Anugerah Kanak- kanak Khas Terbaik adalah di antara empat jenis anugerah yang bakal dikurniakan bagi mengiktiraf kecemerlangan kanak-kanak kurang upaya, bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia ke-53, Sabtu ini.
Anugerah-anugerah lain ialah Pingat Hang Tuah, Tunas Jaya Kebangsaan dan Semangat Gemilang Kebangsaan. Pengurniaan anugerah ini merupakan acara kemuncak majlis sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia tahun ini.
Bertemakan "Keselamatan dan Perlindungan Kanak-kanak Adalah Keutamaan Kita", sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia akan dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Sabtu ini.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM), sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia tahun ini memberi nafas baru kepada Anugerah Hang Tuah yang pernah diberikan dari tahun 1960 hingga 1983.
ANUGERAH HANG TUAH
Anugerah ini dihidupkan semula kerana sifat-sifat terpuji dan kesanggupan berkorban yang dimiliki Laksamana Hang Tuah seperti keberanian, kesetiaan, semangat keperwiraan, kepintaran, penyayang dan kebijaksanaan masih diutamakan.
Sifat-sifat ini terbukti telah menyumbang kepada kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan ia perlu dipupuk bagi melahirkan generasi muda yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Semangat ini juga diharap dapat membantu masyarakat membina sebuah negara yang berdaulat, progresif, dinamik, berdaya saing serta penyayang.
Anugerah Pingat Hang Tuah ini disifatkan amat sesuai diberikan sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia kerana kanak-kanak adalah pewaris masa depan negara.
Kriteria pemilihan calon untuk anugerah ini ialah ia terbuka kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dan pencalonannya berasaskan perbuatan yang menonjolkan sifat gagah berani.
Ciri-ciri sifat tersebut adalah calon pernah menunjukkan sifat keberanian dalam membantu menyelamatkan nyawa manusia, harta benda dan tindakan yang mempunyai elemen keberanian sewaktu berlakunya kecemasan, bencana, kemalangan atau darurat.
Pemenang akan menerima wang tunai sebanyak RM5,000 beserta pingat dan sebuah piala iringan.
ANUGERAH TUNAS JAYA KEBANGSAAN
Anugerah Tunas Jaya Kebangsaan pula telah diperkenalkan pada 1991 setelah menggantikan Anugerah Tokoh Kanak-kanak Kebangsaan (1982-1990).
Ia dikurniakan kepada kanak-kanak yang berjaya secara menyeluruh meliputi kecemerlangan akademik, kegiatan ko-kurikulum, kepimpinan, motivasi diri dan sahsiah.
Pengurniaan anugerah ini sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang dinamik, progresif, aktif, berdisiplin dan berinovasi.
Pencalonan anugerah ini adalah daripada kanak-kanak yang layak dan terbaik di peringkat sekolah, daerah dan negeri. Para pemenang, lelaki dan perempuan, masing-masing akan menerima wang tunai RM3,000 beserta sebuah piala pusingan dan piala iringan.
ANUGERAH KANAK-KANAK TERBAIK
Bagi Anugerah Kanak-kanak Terbaik pula, ia diperkenalkan mengikut empat kategori iaitu bermasalah penglihatan, pendengaran, terencat akal dan spastik.
Mulai tahun 1992 kategori bermasalah pembelajaran telah diperkenalkan dan pada tahun ini, kategori Kurang Upaya Anggota turut diperkenalkan.
Ia dianugerahkan kepada enam kategori kurang upaya iaitu kurang upaya penglihatan, pendengaran, bermasalah pembelajaran, terencat akal, spastik dan kurang upaya anggota.
Para pemenang yang terdiri daripada lelaki dan perempuan akan menerima wang tunai sebanyak RM1,500 setiap seorang beserta piala iringan.
ANUGERAH SEMANGAT GEMILANG
Bagi Anugerah Semangat Gemilang pula, ia diberikan kepada kanak-kanak yang menerima perkhidmatan daripada JKMM sama ada perkhidmatan luar mahupun perkhidmatan institusi dan di kalangan anak-anak Orang Asli.
Anugerah ini mengambil kira keistimewaan seseorang kanak-kanak secara menyeluruh meliputi kecemerlangan akademik, kegiatan ko-kurikulum, kepimpinan, motivasi diri dan sahsiah.
Antara criteria pemilihan ialah kanak-kanak berusia antara 10 tahun sehingga 18 tahun yang menonjolkan kecemerlangan akademik ataupun bidang vokasional, bakat yang menyerlahkan keistimewaan calon, ketokohan bakat kepimpinan, kewibawaan dan mempunyai keperibadian terpuji.
Pemenang lelaki dan perempuan layak menerima wang tunai sebanyak RM1,500 setiap seorang beserta sebuah piala iringan.
Oleh Rosliwaty Ramly
Bernama