin melihat peningkatan dalam tahap perniagaan di kalangan usahawan Bumiputera yang selama ini berkecimpung dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Kita berharap usaha kita ini akan menghasilkan lonjakan yang lebih besar," kata Nam.


ANTARA PROGRAM 2007

Sejak awal 2007, Mara melancarkan tiga program utama iaitu Program Pembangunan Usahawan Tekno, Program Pembangunan Usahawan IBS (Sistem Bangunan Perindustrian) dan Program Peruncitan Bumiputera.

Menurut Nam, program-program tersebut menggandingkan perkongsian pintar dengan pembabitan pelbagai pihak dalam perlaksanaannya termasuk usahawan, universiti tempatan, agensi kepakaran seperti SIRIM dan pihak pembiaya seperti SME Bank, Yayasan Tekun dan Bank Rakyat.

Di bawah Program Peruncitan Bumiputera umpamanya, kata beliau Mara melantik 'anchor' dan mentor iaitu usahawan yang berjaya dalam bidang tertentu untuk membimbing usahawan baru yang dipanggil vendor dan 'mentee'.

"Setakat ini kita mengenal pasti 20 anchor dan mentor untuk melatih bakal usahawan menjalankan perniagaan yang sama atau berkait dengan yang telah diusahakan oleh anchor dan mentor tadi.

"Kita juga menyediakan kemudahan yang membolehkan sesuatu perniagaan dapat dijalankan. Pendekatan baru ini akan melipatgandakan lagi penyertaan usahawan bumiputera dalam bidang peruncitan," jelas Nam.

Di samping itu, beliau memberitahu institusi pendidikan Mara khususnya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mempunyai program melahirkan usahawan dalam bidang baru serta kritikal seperti vendor dalam senggaraan kapal terbang, senggaraan kapal, automotif serta bioteknologi.

Mara, katanya akan memantau usahawan-usahawan tersebut untuk ditingkatkan daripada usahawan kelas menengah kepada usahawan platinum.


KILANG DAN SYARIKAT PERUNDING

Dalam masa yang sama, Nam memberitahu Mara juga mempunyai skim mendirikan kilang khusus untuk meningkatkan kemampuan pengusaha bumiputera dalam bidang teknologi makanan.

"Kita dalam peringkat membina sebuah kompleks teknologi makanan di Kepong bernilai RM27 juta. Apabila siap kita akan menempatkan bakal usahawan dalam bidang makanan yang akan dilatih termasuk dalam bidang pengilangan makanan, HACCP (Sijil Titik Kawalan Kritikal Analisis Bahaya), kualiti dan standard.

"Kita harap usaha ini akan mempercepatkan lagi pembabitan Bumiputera dalam industri makanan halal terutamanya yang mengikut standard antarabangsa," kata Nam dengan menambah sebuah kilang yang sama turut dalam peringkat ubah suai di Batu Caves.

Bagi memastikan semua program Mara dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya dan mencapai sasaran matlamat, Nam menjelaskan Mara telah mengambil pendekatan melantik syarikat-syarikat tempatan sebagai Perunding Pengurusan Perniagaan (BMC).

BMC, katanya akan memantau semua usahawan yang terbabit dalam program Mara dan mereka mempunyai kepakaran dalam setiap bidang yang diceburi oleh usahawan berkenaan.

"Sebelum ini kita ada juga melantik perunding tetapi ia lebih kepada usaha untuk memulihkan perniagaan yang telah gagal. Kali ini BMC akan memantau usahawan kita daripada peringkat awal lagi. Kita akan menggunakan khidmat mereka untuk tempoh RMK-9 dan seterusnya," jelas beliau.

Di samping itu, Mara juga, katanya menandatangani perjanjian dengan syarikat United Kingdom untuk memberi khidmat nasihat dari segi teknologi, standard dan pembungkusan kepada usahawan-usahawan Bumiputera.


