Bimbang dengan kejadian keganasan terhadap kanak-kanak yang terus meningkat, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2001 meminta setiausaha agung PBB untuk menjalankan kajian mendalam mengenai isu itu.
Kajian selama lima tahun itu dikendalikan dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kajian itu yang diketuai oleh seorang pakar bebas Profesor Paulo Sergio Pinheiro merupakan kajian menyeluruh sedunia yang pertama bagi segala bentuk keganasan terhadap kanak-kanak.
Ia juga merupakan kajian pertama seumpamanya yang dikendalikan oleh PBB yang secara langsung membabitkan kanak-kanak, membayangkan status mereka sebagai pemegang hak dan hak mereka untuk menyatakan pandangan mereka terhadap hal-hal mengenai mereka.
Pelancaran global laporan setiausaha agung PBB mengenai keganasan terhadap kanak-kanak dibuat pada 11 Okt tahun lepas di New York.
Di Malaysia, Gaye Phillips, bekas wakil Unicef ke Malaysia, Brunei dan Singapura dalam memperinci laporan yang bertema "Jagalah Dengan Baik Anak-anak Kita - Hentikan Keganasan Sekarang!" berkata keganasan ditakrif dalam Artikel 19 Konvensyen akan Hak Kanak-kanak (CRC).
Artikel 19 CRC mentakrif keganasan sebagai segala bentuk keganasan fizikal atau mental, kecederaan dan keganasan, pengabaian atau layanan cuai, penganiayaan atau eksploitasi termasuk penderaan seks.
Kajian itu yang menyatukan perspektif hak asasi manusia, kesihatan awam dan perlindungan kanak-kanak menumpukan pada lima perkara di mana keganasan berlaku, khasnya kediaman dan keluarga, persekitaran sekolah dan pendidikan, institusi (penjagaan dan kehakiman), tempat kerja dan masyarakat. Kajian itu juga memberi gambaran yang mengejutkan, keganasan adalah sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
SENARIO SURAM
WHO menganggarkan yang lebih kurang 40 juta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menjadi mangsa keganasan, penderaan dan pengabaian. WHO juga menganggarkan bahawa lebih kurang 53,000 kanak-kanak daripada usia 0-17 mati dibunuh pada 2002.
Mengikut anggaran terbaru Pejabat Buruh Antarabangsa, 5.7 juta kanak-kanak menjadi buruh paksaan atau hamba, 1.8 juta terbabit dalam pelacuran dan pornografi dan 1.2 juta menjadi mangsa penyeludupan pada 2000.
Di 16 negara membangun yang dikaji, peratusan kanak-kanak dalam usia persekolahan yang dilaporkan didera secara lisan dan fizikal di sekolah-sekolah adalah antara 20 peratus di beberapa negara dan sehingga 65 peratus di beberapa lagi negara.
Menurut kajian itu lagi kanak-kanak dalam tahanan terdedah kepada keganasan oleh kakitangan yang menggunakan keganasan sebagai satu bentuk kawalan atau hukuman, seringkali kerana kesalahan-kesalahan kecil. Di 77 negara, hukuman dera dan bentuk hukuman ganas yang lain diterima sebagai tindakan disiplin sah dalam institusi-institusi pemulihan.
KEGANASAN TIDAK DILAPORKAN
Penemuan laporan itu menunjukkan banyak daripada keganasan tidak dilaporkan dan oleh itu angka-angka yang diberikan sebenarnya tidak memberi gambaran akan skop sebenar masalah itu. Keganasan berlaku tidak kira di negara miskin atau kaya dan merentasi semua masyarakat di mana kanak-kanak membesar. Malangnya, keganasan merupakan sebahagian daripada norma ekonomi, budaya dan masyarakat yang merupakan sebahagian daripada persekitaran hidup ramai daripada kanak-kanak.
Keganasan terhadap kanak-kanak berlaku di sekolah-sekolah, rumah anak-anak yatim, pusat-pusat tahanan dan kemudahan penjagaan berasrama, di jalan, di rumah dan di Internet di mana kanak-kanak didera dan diekploitasi dengan penerbitan bahan-bahan lucah dan mereka juga menghadapi risiko terdedah kepada imej-imej keganasan dan yang merendahkan maruah.
Laporan itu berkata keganasan dalam segala bentuk berakar umbi dalam isu-isu seperti hubungan antara lelaki dan wanita, ketiadaan penjaga utama dan norma serta nilai masyarakat yang seringkali tidak mengambil kira kepentingan kanak-kanak.
Faktor-faktor lain yang menyumbangkan ke arah keganasan terhadap kanak-kanak yang berleluasa termasuk penyalahgunaan dadah dan alkohol, pengangguran, jenayah dan satu budaya berdiam dan tidak ambil kisah.
MENGHALANG SEBARANG BENTUK KEGANASAN
Laporan PBB menekankan keperluan untuk melarang segala bentuk keganasan dan pentingnya pendekatan kebangsaan yang diselaraskan bagi menangani masalah itu, sentiasa menghormati dan menggalakkan penyertaan kanak-kanak.
