Rabu, 14 November 2007

Anugerah beri kesan negatif kepada PBT


PELBAGAI pihak melontarkan pandangan berbeza mengenai tindakan Kerajaan Negeri Selangor memberi Anugerah Penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak mencatat prestasi memuaskan. Ada yang menyokong dan ramai pula membantah. Isnin lalu, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjadi penerima pertama 'Anugerah Penyapu' itu kerana gagal mencapai sasaran kutipan hasil cukai semasa dan tunggakan tahun lalu. Anugerah Khas sebatang penyapu yang diikat riben itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada wakil jabatan dan agensi berkenaan. Selain siaran televisyen, keesokannya pula disiarkan oleh hampir semua akhbar arus perdana. Menurut Dr Mohamad Khir, anugerah penyapu itu sebagai simbolik dan peringatan kepada pegawai atasan jabatan kerajaan dan PBT supaya membersihkan sikap tidak produktif kakitangan bawahan.

Soalnya apakah tindakan menyampaikan anugerah penyapu itu agak mengaibkan dan bercanggah dengan nilai ketimuran. Apakah pendekatan itu boleh menjamin PBT berkenaan akan lebih cemerlang dan tidak adakah cara lain yang lebih memberi semangat kepada agensi terbabit. Dalam tatasusila masyarakat Melayu dan juga kaum lain, penyapu membawa konotasi yang amat negatif seperti sial dan kotor. Kita seharusnya perlu sensitif memandangkan kakitangan awam, termasuk PBT juga mempunyai sumbangan yang besar. Apa salahnya agar tindakan menegur secara bersemuka, perjumpaan tertutup dan memperkenal sistem bintang atau taraf sebagai pendekatan bagi merangsang agensi kerajaan mencapai prestasi yang disasarkan. Teguran membina dilihat lebih sesuai kerana ia dapat memberi kesedaran kepada kakitangan agensi terbabit dan pada masa sama, mengetahui masalah sebenar mereka dan seterusnya bersama-sama mengatasinya.

Yang Dipertua PBT dianggap pemimpin di daerah masing-masing dan bayangkan apabila beliau meninjau projek di kampung, sudah pasti ada yang memandang sinis bahawa 'dialah penerima anugerah penyapu', sekali gus menjadi lawak ejekan, sindiran yang akhirnya boleh menjatuhkan maruah. Difahamkan, cara sedemikian pernah diamalkan di Jepun, Korea Selatan dan Jerman. Bagaimanapun, pemberian penyapu bukanlah budaya masyarakat kita dan ia boleh disalah tafsir oleh sesetengah pihak. Budaya kita mengelak daripada mengaibkan orang lain. Lainlah kalau majlis itu dilakukan secara tertutup. Jika ingin memberi anugerah, mengapa Kerajaan Selangor tidak berfikir cara lain yang lebih berkesan seperti menghadiahkan mesin rumput atau pembersih hampa gas yang tujuannya untuk membersihkan sesuatu.

Kita bimbang apabila sesuatu organisasi itu ditimpa rasa malu dan aib, ia boleh mengundang kesan negatif, malah memburukkan keadaan terutama dalam aspek produktiviti. Tiadakah cara lain yang lebih tertib dan berkesan untuk menjana kecemerlangan PBT? Mengapa tidak PBT bermasalah dipulihkan dengan cara lain jika prestasi masih rendah dan tidak memuaskan? Misalnya dengan menukar pegawai atasan dan kakitangan bermasalah. Cuba tanya pada diri sendiri, kalau kita sendiri yang menerima penyapu itu, tentu kita akan berasa malu. Apapun alasan diberikan, hakikatnya pemberian penyapu itu dilihat tidak sesuai dan memberi isyarat tidak baik. Mungkin ada alasan kukuh, menyebabkan sesuatu PBT itu gagal mengutip hasil cukai tidak memuaskan. Kebiasaannya, PBT yang terletak di kawasan pinggir bandar atau luar bandar, menghadapi kesukaran mengutip hasil cukai. Daerah Hulu Selangor adalah antara kawasan yang terpinggir berbanding daerah lain di negeri itu. Kita harus faham, kebanyakan penduduknya tidak bekerja tetap yang mengharapkan hasil pertanian atau bekerja sendiri menyara kehidupan. Berbanding Petaling Jaya, Subang Jaya atau Shah Alam, tentunya sukar bagi PBT Hulu Selangor memungut hasil yang banyak.


Berita Harian