Khamis, 8 November 2007

Beri Ruang Untuk Kanak-kanak HIV/AIDS


Tatkala seluruh dunia menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia dengan penuh gembira, di satu sisi lain pula, sambutan itu adalah bagi mengenang kanak-kanak yang menderita akibat penderaan, pengabaian, kemiskinan dan jangkitan pelbagai penyakit yang menggelapkan masa depan mereka.

Antara penderitaan hebat yang dialami mereka ialah kesengsaran akibat AIDS. Di Malaysia dan di seluruh dunia, AIDS meninggalkan impak yang serius kepada kanak-kanak di dunia sehingga ramai yang menderita ditinggalkan sebagai yatim piatu dan ditinggal terbuang akibat menghidap penyakit ini.

Bahkan turut menderita kerana ditinggalkan tanpa dilindungi daripada penderaan, eksploitasi dan juga penyakit.

Kesengsaraan mereka bukan sahaja disebabkan oleh AIDS semata-mata, malah disebabkan dunia masih tidak mengenalpasti bahawa AIDS adalah punca yang telah menghuru-harakan kehidupan mereka.


STATISTIK MEMBIMBANGKAN

Menurut sumber Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef), di seluruh dunia, kanak-kanak di bawah umur 15 tahun mewakili 1 daripada 6 kematian yang berkaitan dengan AIDS dan 1 daripada 7 jangkitan-jangkitan HIV yang baru.

Setiap minit, setiap hari, seorang kanak-kanak di bawah umur 15 mati disebabkan penyakit yang berkaitan dengan AIDS.

Setiap 15 saat, seorang anak muda berumur di antara 15-24 mendapat jangkitan HIV manakala 15 juta orang kanak-kanak di seluruh dunia menjadi anak yatim disebabkan AIDS.

Di Malaysia pula, jangkitan-jangkitan HIV yang baru kini meningkat dua kali ganda setiap tiga tahun dengan purata 17 orang diuji HIV positif setiap hari.

Daripada 74,000 orang yang telah dijangkiti di Malaysia, lebih kurang 40 peratus daripada mereka adalah yang berumur kurang daripada 29 tahun.

Jangkitan HIV daripada ibu kepada anak juga telah meningkat daripada 0.2 peratus pada tahun 1991 kepada 1.2 peratus pada tahun 2005.


KESAN KE ATAS KANAK-KANAK

Menurut Pensyarah di Jabatan Pembangunan Manusia & Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Dr Mariani Mansor, sesiapa sahaja tidak kira sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak memerlukan perlindungan serta kasih sayang untuk mendapatkan kebahagiaan.

AIDS meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke atas kanak-kanak yang terbabit dengannya sama ada mereka mempunyai ibu bapa yang menghidap AIDS atau mereka sendiri yang dijangkiti virus tanpa penawar ini.

"Sekiranya ibu bapa mereka telah meninggal dunia, kanak-kanak ini mungkin ketandusan kasih sayang. Apatah lagi jika orang yang dilantik sebagai penjaga tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan betul.

"Misalnya membiarkan masa depan mereka gelap dengan mengabaikan pendidikan mereka. Tetapi, kita juga tidak boleh menyalahkan penjaga yang mungkin turut menghadapi kekangan lain," jelas Dr Mariani.

Walau sehebat manapun kempen yang dilakukan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab, namun kanak-kanak AIDS tidak dapat tidak, tetap akan menghadapi stigma masyarakat.

Disedari atau tidak, sama ada saudara-mara, rakan-rakan, jiran tetangga secara perlahan-lahan akan menyisihkan mereka.

"Keadaan ini berlaku apabila mereka tidak memahami atau mesej tentang bahaya jangkitan penyakit ini tidak difahami. Mengakibatkan perasaan bimbang jika mereka dijangkiti," jelas beliau.

Masalah juga timbul apabila anak-anak yang mempunyai ibu bapa penghidap AIDS terpaksa mengetepikan alam kanak-kanak mahupun alam remaja mereka kerana terpaksa bertanggungjawab ke atas keluarga.

"Misalnya ada yang terpaksa berhenti sekolah membantu ibu bapa yang sakit menjaga adik-adik dan bekerja untuk menyara keluarga. Tanpa kelulusan dengan usia yang masih hijau, kerja bagaimanalah agaknya yang boleh dilakukan.

"Tidak mustahil jika mereka terlibat melakukan kerja-kerja yang tidak elok sehingga membawa kepada masalah sosial," ulas Dr Mariani lagi.


PERLINDUNGAN UNTUK KANAK-KANAK

Hakikatnya, mereka memerlukan perlindungan dari segi fizikal, proses pemahaman (kognitif), sosial dan juga emosi.

Ada kalanya, kanak-kanak yang berada dalam situasi sebegini dahagakan kasih sayang. Maka ibu bapa atau penjaga perlu menyedari keperluan mereka yang lebih sensitif daripada kanak-kanak normal. Mahu atau tidak, perhatian yang lebih perlu diberikan kepada mereka.

Selain kasih sayang, mereka juga perlu dibekalkan ilmu berfikir secara positif agar dapat memahami situasi yang sedang dialami. Jika perkembangan sosio emosinya tidak menentu, keadaan mungkin menjadi lebih teruk sehingga memberi kesan ke atas pembangunan diri kanak-kanak berkenaan.

Dr Mariani turut menyeru masyarakat agar menghilangkan prejudis mereka. Beliau tidak menafikan bahawa ada kalangan guru-guru sendiri yang takut dan menjauhi kelompok ini.

"Tetapi, kita tidak boleh menyalahkan masyarakat, Apa yang penting ialah mendidik masyarakat agar memahami bagaimana AIDS boleh merebak dan berjangkit," jelasnya.

Selain kempen-kempen yang telah dijalankan kerajaan dan NGO, beliau turut menyarankan pihak sekolah mengambil langkah menjalankan kempen untuk menyayangi dan membantu kanak-kanak AIDS ini agar mereka dapat menjalani hidup normal seperti kanak-kanak yang lain.

Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah sasaran utama yang boleh dijadikan titik mula pendidikan AIDS di sekolah. Sekiranya ibu bapa dan juga guru memahami situasi ini, sudah tentu mereka dapat mendidik kumpulan rakan sebaya anak-anak AIDS untuk menerima kelompok ini.

"Selain fizikal dan sosial, paling utama ialah mendidik kanak-kanak AIDS untuk mendaya-upayakan diri mereka secara fizikal dan emosi agar mereka dapat menjadi lebih tabah dan lebih positif.

"Masyarakat memang boleh memberikan pelbagai bantuan dan sokongan, namun kanak-kanak ini juga perlu dididik untuk membina perisai diri mereka sendiri tanpa terlalu mengharapkan bantuan pihak lain. Ini penting untuk mereka mencungkil potensi yang ada di dalam diri mereka."


Oleh Nurul Halawati Azhari
Bernama