Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah mewujudkan Program Pendidikan Pengundi untuk meningkatkan lagi kefahaman pemilih-pemilih berdaftar khususnya dan warganegara Malaysia amnya mengenai sistem pilihan raya.
Sebagai usaha sulung di bawah program tersebut, SPR telah menerbitkan sebuah buku kecil bertajuk "Ketelusan Sistem Pendaftaran dan Penyemakan Daftar Pemilih dan Isu-isu Semasa yang berhubung dengannya."
Menurut Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor, buku tersebut dicetak sebanyak 20,000 dan diedarkan kepada semua Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Negara, Ketua Jabatan, Ketua Setiausaha Kementerian, Menteri Besar, Universiti dan Setiausaha Agung Parti-parti Politik.
"Di bawah Program Pendidikan Pengundi ini, SPR berharap dapat meningkatkan lagi kefahaman dan keyakinan pemilih-pemilih berdaftar mengenai ketelusan urusan pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih serta ketelusan urusan pengurusan pilihan raya di negara ini.
"Penerbitan buku ini menunjukkan betapa telusnya SPR dalam menguruskan perjalanan pilihan raya. Ini berikutan timbulnya tuduhan-tuduhan yang tidak tepat mengenai ketelusan SPR ekoran diputarbelitkan oleh sesetengah pihak," jelas beliau.
Antara lain, buku ini menyentuh beberapa perkara yang sering menjadi tanda tanya bagi orang awam setiap kali menjelangnya pilihan raya.
SPR dalam urusan pendaftaran dan penyemakan Daftar Pemilih sering menerima kecaman-kecaman daripada pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa Daftar Pemilihnya adalah kurang lengkap dan bersih.
"Ada pihak tertentu yang menuduh bahawa Daftar Pemilih dibuat sedemikian bagi memberi 'kelebihan' kepada sesuatu pihak yang tertentu," tambah Kamaruzaman.
Di antara isu-isu semasa yang hangat dibahaskan mengenai Daftar Pemilih adalah seperti nama pemilih yang telah meninggal dunia tetapi masih belum dikeluarkan daripada daftar pemilih.
Menurut pihak SPR, pihak yang berwajib untuk mengemaskinikan rekod kelahiran dan kematian di negara ini ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Berpandukan kepada rekod kematian yang diberikan oleh JPN, barulah SPR memotong nama-nama mereka yang telah meninggal dunia daripada Daftar Pemilih yang telah dikemaskini.
500-1000 KEMATIAN SEHARI
Dianggarkan di antara 500-1000 orang warganegara meninggal setiap hari. Namun begitu, jika waris si mati tidak memperakukan tersebut kepada JPN ataupun lewat melaporkan, maka JPN tidak dapat mengemaskini pangkalan datanya yang menggunakan Sistem ALIS.
SPR telah mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan petugas SPR di peringkat negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan Permit Menguburkan yang dikeluarkan oleh balai polis masing-masing.
Selain itu, satu lagi topik utama yang dibahaskan semasa sesuatu pilihan raya umum dan kecil ialah pemilih tidak bermastautin di alamat tempat dia didaftarkan.
Hinggakan ada yang salah mentafsirkan perkara ini sebagai pengundi hantu. Apa yang berlaku ialah seseorang pemilih pergi mengundi di tempat lama beliau didaftarkan. Tempat tersebut pula bukanlah tempat bermastautin semasa.
Bagaimanapun, beliau ialah pengundi yang sah dari segi undang-undang. Sebagai contoh, seseorang pemilih itu pada awalnya berdaftar di Kota Baharu, Kelantan. Kini, beliau bermastautin di Putrajaya.
Oleh kerana beliau masih lagi belum membuat permohonan pertukaran alamat bermastautin dengan JPN, beliau tidak dapat membuat permohonan kepada SPR untuk menukar alamat mastautinnya daripada Kota Baharu, Kelantan ke Putrajaya.
Oleh itu, apabila tiba hari mengundi, beliau terpaksa pulang ke Kota Baharu, Kelantan untuk mengundi.
Beliau pengundi yang sah dari segi undang-undang dan bukanlah pengundi import atau pengundi 'hantu' seperti yang disalahertikan oleh pihak-pihak tertentu.
Untuk mengelakkan masalah ini, SPR sentiasa menggalakkan pemilih yang telah berpindah ataupun bertukar alamat bermastautin untuk menukarkan alamat pada kad pengenalan mereka kepada alamat tempat tinggal terkini dan mendaftarkan alamat tersebut dengan JPN.
