Khamis, 25 Oktober 2007

Penduduk Tengkera Dapat Klinik Baru


Pembinaan Klinik Kesihatan Tengkera bukan sahaja merupakan satu penyelesaian kepada ketidakselesaan penduduk kawasan pinggir pantai ini untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Tetapi ia juga menjadi lambang pemodenan perkhidmatan itu untuk rakyat.

Klinik Kesihatan Tengkera yang baru akan dibina di Jalan Poh Ah Tiam di sini, iaitu kira-kira satu km dari klinik kesihatan sekarang yang lokasinya di Jalan Tengkera.

Kos pembinaan dijangka mencecah RM17 juta.

Kementerian Kesihatan sedang dalam proses mengeluarkan tender bagi projek itu dan ia dijangka siap dalam tempoh setahun selepas pembinaan dimulakan.


RAWATAN

Sudah lebih 30 tahun penduduk Tengkera mendapat rawatan di klinik kesihatan yang beroperasi di sebuah rumah kedai yang disewa di Jalan Tengkera di sini.

Bangunan kedai itu dibina pada 1929.

Perkhidmatan di klinik itu dimulakan pada Sept 1976 dengan enam orang kakitangan -- seorang penolong jururawat, dua orang atendan kesihatan, seorang pembantu farmasi dan seorang pembantu makmal rendah.

Mereka diketuai seorang pembantu perubatan.

Kini klinik kesihatan berkenaan mempunyai seorang pegawai perubatan dan 12 orang kakitangan lain.

Klinik kesihatan ini terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kesidang dengan jumlah penduduknya seramai 23,583 orang pada tahun 2001. Angka ini meningkat kepada 26,310 orang pada 2005.

Bilangan pesakit yang mengunjungi klinik kesihatan ini juga meningkat dari 26,133 (2001) kepada 29,611 orang (2005).

Antara perkhidmatan yang diberikan di klinik ini ialah rawatan pesakit luar, perkhidmatan klinik khas diabetes, darah tinggi dan lelah, program penyaringan kardio-vaskular dan rawatan kecemasan.


KLINIK SEMPIT

Mengambil kira beberapa faktor seperti kedudukannya di pinggir bandaraya Melaka, bilangan pesakit semakin bertambah dan rakyat semakin berpengetahuan mengenai penjagaan kesihatan, maka keperluan untuk mendapatkan sebuah bangunan baru serta kakitangan yang mencukupi adalah amat mustahak.

Keadaan klinik yang sempit dan kekurangan ruang menyebabkan banyak perkhidmatan yang sepatutnya ditawarkan tidak dapat dilaksanakan.

Ruang menunggu yang kian sempit untuk menampung pertambahan bilangan pesakit bukan sahaja menjadi rungutan pesakit tetapi mendatangkan tekanan kepada kakitangan.

Kebanyakan penduduk yang ditemui berpendapat sudah sampai masanya kawasan mereka mempunyai sebuah klinik kesihatan setaraf dengan tempat lain yang dilengkapi pelbagai kemudahan kesihatan.


TERPAKSA BERSESAK

Seorang penduduk, Goh Chee Yoon, 75, berkata klinik yang ada sekarang terlalu sempit berbanding bilangan pesakit yang kian bertambah dan mereka terpaksa bersesak untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata kedudukan berhampiran bahu Jalan Tengkera yang sibuk dengan kenderaan, menjadikan ia tidak selamat terutama kepada kanak-kanak.

"Ada kalanya ketika ibu bapa mendaftar diri di kaunter pendaftaran, anak-anak pula bermain di tepi jalan...cukup bahaya," katanya yang menyokong pembinaan Klinik Kesihatan Tengkera yang baru itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Datuk Abdul Karim Sulaiman berkata keperluan untuk mewujudkan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak amat kritikal dengan pertambahan bilangan kelahiran dan keperluan penjagaan kesihatan yang mendesak di kawasan berkenaan.

"Bagi kerajaan dan rakyat Melaka, kehadiran sebuah klinik kesihatan yang baru itu amat dialu-alukan," katanya.


PERKHIDMATAN DI KLINIK BARU

Perkhidmatan kesihatan tambahan yang akan diwujudkan di klinik kesihatan baru itu ialah perkhidmatan kesihatan ibu mengandung, kebidanan di rumah, kesihatan postnatal dan kanak-kanak.

Perkhidmatan lain ialah kesihatan remaja, perancangan keluarga, penjagaan warga tua, perawatan di rumah, promosi kesihatan termasuk pemakanan sihat dan bilik sumber untuk penyakit diabetes.

Pembinaannya melibatkan sebuah blok klinik kesihatan jenis III dua tingkat, dua unit kuarters jati kelas D empat tingkat, lapan unit kuaters kelas F empat tingkat, 16 unit kuarters damai kelas G2 lima tingkat, sebuah blok stor satu tingkat.

Pembinaan klinik kesihatan jenis III ini akan membolehkan perkhidmatan kesihatan primer dan perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak dilaksanakan dengan lebih sempurna dan secara meluas.

Klinik kesihatan baru ini dijangka memenuhi keperluan penduduk yang tinggal di sekitar Tengkera, Taman Kota Laksamana, Gajah Berang, Lorong Pandan, Limbongan, Kampung Enam, Tujuh, Lapan, Sembilan, Bachang, Malim Jaya, Pokok Mangga dan Balai Panjang.


TUMPUAN KEPADA KEMUDAHAN KESIHATAN RAKYAT

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Klinik Kesihatan Tengkera baru-baru ini, berkata kerajaan pusat sentiasa memberi tumpuan khusus dalam penyediaan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM400 juta disediakan untuk menaiktaraf 500 buah klinik kesihatan dan klinik desa di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Kerajaan akan memastikan tenaga kerja yang mencukupi termasuk pegawai kesihatan keluarga, perubatan, pergigian dan farmasi, jururawat, pembantu perubatan dan lain-lain anggota sokongan akan disediakan.

Katanya Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) telah meluluskan sebanyak 60 projek baru untuk dilaksanakan di bawah RMK9, melibatkan peruntukan sebanyak RM249.112 juta.

Projek itu termasuk sebuah kolej kejururawatan, hospital baru Alor Gajah, bangunan baru pejabat JKNM, bangunan baru pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah, pembinaan dan pengantian 12 klinik kesihatan dan 13 klinik desa di seluruh negeri ini.

Beliau berkata ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan terbaik untuk kesejahteraan rakyat.


-Bernama