Ahad, 18 November 2007

Manfaatkan Daging Korban Kepada Yang Benar-benar Memerlukannya


Di kalangan umat Islam Malaysia yang majoritinya kini sudah mencapai status golongan menengah, pasti ada yang akan mempersoalkan adakah ibadat korban yang kerap mereka tunaikan pada Hari Raya Aidiladha telah mencapai matlamatnya.

Ini kerana tuntutan ibadat korban itu sendiri ialah pengagihan daging haiwan yang dikorbankan itu di kalangan golongan fakir miskin yang jarang-jarang berpeluang atau langsung tidak berkemampuan untuk menikmati rezeki istimewa dari Allah itu.

Sejajar dengan kenaikan taraf hidup sekarang, bilangan fakir miskin di negara ini semakin hari semakin berkurangan, manakala bilangan umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikan ibadat korban kian hari kian bertambah.

Lantas berlakulah apa yang dikatakan pengagihan secara tangkap muat sehingga ada daging korban yang terperosok dalam peti sejuk selama berminggu-minggu kerana penerimanya yang berkemampuan sudah naik muak memakan daging.

Perkembangan itu memperlihatkan seolah-olah ibadat korban terutama di dalam kelompok masyarakat berada atau kelas menengah, kebanyakannya di kawasan bandar, sebagai lebih kepada aktiviti sosial daripada memenuhi tuntutan agama.


PROGRAM Q4L

Justeru, Muslim Aid Asia (MAA) bersama-sama Muslim Aid Australia, organisasi bantuan dan pembangunan antarabangsa yang menyelaras program "Qurban For Life (Q4L), mengajak umat Islam di negara ini untuk menyertai program ini bagi mendekati saudara seagama yang tidak mampu menikmati daging dan hidup dalam kedaifan berbanding umat Islam di negara ini.

Pengarah MAA, Wan Rusli Wan Muda selaku penyelaras program berkata Q4L telah 18 tahun dilaksanakan oleh rangkaian Muslim Aid dan pengagihan daging korban telah dihantar hampir ke seluruh dunia Islam yang dirundung kemusnahan dan penderitaan seperti di Afghanistan, Afrika, Indonesia, Iraq, Kashmir dan Palestin malah rakyat termiskin di Malaysia.

Bertemakan 'Sedekah Dari Rakyat Malaysia Untuk Masyarakat Dunia', MAA melaksanakan ibadat korban melalui kaedah teknologi moden dan sistem pengagihan yang teratur agar manfaatnya dapat dikecapi masyarakat Islam seluruh dunia, katanya.

Muslim Aid mempunyai rangkaian pejabat yang menjana kewangan di London, Munich dan Sydney. Alamat pejabat MAA di sini ialah Muslim Aid Asia Sdn Bhd, 8-1-3, Menara Mutiara Bangsar, Jalan Liku, 59100 Kuala Lumpur.

Pejabat-pejabat lain ialah di Indonesia, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Somalia, Sudan, Iraq dan ia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di Nigeria, Cameroon, Iran, Kemboja, Thailand dan China untuk menyaring dan menyalurkan bantuan.


JENIS-JENIS KORBAN

MAA menawarkan tiga jenis sedekah korban iaitu 'Sadaqah Qurban'(RM350 untuk satu bahagian korban), 'Sadaqah Daging Bertin'(RM200 bersamaan setengah bahagian) dan 'Sadaqah Makanan'(Derma RM100).

Menurut Wan Rusli, pemberian bantuan berupa daging dalam tin sudah dilaksanakan oleh rangkaian Muslim Aid sejak 1989 di Australia di mana penyembelihan dilakukan di pusat-pusat penyembelihan yang bertauliah dan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga Persekutuan Majlis Agama Islam Australia.

Sebahagian besar binatang ternakan adalah dari ladang milik Muslim Aid sendiri, jelas beliau.

"Apa yang cukup menarik ialah daging korban yang ditinkan sudah siap sedia untuk dimakan dan boleh disimpan lebih lama. Oleh itu, ia boleh dihantar kepada umat Islam yang kekurangan makanan di seluruh dunia," katanya.

Wan Rusli menyifatkan pengetinan daging sebagai kaedah terbaik memandangkan penghantaran perlu dilakukan ke kawasan-kawasan yang daif dari segi infrastruktur seperti ketiadaan bekalan elektrik.

