Khamis, 8 November 2007

Pengesanan Awal Dapat Bantu Pelajar Lembam


Walaupun Muhammad Haikal Noor Hammad, kelihatan seperti remaja lain tetapi dari aspek membaca, menulis serta mengira, beliau dikategorikan sebagai pelajar lembam.

Pelajar berumur 16 tahun ini ketinggalan dari segi akademik disebabkan gagal mengikuti pelajaran yang diajar di sekolah dengan sepenuhnya.

Masalah "lembam" menjadi satu isu yang perlu ditangani kerana pelajar yang mengalami masalah ini lambat menerima pengajaran di sekolah disebabkan beberapa faktor.

Antaranya ialah faktor intelektual, persekitaran serta punca disebabkan penyakit autisme, disleksia dan Sindrom Down.

Kementerian Pelajaran mengambil berat terhadap pendidikan golongan ini dan telah menubuhkan Jabatan Pendidikan Khas untuk mengendalikan sepenuhnya program berkenaan masalah itu.


PENGUASAAN ASAS

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Khas, Azizah Abdul Gani, berkata murid yang bermasalah pembelajaran terutama penguasaan asas menulis, membaca dan mengira (3M) akan dikenalpasti oleh guru seawal tiga bulan pertama sesi persekolahan di tahun satu.

"Di peringkat sekolah rendah, murid yang bermasalah penguasaan 3M akan dikenalpasti oleh guru kelas atau guru mata pelajaran. Mereka akan dicalonkan kepada guru pemulihan khas untuk menjalani ujian saringan bagi mengetahui kelemahan dan kekuatan murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik secara menyeluruh.

"Pengesanan awal membantu murid ini memdapatkan program pemulihan khas," katanya.

Menurut Azizah, ibu bapa sewajarnya mengawasi perkembangan dan pertumbuhan anak mereka sejak dari lahir untuk mengenalpasti jika terdapat sebarang "tanda-tanda kecurigaan" pada diri anak.

Intervensi awal penting bagi meminimumkan kesukaran yang bakal dihadapi oleh anak yang mungkin menghadapi masalah itu, kata beliau.


KECACATAN SERIUS

Kecacatan serius seperti masalah penglihatan, terencat akal dan kecacatan fizikal yang mengakibatkan ketidakupayaan fizikal biasanya mudah dikenalpasti.

Tapi ada anak-anak yang mengalami masalah yang sukar dikenalpasti kerana keadaan fizikal mereka kelihatan sama seperti kanak-kanak normal yang lain.

Ibu bapa mungkin menganggap anak mereka lembab dibandingkan dengan kanak-kanak sebaya lain itu -- satu perkara biasa apabila kanak-kanak itu lambat menguasai sesuatu kemahiran.

"Pemikiran dan anggapan ini mungkin menyebabkan ibu bapa tidak mempedulikan masalah yang dihadapi oleh si anak malah ada yang melepaskan tanggungjawab kepada guru sepenuhnya kerana faktor kesibukan dan status sosio-ekonomi yang rendah," kata Azizah.

Menurut Azizah masalah pembelajaran ialah mereka yang mengalami lewat perkembangan bagi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun.

Juga bagi kes-kes seperti Sindrom Down, hiperaktif, terencat akal, disleksia, disgrafia dan diskakulia.


RAWATAN, BIMBINGAN

"Kanak-kanak ini memerlukan rawatan, bimbingan, dan perhatian khusus daripada orang di sekeliling mereka," katanya.

Kata beliau lagi, kanak-kanak bermasalah pelajaran ini bukanlah bodoh, lembab, malas, atau tahap kecerdasan yang rendah.

Situasi ini juga bukan berlaku akibat daripada perbezaan budaya, status sosial, kekangan ekonomi dan pengaruh persekitaran.

Sebenarnya kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini bermaksud masalah khusus di dalam otak kanak-kanak ini yang menjejaskan cara seseorang itu memproses dan bertindak balas terhadap sesuatu maklumat.

"Jangan sekali-kali melabelkan mereka sebagai bodoh, selagi kanak-kanak itu normal, mereka tetap boleh diajar," katanya.


GURU PENDIDIKAN KHAS

Menurut Azizah, guru pemulihan khas adalah terlatih dan berkemahiran untuk mengesan murid bermasalah pembelajaran.

"Guru di kelas pemulihan khas memang guru yang dilatih di maktab termasuk Institut Perguruan Ilmu Khas, Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia," katanya.

Walaupun terdapat kelas pemulihan khas dan pendidikan khas untuk pelajar bermasalah namun masih menjadi persoalan ialah ke manakah hala tuju mereka selepas melalui proses pembelajaran di peringkat sekolah menengah.

Kelas pendidikan khas di sekolah menengah menerima mereka yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 19 tahun seperti yang terdapat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, Selangor (SMK Bandar Sunway).

Penyelaras Pendidikan Khas SMK Bandar Sunway, Juairiah Johari, berkata di sekolah itu terdapat program `Generating Opportunity Learning Disablity' (GOLD) iaitu pelajar dilatih supaya dapat menguruskan diri seperti mengemas bilik tidur serta dibimbing dengan kemahiran-kemahiran tertentu yang membolehkan mereka menceburi alam kerjaya kelak.

Kemahiran-kemahiran itu termasuklah kemahiran menggunting rambut, memasak, membuat cenderamata dari bahan seramik dan membuat kertas daripada kertas terpakai.

"Di sini pelajar dilatih menjalani kehidupan normal supaya mereka akan tahu bahawa dalam hidup ini perlu ada duit walaupun mereka bermasalah pembelajaran," katanya.

Yang di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway Datuk Zakaria Hashim berkata mendidik anak-anak bermasalah pembelajaran (anak istimewa) merupakan satu tahap yang luar biasa kerana perlu melayan karenah anak yang banyak ragam.

"Ini adalah satu cabaran dan kita perlu gigih mendidik mereka," katanya.

Beliau juga mempunyai seorang anak yang mengalami masalah pembelajaran sejak kecil lagi, Yahya Hilmi, 19, yang menghidapi penyakit Sindrom Down.

Kini Yahya ditempatkan di kelas pendidikan khas SMK Bandar Sunway yang boleh melatih beliau berdikari.


KAJIAN

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Lok Yim Pheng berkata satu kajian perlu diadakan untuk melihat keperluan sebenar pelajar bermasalah pembelajaran bagi membantu mereka supaya dapat berdikari.

KPPK menyarankan kerajaan supaya melihat semula kaedah pembelajaran anak-anak bermasalah pembelajaran memberi peluang untuk melatih mereka memperoleh kemahiran dalam pekerjaan.

"Kerajaan sudah awal-awal membuat laluan untuk mereka membina kerjayanya dalam pasaran kerja dengan menyediakan kelas pemulihan dan pendidikan khas," katanya.


Oleh Normawati Muhamad Nor
Bernama