Rabu, 14 November 2007

Akta Pekerja Asing perlu tindakan lebih tegas


ISU mengenai pekerja asing kini semakin mendapat perhatian umum kerana kebanjiran mereka bukan saja menafikan hak dan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan, bahkan menimbulkan pelbagai implikasi sosial. Keadaan itu bertambah rumit dengan kehadiran sejumlah besar lagi kehadiran pendatang tanpa izin atau mereka yang tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan. Kita akui kemasukan pekerja asing turut membantu membangunkan ekonomi negara terutama dalam sektor perladangan dan pembinaan, namun kehadiran sesetengah daripada mereka membawa bersama-sama budaya sendiri yang tidak sesuai dengan budaya tempatan boleh menimbulkan kesan negatif hingga meresahkan rakyat negara ini. Justeru, apa juga langkah yang diambil kerajaan bagi menangani masalah ini sudah pastinya dialu-alukan. Rata-rata rakyat Malaysia sememangnya mengharapkan langkah tegas kerajaan. Pandangan yang sama turut disuarakan pada Perhimpunan Agung Umno, minggu lalu. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri turut melahirkan kebimbangannya dan meminta majikan supaya tidak terlalu 'ketagih' mengambil pekerja asing, sebaliknya berusaha meningkatkan keupayaan teknologi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar. Justeru adalah menjadi tanggungjawab agensi kerajaan tertentu menetapkan satu peraturan supaya majikan mengiklankan keperluan pekerja dan mengutamakan rakyat tempatan sebelum membuka peluang kepada pekerja asing. Serentak itu, negara juga perlu menguasai dan menggunakan teknologi moden sejajar dengan langkah ke hadapan menjadi negara maju menjelang 2020. Kementerian Sumber Manusia juga perlu mengenal pasti kuota pekerja asing yang diperlukan dalam sektor tertentu saja dan selebihnya diisi pekerja tempatan.

Kenyataan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, kelmarin bahawa Akta Pekerja Asing akan diwujudkan tidak lama lagi sudah pasti melegakan banyak pihak. Bagaimanapun, peraturan baru itu sukar dilaksanakan sekiranya tidak diwartakan dan disusuli dengan tindakan perundangan. Sebelum ini kita tidak mempunyai akta khusus mengenai pekerja asing dan adalah diharapkan dengan kewujudan akta berkenaan, kemasukan pendatang asing dapat diatur dan dikawal lebih berkesan selain memberi layanan lebih komprehensif kepada mereka terutama dari segi prosedur penggajian, aduan dan perlindungan insurans. Kita berharap selepas ini tidak ada lagi majikan memberi perlindungan kepada pekerja asing tanpa izin. Kita juga tidak mahu mendengar ada pekerja asing ditipu dan tidak dibayar gaji oleh majikan yang terlalu mementingkan keuntungan. Perbuatan menipu dan menganiaya pekerja asing adalah satu tindakan yang mencabul hak asasi mereka dan tidak sepatutnya dibiarkan kerana ia boleh mencemarkan nama baik negara.

Kita akui, jumlah pekerja asing di negara ini sudah terlalu ramai. Sehingga 30 September lalu saja, 2.2 juta pekerja asing bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini tidak termasuk kira-kira 500,000 warga asing yang dilaporkan masuk tanpa permit. Adalah diharapkan agensi kerajaan terbabit akan mengambil tindakan secara bersepadu dan tidak berlaku sebarang percanggahan dari segi tanggungjawab di antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam menangani isu itu. Malah, selain penggubalan undang-undang berkaitan pekerja asing, dasar tangkap dan hantar pulang pekerja asing tanpa izin mestilah dibuat secara berkala dan kerap. Perancangan teliti dan penguatkuasaan yang lebih berkesan dan mengelak daripada amalan sogokan mesti dijadikan budaya kerja.


Berita Harian