Khamis, 8 November 2007

Usaha Kerajaan Menyejahterakan Kanak-kanak


"...Setiap anak yang lahir seharusnya dibesarkan dalam persekitaran yang sihat, dibekalkan dengan segala perlindungan yang perlu daripada penyakit, menerima asuhan, penjagaan dan kasih sayang yang sewajarnya, menerima pendidikan am dan pendidikan tinggi setakat yang boleh, menerima kemahiran yang sesuai dalam bidang yang perlu, disemai dengan budaya dan nilai kemanusiaan".

Demikian satu daripada elemen penting dalam mencapai Wawasan 2020 menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya berteraskan industri menjelang tahun 2020 mengikut acuan Malaysia sendiri.

Asas pada Wawasan 2020 ialah pembangunan negara secara total sebagai tunjang ke arah mencapai pembangunan seimbang.

Pembangunan seimbang sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, malah politik, sosial, kerohanian, psikologi dan perpaduan nasional serta sosial.

Kesemuanya ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa dan keyakinan.


AGENDA MENYEJAHTERAKAN KANAK-KANAK

Dalam merealisasikan hasrat ini, agenda menyejahterakan kanak-kanak turut menjadi fokus di mana kerajaan sentiasa berusaha memastikan perlindungan, pemulihan dan pembangunan kanak-kanak diteruskan bagi menjaga kebajikan dan kepentingan mereka.

Sebagai sebahagian daripada komitmen kepada perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanaknya, Kerajaan telah mengesahkan dan menandatangani Konvensyen-konvensyen berikut:

* Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak (19 Mac 1995)

* Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (4 Ogos 1995)

* Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 138 (Umur minimum untuk diambil bekerja) : 1997

* Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 182 (Bentuk buruh kanak-kanak yang paling teruk): 10 November 2000

* Konvensyen Menentang Jenayah Terancang Transnasional (26 September 2002)


USAHA-USAHA KERAJAAN

Sehubungan itu juga, Akta Kanak-Kanak 2001 digubal dengan menggabungkan Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.

Penggubalan Akta ini mengambil kira Prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

Akta tersebut mewajibkan pengamal perubatan, ahli keluarga dan penyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak melaporkan kes penderaan kanak-kanak.

Berikutan itu, kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan, menunjukkan peningkatan daripada 1,036 pada tahun 2001 kepada 1,656 pada tahun 2005.

Akta tersebut juga memberi penekanan kepada tanggungjawab dan penglibatan ibu bapa dalam pemulihan kanak-kanak dan menangani ketidakharmonian dalam keluarga melalui penyediaan bengkel interaktif.

Mahkamah khas dikenali sebagai Mahkamah Kanak-Kanak yang diketuai oleh seorang majistret dengan dua penasihat daripada kalangan orang awam ditubuhkan pada tahun 2002 untuk mendengar kes berkaitan kanak-kanak.


KES KEGANASAN KANAK-KANAK

Pelbagai usaha diambil untuk menangani isu keganasan terhadap kanak-kanak termasuk meningkatkan penyertaan masyarakat dalam melaksanakan program pencegahan dan pemulihan.

Keganasan terhadap kanak-kanak, misalnya, merencat kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak, merosakkan keupayaan mereka belajar dan bergaul, dan melemahkan perkembangan mereka sebagai orang dewasa yang berfungsi dan ibu bapa yang baik kemudian hari.

Dalam kebanyakan kes yang amat teruk, keganasan terhadap kanak-kanak juga boleh membawa maut. Seperti kebanyakan negara lain, keganasan terhadap kanak-kanak di Malaysia masih banyak tersembunyi di sebalik tabir, menjadikannya sukar untuk membuat penentuan yang tepat tentang kelazimannya.

Hanya penderaan kanak-kanak dan kisah pengabaian yang amat keterlaluan sahaja yang dilaporkan, selalunya melibatkan unsur tragik kecederaan yang mengganggu fikiran malah kematian.


PELBAGAI PERKHIDMATAN

Untuk itu, Pasukan Perlindungan Kanak-kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah untuk memberi perkhidmatan terutamanya kepada keluarga dan kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan di kawasan berkenaan.

Perkhidmatan tersebut termasuk aktiviti berkaitan kanak-kanak, kaunseling untuk kanak-kanak dan ibu bapa, kursus keibubapaan serta penjagaan kanak-kanak bertujuan memberi sokongan psikologi dan motivasi.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) (2001-2005), sejumlah 131 pasukan Perlindungan Kanak-Kanak ditubuhkan dengan keahlian aktif seramai 1,572 orang serta 135 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan.