Beliau menekankan bahawa program berkenaan adalah kesinambungan daripada projek amal MAA untuk mengurangkan penderitaan rakyat di seluruh dunia melalui program menghapuskan kemiskinan.


KONSEP KORBAN MAA

Lazimnya, mereka yang miskin hanya akan menikmati kemewahan daging pada Hari Raya Aidiladha sahaja malah ada juga berlaku pembaziran kerana mendapat daging yang berlebihan atau daging yang disimpan lama telah rosak kerana ketiadaan kemudahan simpanan.

Justeru, Wan Rusli yakin konsep korban anjuran MAA tidak akan menjejaskan stok atau bekalan makanan kerana pengagihan bukan terhad kepada sesuatu masa sahaja.

Menurut beliau, seekor kambing bebiri atau bahagian korban yang bernilai RM350 boleh menghasilkan sebanyak 24 tin daging korban. Setiap tin adalah seberat 454gm dan isinya boleh dimakan terus oleh satu keluarga seramai lima orang.

Wan Rusli juga menjelaskan sumbangan sebanyak RM350 untuk seekor kambing bebiri merangkumi kos penyembelihan, pemprosesan, penghantaran dan pengedaran bagi memastikan daging korban sampai ke sasarannya.


SUMBANGAN DAGING KORBAN

Program Makanan Sedunia mendedahkan setiap 3.5 saat seorang penduduk dunia atau 24,685 orang setiap hari mati akibat kelaparan.

Ironinya, fenomena ini berlaku di negara majoriti penduduknya Islam disebabkan peperangan atau penderitaan akibat bencana alam.

Justeru, Wan Rusli yakin program Q4L dapat memastikan bekalan daging bertin sentiasa ada dan boleh diagihkan kepada golongan yang memerlukan dengan lebih berkesan.

"Berkat keprihatinan rakyat Malaysia melaksanakan korban bersama MAA pada musim lalu (1427H), telah membolehkan rangkaian MAA membantu memberi makanan kepada lebih kurang 500,000 mangsa kebuluran beragama Islam di serata dunia," jelas beliau.

Pada musim Hari Raya Aidiladha ini, proses penyembelihan dijangka dilaksanakan pada 20 hingga 23 Disember 2007 (10 hingga 13 Zulhijjah 1428).


KENAPA AUSTRALIA

Wan Rusli menjelaskan Australia menjadi pilihan proses penyembelihan kerana di Malaysia masih belum ada penternak yang boleh membekalkan kambing bebiri dalam jumlah yang banyak.

Tahun lepas, sebanyak 3,000 ekor kambing bebiri disembelih di Fletcher International Exports, Albany, Perth, Australia dan dua kontena daging beku tanpa tulang seberat 33,000 kilogram yang telah siap dipotong, dihantar ke kilang Pertima, Terengganu untuk proses masakan dan pengetinan.

"Dari segi kelengkapan di rumah penyembelihan, kita masih belum berkeupayaan untuk menandingi Australia yang boleh melakukan penyembelihan sebanyak 8,000 ekor sehari dari hanya satu rumah sembelih," katanya.

Kemudahan penyimpanan bilik sejuk juga adalah terhad untuk menyimpan daging-daging yang telah disembelih sementara menunggu untuk diproses, dimasak dan ditinkan, tambah beliau.

Dari segi harga, kambing bebiri di Australia adalah jauh lebih murah dan ini bertepatan dengan objektif Muslim Aid yang keutamaannya adalah untuk membantu seramai mungkin masyarakat Islam yang kebuluran di seluruh dunia.

"MAA tidak menetapkan jumlah sasarannya namun Rangkaian Muslim Aid memerlukan sumbangan anda untuk meneruskan jihad menentang kelaparan dengan menyalurkan segala bantuan ataupun korban anda kepada saudara seagama di seluruh dunia," katanya.

Mereka yang ingin menyertai program ini, atau untuk memperoleh maklumat terperinci bolehlah menghubungi talian 03-2288 1996 atau melayari laman web www.muslimaidasia.com untuk mendapat kepastian atau ketelusan di mana agihan yang telah dibuat MAA.


Oleh Rosliwaty Ramly
Bernama