Selepas itu, barulah mereka boleh memohon dengan SPR untuk mendaftarkan pertukaran alamat bermastautin mereka.
Ini bagi memudahkan pemilih mengundi dengan mudah dan selesa semasa hari pengundian di pusat mengundi yang berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing.
PEMINDAHAN KAWASAN TANPA PENGETAHUAN PEMILIH
Di bawah Sistem Pendaftaran Bermusim (SPB) yang dilaksanakan sebelum 16 Julai 2002, SPR ada melantik pegawai dan kakitangan kerajaan, kakitangan syarikat swasta, anggota-anggota pertubuhan bukan kerajaan dan pekerja-pekerja parti politik sebagai Penolong Pegawai Pendaftaran (PPP) untuk menjalankan urusan pendaftaran pemilih baru dan permohonan pertukaran alamat dalam tempoh 21-42 hari dalam setahun.
Dalam konteks ini, SPR mempercayai sepenuhnya butiran-butiran peribadi seseorang bakal pemilih baru atau pemilih yang sedia ada yang membuat permohonan berdaftar untuk bertukar alamat yang dibekalkan oleh PPP dari seluruh negara kepada SPR.
Namun, ada sebahagian PPP yang kurang jujur dan telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan oleh SPR itu.
Akibatnya berlakulah keadaan seperti pemilih-pemilih berdaftar telah dipindahkan (dengan menurunkan tandatangan palsu dalam borang pendaftaran) daripada satu kawasan pendaftaran ke suatu kawasan pendaftaran yang lain tanpa pengetahuan pemilih itu sendiri.
Ini dilakukan oleh PPP berkenaan bagi mencapai sesuatu tujuan pihak yang berjaya mempengaruhi mereka.
Seperti yang berlaku pada Pilihanraya Umum 2004. Keadaan tersebut hanya disedari oleh pemilih-pemilih apabila mereka ke pusat mengundi yang pernah mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum yang terdahulu.
Mereka terkejut apabila mendapati nama mereka sudah tidak tersenarai di dalam Daftar pemilih dalam kawasan pendaftaran berkenaan.
Keadaan ini telah mendorong pemilih-pemilih terlibat membuat tohmahan liar dan tidak berasas bahawa SPR telah memindahkan nama mereka dengan sewenang-wenangnya, sedangkan undang-undang yang sedia ada jelas tidak memberi kuasa kepada SPR untuk berbuat sedemikian.
Kini, PPP hanya mempunyai kuasa mendaftarkan pemilih sahaja dan mereka tidak mempunyai kuasa untuk menukar alamat pendaftaran pemilih.
SENTIASA SEMAK BUTIR PERIBADI
Bagi mengatasi masalah ini, SPR sentiasa menguar-uarkan melalui Program Hari Bertemu Pelanggan bulanan yang diadakan di seluruh negara agar pemilih-pemilih berdaftar menyemak butir-butir peribadi mereka yang terdapat di dalam Daftar Pemilih semasa.
Malahan, semakan Daftar Pemilih boleh dibuat secara on-line melalui Website SPR iaitu www.spr.gov.my.
Mereka yang namanya tidak tersenarai, diminta tampil ke hadapan untuk mengisi Borang A bagi membolehkan SPR mendaftarkan semula nama mereka.
Pendaftaran adalah berasaskan alamat tertera di dalam kad pengenalan pemohon ataupun seperti yang terdapat di dalam pangkalan data Sistem ALIS di JPN.
KESILAPAN BUTIRAN PERIBADI
Walaupun SPR ada membuat semakan terus dengan pangkalan data Sistem ALIS di JPN, tidak dapat dinafikan bahawa kadangkala kakitangannya mungkin tersilap membuat kerja-kerja pendataan.
Keadaan ini menyebabkan ejaan nama pemilih, nombor kad pengenalan, bangsa, jantina dan alamat pemilih itu telah tersilap didatakan.
Walau bagaimanapun, kesilapan-kesilapan begini adalah kecil.
Bagi mengatasi masalah ini, SPR telahpun memantapkan lagi sistem Kawalan kualiti di peringkat input, 'through-put' dan 'out-put'.
Malahan, dibangunkan aspek verifikasi dan validasi di setiap Peringkat input, 'through-put' dan 'out-put'.
Dengan ini, diharapkan satu hari nanti semua maklumat yang dibuat Pendataan adalah tepat dan SPR berupaya menyediakan Daftar Pemilih yang lebih tepat, terkini serta bebas daripada sebarang kesilapan.
Oleh Nurul Halawati Azhari
Bernama