Khamis, 8 November 2007

Anda Bermasalah? Usah Malu Untuk Dapatkan Khidmat Kaunselor


Pengalaman dirogol bapa tiri sejak di tingkatan satu membuatkan Nina (bukan nama sebenar) menghadapai tekanan perasaan dan gagal memberi tumpuan dalam pekerjaannya.

Peristiwa pahit berulang kembali apabila dia dirogol oleh teman lelaki yang selama ini menjadi tempat mengadu.

Sementara Farid (bukan nama sebenar) memiliki ijazah dari universiti luar negara, menyandang jawatan tinggi tetapi gagal mengawal nafsu seks. Tabiat buruk itu membuatkan beliau seringkali melakukan onani dan hubungan seks luar nikah dengan teman wanitanya. Nafsunya terus membuak sehingga sanggup melakukan seks luar tabii dengan ramai wanita.


JANGAN PENDAM MASALAH

Kedua-dua kes ini adalah antara kes-kes yang pernah dikendalikan oleh Prof Dr Mohd Tajudin Ninggal, Kaunselor Psikologi dan Pengarah Pusat Kaunseling Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

"Itu antara secebis kisah masyarakat yang berjaya diselesaikan menerusi pendekatan kaunseling. Mereka tidak segan untuk berjumpa kaunselor dan kini kedua-duanya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang," jelas Dr Mohd Tajudin.

Menurut beliau, mereka yang mempunyai masalah perlu menggunakan saluran yang ada untuk meluahkannya dan bukan memendam perasaan.

"Jangan biar masalah menjadi penyebab untuk bertindak yang bukan-bukan kerana setiap masalah itu ada penyelesaiannya. Antaranya melalui kaunseling persendirian," tambahnya.


DIMENSI BARU

Kemajuan teknologi dan perkembangan dunia terkini mengundang pelbagai bentuk masalah sosial. Masalah ini mungkin dalam aspek keluarga, persahabatan, kerjaya dan emosi yang boleh menjejaskan keyakinan diri dan menyebabkan kemurungan. Apatah lagi di saat masyarakat kian berhadapan dengan pelbagai isu dan permasalahan moral.

Perkhidmatan kaunseling persendirian kini dianggap sebagai satu segmen kesihatan mental yang semakin berkembang.

Ia mempunyai peluang luas bukan sahaja dalam aspek sosial dan kemasyarakatan malah dalam sektor industri, bidang perundangan dan forensik.

Oleh itu, Dr Mohd Tajudin berkata wajar sekiranya perkhidmatan kaunseling persendirian diteroka dan diberikan perspektif lebih meluas.

"Ia bakal menjadi satu alternatif baru yang boleh ditawarkan kepada mereka yang mahukan khidmat lebih peribadi, selesa dan sesuai dengan keperluan dan jangkaan," katanya.

Menurut beliau, mereka yang memerlukan kaunseling juga berpeluang memilih perkhidmatan kaunselor yang mempunyai orientasi sesuai dengan kehendak masing-masing sementara kaunselor pula dapat memperkenalkan pendekatan kaunseling berasaskan bidang kepakaran dan kreativiti.


APA ITU KAUNSELING PERSENDIRIAN?

Kaunseling Persendirian berkait rapat dengan perkhidmatan kaunseling berbentuk profesional yang mengenakan bayaran.

Di Amerika Syarikat umpamanya, sebagai pengiktirafan kepada kaunseling persendirian, kursus kaunseling ditawarkan di universiti menjurus kepada menyediakan seseorang itu menjadi pengamal kaunseling persendirian.

Bidang itu turut dilihat sebagai bidang yang boleh menjana sumber ekonomi setanding dengan tugas profesional lain.

Secara tidak langsung, ia membuka ruang lebih luas bagi menggalakkan kaunselor lebih berdikari dan melihat kaunseling sebagai satu kerjaya dengan prospek yang baik.


KELEBIHAN KAUNSELING PERSENDIRIAN

Pendekatan kaunseling persendirian mampu menarik lebih ramai anggota masyarakat, profesional dan orang perseorangan mendapatkan kaunseling di samping dapat menjana pendapatan lebih baik dengan strategi perkhidmatan yang menarik dan berkualiti.

Kaunselor juga boleh menggemblengkan segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari dalam satu pakej perkhidmatan atau produk yang menarik sebagai tawaran kepada pelanggan.

Di samping itu, setiap kaunselor juga dapat menawarkan perkhidmatannya mengikut citarasa dan kreativiti sendiri di luar batasan ruang lingkup dunia pendidikan dan perkhidmatan kerajaan semata-mata.

Contohnya, kini sudah terdapat permintaan daripada masyarakat yang inginkan khidmat pakar dalam bidang kerjaya dan kekeluargaan.

Kaunselor juga dapat menyediakan diri mereka menjadi perunding dan usahawan kaunseling.


ANJAKAN PARADIGMA

Arus perkembangan perkhidmatan kaunseling mempunyai pertalian erat dengan arus pesat kemodenan yang sedikit sebanyak mencetuskan pemikiran dan nilai baru dalam struktur dan peradaban masyarakat dunia.

Kita mungkin bersetuju bahawa arus globalisasi dan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) ini juga telah sedikit sebanyak mengubah struktur dan perkhidmatan kaunseling di seluruh dunia.

Justeru itu kaunseling perlu memainkan peranan lebih berkesan sebagai memenuhi hasrat masyarakat dalam usaha mencapai kesejahteraan insan.

Dalam dunia moden ini perkhidmatan kaunseling sebaiknya perlu lebih kreatif serta realistik dengan pelbagai pendekatan baru perlu difikir dan dicipta ke arah perkhidmatan lebih berkesan.

Ia juga perlu sentiasa relevan dengan tuntutan masyarakat dalam konteks dunia masakini kerana kaunselor dilihat sebagai mentor atau jurulatih yang berperanan membantu mereka yang dibelenggu kekusutan dan permasalahan.

Jelas Dr Mohd Tajudin, perkhidmatan kaunseling wajar dilihat daripada perspektif lebih luas melangkaui skop sedia ada.

"Bertemu dengan kaunselor bukan bererti anda menghadapi masalah jiwa tetapi berkongsi untuk mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin. Jadi jangan malu sebagai manusia biasa setiap daripada kita pasti tidak terlepas daripada masalah," katanya.


Oleh Ayu Dalita Pendek
Bernama