Gugusan Manjoi, yang dahulunya dikenali sebagai perkampungan Melayu di pinggir bandar, kini bakal meneroka era kemajuan yang mungkin tidak pernah dimimpikan penduduknya apabila tiga buah pekan bakal dibangunkan sekaligus di kawasan ini.
Perkampungan Melayu terbesar di negara ini dengan lebih 40,000 penduduk kini melangkah ke fasa kedua Projek Permodenan Gugusan Manjoi dengan cadangan pembinaan Bandar Manjoi, Pekan Tengku Hussein dan Pekan Datuk Ahmad Said.
Fasa pertama yang dikenali Kompleks Pentadbiran dan Komersial Gugusan Manjoi, yang melibatkan pembinaan kompleks sukan, pejabat Tanah dan Daerah Ipoh dan pusat perniagaan, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Okt lepas.
Penduduknya pernah membantah apabila perkampungan itu dimasukkan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedekad lalu.
GUGUSAN MANJOI
"Kemasukan Gugusan Manjoi di bawah MBI telah meningkat kualiti prasarana yang membawa impak kepada memantapkan daya saing penduduk.
Gugusan Manjoi kini menjadi sebuah kampung Melayu yang memiliki prospek ekonomi," kata ahli Parlimen Tambun Datuk Husni Hanadzlah.
Gugusan Manjoi meliputi Kampung Manjoi, Tengku Hussein, Sungai Tapah, Datuk Ahmad Said dan Jelapang Baru seluas kira-kira 600 hektar merupakan kawasan bekas lombong.
Selain beratus unit rumah kedai yang bakal didirikan untuk perniagaan dan projek keusahawanan, Gugusan Manjoi juga akan menikmati kemudahan sebuah pasar raya besar apabila Mydin menempatkan pasarayanya mulai tahun depan.
"Gugusan Manjoi juga kini mengalami transformasi menjadi pusat pelancongan bercirikan tamadun Melayu Islam. Beberapa rumah kediaman bertukar menjadi pakej 'homestay' yang mendapat sambutan pelancong. Peniaga juga melaporkan perniagaan naik berlipat ganda," kata Husni.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi, Datuk Nazri Ismail pula berkata pemodenan Gugusan Manjoi akan membuka ruang kepada penduduk menikmati peluang ekonomi yang baik dan kehidupan yang lebih selesa.
PUSAT PERTUMBUHAN EKONOMI
Katanya, tiga pekan yang dibangunkan itu akan menjadi pusat pertumbuhan ekonomi penduduk dengan dilengkapi kemudahan sosial dan perkhidmatan yang secukupnya.
Beliau berkata Gugusan Manjoi akan disediakan dengan mini stadium, pusat membeli belah, rumah kedai, hentian bas dan teksi, pasar, padang rekreasi serta kawasan Industri Kecil dan Sederhana.
"Ruang terbuka luas kepada penduduk untuk meningkatkan ekonomi dengan kedai-kedai moden yang telah dirancang supaya menjadi pusat tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan tetapi kawasan sekitar," katanya.
Penduduk juga diberi peluang membangunkan tanah kediaman mereka sebagai bangunan perniagaan atau kondominium, katanya.
Nazri berkata kerajaan negeri bagaimanapun tidak akan membenarkan penjualan tanah oleh penduduk Gugusan Manjoi secara besar-besaran semata-mata untuk mendapat keuntungan segera.
"Kita mahu semua penduduk mendapat manfaat daripada projek pembangunan dan pemodenan Manjoi kerana ia secara tidak langsung menjadikan nilai tanah di perkampungan ini begitu tinggi harganya," katanya.
Beliau berkata kerajaan mahu tanah dan rumah milik penduduk Gugusan Manjoi yang merupakan perkampungan terbesar Melayu di Malaysia perlu dikekalkan supaya ia boleh diwarisi oleh generasi masa depan.
Ketua Kampung Tengku Hussein Yeop Ghazali Alang Ketak berkata apa yang bakal dinikmati penduduk tidak lama lagi ialah "bandar" dibawa masuk ke dalam kampung mereka.
KEMUDAHAN
"Kalau dulu kita dikenali sebagai kampung di pinggir bandar tetapi kini kemudahan prasarana bandar telah dinikmati penduduk. Penduduk Gugusan Manjoi sangat bertuah," katanya.
Beliau berkata penduduk telah menikmati banyak kemudahan, di Gugusan Manjoi sahaja terdapat tujuh buah sekolah iaitu empat sekolah rendah dan tiga menengah.
Mengenai kebimbangan peniaga terhadap kemasukan pasar raya besar seperti Mydin, beliau percaya kebimbangan itu sama seperti apa yang dirasai penduduk apabila Gugusan Manjoi dibawa masuk dalam pentadbiran MBI.
"Dulu takut cukai pintu tidak mampu dibayar tetapi cukai yang dikenakan sebenarnya rendah berbanding faedah yang dinikmati seperti jalan, lampu jalan dan sistem longkang yang moden," katanya.
Beliau berkata jika dilihat daripada pengalaman kawasan lain yang menempatkan pasar raya besar, kawasan perniagaan kecil sekitarnya sebenarnya akan mendapat manfaat kerana lebih ramai pembeli bertumpu ke kawasan berkenaan.
Ketua Kampung Sungai Tapah Omar Hamzah juga yakin keadaan sebaliknya akan dirasai oleh para peniaga sedia ada apabila wujud pasar raya dan pekan baru di Gugusan Manjoi.
"Sekarang penduduk Gugusan Manjoi sendiri keluar ke bandar Ipoh atau pekan seperti Jelapang dan Silibin untuk membeli-belah. Bila wujud pekan di Gugusan Manjoi, kuasa membeli itu akan kembali ke dalam kampung," katanya.
Fokus Berita Oleh Zabidi Osman
Bernama
Gambar dipetik dari laman web http://www.perak.gov.my/