USAHAWAN PERINGKAT MENENGAH

Sebagai usaha Mara untuk melonjakkan lagi kemampuan usahawan Bumiputera supaya dapat "berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah" dengan usahawan lain, ia kini menekankan kepada usaha melahirkan usahawan peringkat menengah.

"Dulu fokus kita kepada perniagaan kecil-kecilan di luar bandar tetapi tak nampak hasil, kemajuannya terlalu perlahan.

"Sekarang kita kena berhijrah ke bandar untuk melahirkan usahawan peringkat menengah dan mereka ini lebih ramai di bandar. Ini fokus kita dalam RMK-9. Sebab itu kita banyak program peningkatan usahawan atau yang dipanggil 'groom big'," kata Nam sambil memberi jaminan bahawa Mara tidak akan melupakan pembangunan pengusaha kecil di luar bandar meskipun memberi fokus lebih kepada usahawan peringkat menengah.

Secara keseluruhannya, beliau memberitahu Mara meletakkan sasaran melahirkan kira-kira 60,000 usahawan baru di bawah RMK-9.

Mara, katanya menerima peruntukan sebanyak RM883.7 juta untuk program pembangunan usahawan Mara termasuk program melahirkan usahawan peringkat menengah.

"Boleh dikatakan setakat ini Mara mencapai banyak kejayaan hasil daripada program yang kita jalankan di bawah Rancangan Malaysia yang sebelumnya.

"Mereka yang terbabit dalam bidang pembinaan, perniagaan peruncitan dan perkilangan, ada yang dahulunya pelajar tajaan kita dan setelah mendapat pendidikan mereka juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan," kata Nam.

Menurut beliau, boleh dikatakan majoriti usahawan yang menerima bantuan dan bimbingan Mara berjaya dalam bidang masing-masing memandangkan kadar pinjaman tidak berbayar pada sekitar lapan peratus sahaja.


KEKANGAN YANG ADA

Dalam usaha berterusan Mara untuk melahir dan membimbing usahawan Bumiputera, terdapat juga segelintir usahawan Bumiputera yang gagal dalam perniagaan yang diusahakan.

"Punca mereka ini tak berjaya kerana mudah patah hati. Mereka jangka akan mendapat keuntungan dalam jangka waktu yang singkat, bila tak dapat patah hati dan tutup perniagaan. Walhal, kaum lain mungkin mengalami kerugian banyak kali, tetapi tidak luntur semangat, bangkit semula dan akhirnya jadi jutawan. Usahawan Melayu jatuh sekali terus tak mahu cuba lagi," jelas Nam.

Bagaimanapun bagi yang gagal, beliau berkata mereka masih boleh memohon bantuan Mara untuk memulihkan perniagaan. Ini bermakna ada peluang kedua untuk usahawan Bumiputera mendapatkan bantuan.

"Mereka ini tidak disenarai-hitamkan. Mara sentiasa memberi peluang kepada usahawan yang gagal memandangkan mereka sudah mempunyai pengalaman," jelasnya.

Menurut beliau satu lagi faktor kegagalan usahawan Melayu ialah kelemahan dalam bidang pemasaran.

"Dari segi pengeluaran produk, kita telah berjaya tetapi dari segi pemasaran kita tidak dapat menembusi pasaran seperti yang diharapkan. Sebagai langkah untuk mengatasi kekangan tersebut, Mara akan mewujudkan usahawan khusus bergiat dalam bidang pemasaran sahaja," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengusaha Bumiputera supaya tidak terlalu bergantung kepada agensi kerajaan sebaliknya mencontohi usahawan bukan Bumiputera yang berjaya dengan usaha sendiri serta bantuan persatuan perniagaan masing-masing.

Usahawan Bumiputera juga, katanya perlu meningkatkan ilmu pengetahuan dari segi pengurusan perniagaan jika mahu berjaya.

"Jangan segan mengikuti kursus walau pun mungkin dikenakan sedikit bayaran dan amalkan apa yang dipelajari," nasihat beliau.


- Bernama