"Sayangi anak-anak kita kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Golongan muda harus sedar tanggungjawab mereka apabila mempunyai anak," demikian nasihat ikhlas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.
"Kanak-kanak adalah anugerah Tuhan. Setiap ibu pasti menyayangi anaknya dan adalah sesuatu yang menyedihkan apabila ada orang yang tidak peduli dengan hakikat ini.
Tersentuh dengan insiden jenayah kekejaman melibatkan kanak-kanak yang berlaku sejak akhir-akhir ini, Jeanne dengan nada penuh sayu berkata banyak perkara yang tidak diingini berlaku (kepada kanak-kanak).
"Apa yang boleh kita semua lakukan ialah awasi betul-betul anak-anak kita. Luangkan sebanyak mungkin masa bersama mereka dan didik mereka dengan penuh kasih sayang," luah Jeanne pada majlis sambutan Aidilfitri dan suai kenal bersama media di Seri Perdana, Putrajaya baru-baru ini.
"Biar macam mana sekali pun pihak polis berusaha untuk melindungi semua orang, perlindungan sepenuhnya tidak mungkin dapat dipenuhi," kata beliau sambil mengharapkan jenayah terhadap kanak-kanak dapat dibendung.
Bagi wanita yang bekerja pula, beliau menasihatkan mereka supaya mengorbankan sedikit masa sosial mereka untuk berdamping dengan anak-anak.
"Tonjolkan teladan yang baik pada mereka dan berusahalah mendekati serta mengenali anak-anak kita.
"Cuba menjadi kawan mereka. Ikatan antara ibu dan anak merupakan sesuatu yang cukup berharga dan saya bertuah memilikinya," kata Jeanne dengan senyuman terukir di bibir.
Berwajah tenang dengan penuh sikap keibuan, Jeanne, berbaju kurung moden batik sifon berona biru firus meluangkan masa dua jam lebih beramah mesra bersama kira-kira 200 wartawan yang hadir pada majlis itu.
KEIBUBAPAAN YANG BAIK
Pendek kata, keibubapaan yang baik merupakan anugerah paling unggul yang kita sebagai ibu bapa boleh berikan kepada anak-anak kita dan salah satu elemen penting untuk menjadi ibu bapa yang baik ialah dengan menonjolkan teladan yang baik untuk dicontohi, kata Jeanne.
Beliau mengakui sememangnya tiada seorang pun adalah ibu bapa yang sempurna dan tidak ada cara keajaiban untuk mendidik anak. Dan kita semua tahu ia adalah satu proses yang mencabar.
Keibubapaan dan proses mendidik anak dengan penuh kasih sayang adalah hadiah yang dianugerahkan kepada kita yang datangnya bersama satu tanggungjawab yang besar dan janji -- memberi jaminan keselamatan, memelihara anak dengan penuh kasih sayang, menyediakan persekitaran yang menunjukkan rasa kasih dan kesejahteraan emosi serta fizikal untuk kanak-kanak .. untuk SEMUA kanak-kanak!
Di sini ada beberapa petua yang wajar diamati oleh ibu bapa dalam mewarnai kehidupan kanak-kanak dengan penuh kasih sayang. Petua-petua itu adalah seperti berikut:
1. Luahkan kasih sayang anda
Luahkan kasih sayang anda sama ada melalui ucapan atau perbuatan. Didik dan belai anak-anak anda dengan penuh kasih sayang dengan meluahkan kata-kata bahawa anda menyayangi anak anda. Sentuhan, pelukan, dakapan dan belaian kasih sayang amat penting dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Ia memberi satu ketenangan dan rasa menyenangkan serta membangkitkan semangat kepada mereka.
2. Interaksi
Luangkan masa memerhati pergerakan mereka dan beri respons untuk setiap persoalan yang dibangkitkan. Mereka akan berasa diri mereka disayangi dan diutamakan. Juga dampingi mereka dengan meluangkan waktu bersama seperti membaca, berjalan, menonton, bermain dan membersihkan rumah. Apa yang didambakan kanak-kanak adalah perhatian anda. Mereka mempamerkan sikap yang kurang menyenangkan sebagai satu cara mendapatkan perhatian anda.
3. Jalin hubungan yang kukuh dan buatkan mereka rasa dilindungi.
Mereka memerlukan seseorang yang istimewa untuk didampingi apabila mereka memanggil. Tenangkan hati mereka apabila mereka berada dalam ketakutan. Tunjukkan mereka bahawa anda telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi mereka dan membuatkan mereka berada dalam keadaan selamat.
4. Persekitaran yang selamat dan menyihatkan.
Sediakan persekitaran yang selamat di dalam rumah supaya mereka bebas berada dalam rumah tanpa dihantui sebarang kebimbangan.
5. Menghargai
Hulur dan taburkan pujian serta dorongan. Apabila anak-anak anda mempelajari sesuatu atau menonjolkan sikap yang baik, beritahu mereka bahawa anda berasa bangga dengan mereka.
6. Layani kanak-kanak dengan rasa hormat, kebaikan dan kasih sayang.
Mendengar apa yang diluahkan oleh anak-anak anda memberi gambaran kepada mereka bahawa mereka adalah penting dan anda berminat dengan apa yang mereka perkatakan.
7. Mengkritik sikap, bukan anak anda.
Mendidik anak anda melakukan perkara yang betul lebih baik daripada menghukum sikap mereka yang tidak menyenangkan.
8. Mengukuhkan sikap yang positif
Sediakan satu peraturan hidup dalam kehidupan anak-anak anda. Tetapkan jadual mengikut waktu tentang masa makan dan tidur. Seandainya anda perlu mengubah jadual, beritahu mereka awal-awal lagi tentang perubahan itu.
Justeru, bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia Sabtu ini, sama-samalah kita berikan belaian, didikan dan perlindungan yang penuh kasih sayang kepada anak-anak kita semoga satu hari kelak, mereka juga menjadi ibu bapa yang penyayang. Ia juga sejajar dengan tema Hari Kanak-kanak Sedunia yang berbunyi: "Keselamatan dan Perlindungan Kanak-kanak Adalah Keutamaan Kita".
Oleh Rosliwaty Ramly
Bernama