Selain itu, pasukan untuk Mengesan Penderaan Kanak-Kanak Terabai (SCAN) ditubuhkan di hospital daerah dan negeri untuk menyelia dan memantau kes penderaan kanak-kanak yang dirujuk kepada hospital.

Pada tahun 2004, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia melaporkan 1,656 kes penderaan kanak-kanak, dengan bilangan kes yang tertinggi melibatkan pengabaian dan penderaan seks kanak-kanak.

Sejumlah 14 pasukan SCAN ditubuhkan di hospital negeri dan 690 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan.


KECEDERAAN-KECEDERAAN LAIN

Selain itu, di Malaysia, kecederaan kanak-kanak turut menjadi punca utama kematian dan hilang upaya kanak-kanak, meletakkan beban berat kepada keluarga dan masyarakat.

Saban tahun ratusan kanak-kanak maut akibat kecederaan, manakala yang cedera parah juga tidak terhitung jumlahnya. Kebanyakan kecederaan ini, yang paling kerap berlaku disebabkan oleh jatuh, terbakar, lemas dan kemalangan jalan raya menyebabkan hilang upaya kekal dan kerosakan otak.

Malangnya, kebanyakan kecederaan ini berlaku di dalam atau berhampiran dengan rumah dan hampir semuanya boleh dielakkan.

Untuk itu, Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1984 yang bertujuan memastikan standard minimum penjagaan kanak-kanak di pusat penjagaan dikaji semula pada tahun 2005 bagi menetapkan langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan meningkatkan kualiti penjagaan kanak-kanak.

Di samping itu, sektor awam dan swasta digalak untuk menubuhkan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja melalui penyediaan pelbagai insentif seperti pemberian bantuan secara langsung dan rebat cukai.


INSTITUSI PENJAGAAN KANAK-KANAK

Dalam tempoh RMK-8, sebanyak 86 pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar telah ditubuhkan di tempat kerja manakala seramai 3,197 penyedia khidmat penjagaan kanak-kanak diberi latihan untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak.

Kerajaan terus menyediakan institusi penjagaan untuk anak yatim serta anak yang ditinggalkan, didera dan diabaikan.

Dalam tempoh itu juga, tiga Rumah Kanak-kanak yang baru dibina untuk memberi penjagaan dan perlindungan kepada 320 kanak-kanak.

Selain itu, tujuh Rumah Tunas Harapan ditubuhkan bagi membolehkan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan tinggal dalam suasana kekeluargaan.

Rumah tersebut disediakan melalui perkongsian dan kerjasama dengan badan korporat, kerajaan negeri serta agensi lain yang berkaitan seperti Yayasan Kebajikan Kebangsaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi berasaskan masyarakat yang memberi manfaat kepada 240 kanak-kanak.


USAHA-USAHA LAIN

Selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, usaha diambil untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai kanak-kanak dalam penggubalan dan proses membuat keputusan.

Usaha bina upaya dan memperkasa kanak-kanak mengenai isu dan hak mereka telah diambil melalui program kesedaran dengan penyertaan seramai 163 kanak-kanak dalam tempoh RMK-8.

Bagi memastikan suara mereka terus didengar, kanak-kanak juga turut dilibatkan dalam penilaian Pelan Tindakan Negara (NPA) pertama dan merangka NPA kedua bagi tempoh 2006-2020.

NPA kedua (2006-2020) akan dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak dengan memberi penekanan kepada perlindungan, pembangunan dan penyertaan mereka selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan Wawasan 2020.

Dasar Pembangunan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak akan digubal bagi menyediakan rangka kerja dasar untuk pembangunan strategi dan program, masa hadapan yang akan memastikan pembangunan kanak-kanak secara keseluruhannya menepati keperluan dan hak mereka.

Penyertaan masyarakat akan terus menjadi strategi utama dalam program pencegahan dan pemulihan untuk kanak-kanak dalam tempoh RMK-9 (2006-2010).

Peranan Pasukan Perlindungan Kanak-kanak, Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak dan penasihat mahkamah untuk Mahkamah Kanak-Kanak akan dipertingkatkan dalam membantu memberi perlindungan yang terbaik kepada kanak-kanak dan menyatukan program pencegahan dan pemulihan bagi membendung pelbagai masalah sosial di kalangan kanak-kanak.

Usaha untuk meningkatkan kesedaran dan program latihan khusus akan dilaksanakan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kepada semua ahli berkaitan dengan kanak-kanak, pengetahuan prosedur mahkamah, penyediaan akta yang berkaitan dan kesedaran mengenai hak kanak-kanak.


Oleh Rosliwaty Ramly
Bernama