LAPORAN khas Berita Harian mengenai wujud kesilapan fakta dalam beberapa tajuk buku teks, manakala sesetengah kandungannya tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa, memerlukan perhatian serius daripada pihak terbabit. Serentak dengan kebimbangan itu, kita juga perlu memastikan pelajar bukan saja mentelaah buku teks dan menghafalnya untuk tujuan lulus peperiksaan, tetapi juga menatapinya sebagai satu sumber ilmu pengetahuan berguna. Langkah itu bukan saja bertujuan melahirkan modal insan yang menepati kehendak pasaran pekerjaan, bahkan penting bagi mengisi dada pelajar dengan maklumat tepat dan terkini mengenai sesuatu atau peristiwa supaya mereka lebih memahaminya. Laporan yang mendedahkan mengenai kesilapan fakta dalam buku teks Sejarah, umpamanya, bagaimanapun tidak mengejutkan kita kerana sebelum ini pun sudah ada banyak pihak memperkatakannya. Agak menghairankan ialah ketiadaan langkah proaktif yang benar-benar serius membetulkan kesilapan mahupun mengubah isi kandungan buku yang dikatakan tidak sesuai itu, walaupun ia diketahui umum terutama oleh pakar dalam bidang berkenaan. Kita berharap mereka yang bercakap mengenai perkara itu turut menyampaikan maklumat kesilapan itu dan cadangan kepada pihak berkuasa.
Kita sependapat dengan tokoh sejarah terkenal negara, Prof Datuk Emeritus Dr Khoo Kay Kim bahawa kesilapan beberapa fakta dalam buku teks Sejarah Tingkatan Dua tidak boleh dibiarkan tanpa pembetulan. Selain kesilapan fakta, buku teks sejarah di sekolah menengah juga didapati gagal menerangkan secara jelas mengenai sesuatu peristiwa dengan terperinci. Bagi mengatasi masalah itu, adalah wajar Panel Penilai Buku Teks Kementerian Pelajaran memilih sendiri panel penulis buku teks dan bukannya menyerahkannya kepada kontraktor yang mendapat tender memilih penulisnya. Kita khuatir kontraktor mengambil kira faktor kos dan keuntungan ketika membuat pemilihan yang kesannya boleh menjejaskan mutu kandungan buku berkenaan. Kontraktor bagaimanapun, masih boleh melantik Jawatankuasa Kawalan Mutu Kandungan Buku Teks bagi memastikan mereka menepati sukatan pelajaran serta mematuhi garis panduan kementerian. Bagaimanapun, pemantauan utama dan pemilihan penulis hendaklah dilakukan secara terus oleh pihak kementerian supaya buku teks itu bukan saja menjadi bahan bacaan, tetapi juga memberi maklumat dan ilmu kepada pelajar.
Kita agak terkejut apabila soal selidik di kalangan 170 guru di sekitar Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Labuan dan beberapa daerah di Selangor mendapati kebanyakan guru memilih tidak menggunakan buku teks sekiranya ada pilihan lain. Kira-kira 65 peratus mendapati buku teks kurang membantu, manakala 56 peratus menyatakan menggunakan buku teks kerana terpaksa mematuhi arahan kementerian. Isi kandungan buku teks yang tidak selari dengan perkembangan semasa menjadikannya tidak selari dengan kehendak dalam kertas peperiksaan, berbanding buku latihan. Justeru, sesuai dengan pelbagai pembaharuan dilakukan Kementerian Pelajaran, diharapkan semua pihak terbabit mengambil inisiatif yang lebih serius untuk meneliti semula kandungan buku teks. Langkah ini penting bukan saja supaya ia menepati kehendak pendidikan dan memudahkan guru mengajar, tetapi juga supaya generasi kini memahami sejarah sebenar. Buku teks seharusnya menimbulkan minat pelajar mentelaah sebagai sumber ilmu. Kandungan buku teks juga seharusnya menggalakkan pelajar berfikir dan berupaya mengolah jawapan berdasarkan kefahaman diperoleh, bukannya berdasarkan hafalan semata-mata.
Berita Harian