Laporan itu menunjukkan cabaran menamatkan keganasan terhadap kanak-kanak memerlukan satu pendekatan berbilang disiplin menyatukan strategi tindakan and pencegahan yang utuh, yang menumpukan pada empat "P": Perlindungan kanak-kanak, Pencegahan Keganasan, Pendakwaan penjenayah serta Penyertaan Kanak-kanak.
Laporan itu menekankan bahawa untuk mencegah dan bertindak terhadap keganasan pada kanak-kanak, usaha-usaha yang diambil mestilah berbilang pendekatan dan mengikut bentuk keganasan, persekitaran dan pesalah. Tidak kira apa sahaja tindakan yang diambil, kepentingan kanak-kanak itu mesti diutamakan.
KEGANASAN TERHADAP KANAK-KANAK
Laporan itu berkata tiada alasan boleh diterima bagi keganasan terhadap kanak-kanak dan mereka tidak boleh diberi perlindungan yang kurang daripada orang dewasa. Laporan itu menambahkata keganasan terhadap kanak-kanak boleh dicegah. Kerajaan-kerajaan mesti melabur dalam dasar-dasar yang berasaskan kepada bukti dan program-program untuk menangani faktor-faktor yang menyumbangkan kepada keganasan terhadap kanak-kanak.
Kerajaan-kerajaan juga menanggung tanggungjawab utama dalam menegakkan perlindungan bagi kanak-kanak dan capaian kepada perkhidmatan serta meningkatkan kapasiti keluarga untuk menawarkan penjagaan bagi kanak-kanak dalam persekitaran yang selamat.
Menurutnya, kanak-kanak yang mudah terdedah kepada keganasan ditentukan oleh umur dan kapasiti mereka. Ada kanak-kanak, oleh kerana jantina, kaum, asal-usul etnik, kecacatan atau status sosial khasnya mudah terdedah kepada keganasan dan memerlukan perhatian tambahan.
Yang paling penting ialah hakikat kanak-kanak berhak menyuarakan pandangan mereka dan pandangan mereka itu perlu dipertimbangkan dalam perancangan dan pelaksanaan dasar dan program-program.
BANTULAH ANAK-ANAK KITA
Laporan itu memperincikan syor-syor yang ditujukan khasnya bagi kerajaan-kerajaan, merujuk kepada fungsi perundangan, pentadbiran, kehakiman, membuat dasar, penyampaian khidmat dan fungsi-fungsi institusi sementara yang lain ditujukan bagi peranan pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani, sektor swasta dan media.
Syor laporan itu antara lain termasuk:
# Komitmen kebangsaan dan tempatan diperkukuhkan dan tindakan diambil untuk menangani keganasan dalam segala persekitaran, untuk menjaga dan memulihkan mangsa kanak-kanak, untuk meningkatkan kesedaran dan menjalankan penyelidikan dan kutipan data.
# Sebarang keganasan terhadap kanak-kanak adalah dilarang sama sekali. Ini boleh dilakukan dengan menghantar mesej jelas merentasi masyarakat-masyarakat yang apa-apa bentuk keganasan terhadap kanak-kanak tidak boleh diterima dan tidak sah daripada segi undang-undang sementara pada waktu yang sama memperkukuhkan norma-norma sosial positif, bukan keganasan. Tindakan undang-undang yang utuh dan yang boleh dikuatkuasa harus dilaksanakan untuk menghalang keganasan terhadap kanak-kanak.
# Pencegahan mesti diutamakan menerusi satu rangkakerja perundangan dan dasar yang konsisten yang melarang segala bentuk keganasan; mencabar norma-norma sosial yang membenarkan keganasan.
# Kapasiti bagi mereka yang bekerja dengan dan untuk kanak-kanak mesti dipertingkat dengan konsisten melalui bantuan bantuan jangka panjang dan sistematik.
# Kanak-kanak mesti diberi kebebasan bersuara kerana mereka boleh melakukan sumbangan signifikan dalam menjelaskan masalah keganasan terhadap mereka dan juga bentuk khidmat dan bantuan lain yang mereka boleh percaya dan gunakan.
# Dimensi gender dalam keganasan terhadap kanak-kanak mesti ditangani secara terbuka oleh kerana lelaki dan wanita menghadapi risiko berlainan merentasi persekitaran berbeza. Kesemua penyelidikan dalam keganasan terhadap kanak-kanak dan strategi untuk mencegah dan bertindak terhadapnya harus mengambil kira faktor jantina. Khasnya, kajian itu mendapati keperluan bagi lelaki dan wanita memainkan peranan aktif dan menunjukkan kepimpinan dalam usaha mengatasi keganasan.
# Sistem laporan mesra kanak-kanak dan khidmat mestilah mudah untuk dicapai untuk membolehkan kanak-kanak menyuarakan dengan penuh keyakinan apa-apa yang membimbang atau menyakitkan mereka. Memastikan khidmat khidmat sulit boleh didapati bagi kanak-kanak termasuk mereka yang paling mudah terdedah kepada keganasan yang mencabar konsep lapuk anak-anak adalah `milik' mereka.
Hakikatnya, kanak-kanak harus mempunyai hak yang sama seperti anggota keluarga dewasa yang lain untuk mencari nasihat sulit dan bantuan.
Oleh Jeswan Kaur
Bernama