Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo
Hukuman tidak bermaksud penghinaan. Hukuman sebenarnya merupakan peringatan untuk memperbetulkan keadaan dan bertaubat, dan bukan untuk menjatuhkan maruah mana-mana individu.
Dalam kes di mana sensitiviti budaya dan perasaan individu langsung tidak dihiraukan, apa yang terjadi? Ini satu pengajaran bagi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo apabila anugerah `penyapu' beliau kepada majlis-majlis tempatan dan agensi-agensi kerajaan negeri dibidas pelbagai pihak.
Ramai berpendapat tidak wajar bagi Dr Mohamad Khir untuk berbuat demikian. Isu `anugerah penyapu' ini sehinggakan dibangkit di Parlimen pada 13 November. Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) mempersoalkan sama ada menghadiahkan penyapu, yang dalam budaya kita dianggap membawa sial, sebagai wajar.
Sementara itu, kesatuan sekerja kakitangan awam, Cuepacs, berkata ia menerima panggilan daripada anggota-anggota yang tidak senang dengan pendekatan yang diambil oleh Menteri Besar.
Dr Mohamad Khir pada 12 November di majlis anugerah khidmat cemerlang menyampaikan sebatang penyapu masing-masing kepada Majlis Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Tanah Hulu Selangor kerana gagal mengutip cukai taksiran melepasi sasaran 50 peratus seperti yang telah ditetapkan bagi 2006. Beliau juga memberi amaran kepada agensi-agensi yang gagal menepati sasaran bagi 2007 bahawa mereka juga akan menerima `anugerah' yang sama.
Dan dalam membidas mereka yang mengecam tindakannya, Dr Mohamad Khir berkata penyapu itu bukannya untuk membawa sial tetapi untuk memperbetul keadaan.
JANGAN HINA
Pengarah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) Darshan Singh tidak bersetuju dengan logik Dr Khir.
"Terdapat banyak lagi cara untuk mengenakan hukuman dan lagipun anda tidak perlu melakukannya di khalayak ramai. Yang pasti, tidak terpampang di muka hadapan akhbar-akhbar," kata beliau kepada Bernama.
Darshan berkata hukuman itu boleh jadi dalam bentuk menahan kenaikan pangkat, pergerakan gaji dan sebagainya.
"Jangan jatuhkan hukuman kerana gagal kutip wang. Apa mesej yang hendak disampaikan oleh Dr Mohamad Khir, adalah majlis-majlis tempatan perlu tumpukan pada usaha mengutip wang semata-mata dan mengabaikan tanggungjawab lain? Haruskah kerajaan-kerajaan tempatan memaksa orang ramai membayar? Bolehkah mereka menyita dan menjual harta benda orang ramai? Bagaimana pula dengan nasib orang miskin?"
Beliau berkata mungkin ada alasan munasabah mengapa sasaran kutipan itu tidak dapat dipenuhi.
Walau apapun, Dr Mohamad Khir tidak perlu menghina pegawai-pegawai seperti Presiden Majlis Daerah Hulu Selangor Tukiman Nail dengan menghadiahkan penyapu kepadanya," kata beliau.
PENDEKATAN SALAH
Darshan berkata NCCC memang tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh Dr Mohamad Khir kerana ia merendahkan mereka yang bekerja sebagai tukang sapu dan pembersih.
"Melalui tindakannya itu, adakah Menteri Besar ini juga mengecam golongan pekerja ini sebagai tidak menunjukkan prestasi memuaskan dan sebab itulah mereka sentiasa memegang penyapu di tangan? Bagi saya inilah yang ditunjukkan oleh langkah menganugerahkan penyapu," katanya.
"Jangan menghina mereka yang malang. Saya berharap ini kali pertama dan terakhir anugerah seperti ini diberikan. Kami meminta semua yang mahu mengambil tindakan seperti itu untuk memikirkan balik bagi mengelakkan sesiapa dihina.
"Walau apapun, Tukiman Nail adalah seorang pegawai tinggi kerajaan yang telah berkhidmat lebih 30 tahun. Beliau, seperti juga mana-mana manusia lain, mempunyai maruah diri yang perlu dihormati," kata beliau lagi.
MENYALAHKAN PIHAK LAIN
Sementara itu, ahli psikologi bebas Valerie Jaques memberitahu Bernama bahawa langkah Dr Mohamad Khir sebenarnya menolak balik masalah pihak berkuasa kepada orang ramai.
"Apa yang terjadi kepada kepimpinan melalui teladan? Adakah majlis-majlis tempatan tidak bertanggungjawab kepada Menteri Besar bagi prestasi mereka? Jika mereka gagal menunjukkan prestasi memuaskan, bukankah menjadi tanggungjawab beliau untuk menentukan apa yang silap di sebalik menyampaikan penyapu kepada mereka dan melupakannya?"
Dari segi psikologi penerima, beliau berkata rakyat Asia yang dikenali bagi tingkahlaku pasif-agresif seringkali gagal untuk mempertahankan hak mereka.
"Dalam kes ini, mereka yang menerima penyapu itu tidak buat kecoh. Mereka dengan senyap menerimanya. Ini satu daripada aspek tingkahlaku pasif-agresif.
"Ia menunjukkan rasa hormat apabila anda memilih untuk berdiam dan bukan mempertahankan apa yang benar?"
"Secara ringkas, tingkahlaku pasif-agresif tidak membantu menyelesaikan apa-apa. Jika ini berlaku di negara Barat, penyapu itu akan dikembalikan kepada pemberi," katanya.
ADA CARA LEBIH BAIK
Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk A. Vaithilingam berkata terdapat cara lebih berperikemanusiaan dalam menghukum seseorang.
"Penyapu tidak dilihat positif dalam budaya Malaysia. Jika anugerah penyapu menjadi kebiasaan, hanya pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab akan mengamalkannya," kata beliau kepada Bernama.
Laporan Khas oleh Jeswan Kaur
Bernama