Satu gerbang mengagumkan dengan ungkapan "Ke Arah Sebuah Negara Membangun" menyambut pelawat-pelawat yang tiba di Myanmar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon.
Kebanyakan warga asing akan mengecam ungkapan itu sebagai tidak lebih daripada propaganda junta tentera yang mentadbir negara itu, tetapi itulah harapan dan wawasan rakyat Myanmar tidak kira mereka memihak kepada pemimpin pro demokrasi Aung San Suu Kyi atau junta.
Sekumpulan wartawan Asean yang melawat negara itu baru-baru ini, tidak sampai sebulan selepas tindakan keras tentera terhadap bantahan yang diketuai oleh sami-sami Buddha di Yangon.
Tetapi mereka terkejut kerana Yangon telah kembali pulih seperti sediakala dan hanya sebilangan kecil anggota tentera yang kelihatan di atas jalan-jalan. Lelaki-lelaki bersarong dan baju meneruskan aktiviti harian mereka. Ini dengan jelas bertentangan dengan tanggapan umum bahawa negara itu berada dalam keadaan huru-hara dan tidak selamat bagi warga asing, angkara media tertentu.
Bagaimanapun, kesengsaraan rakyat oleh kerana sekatan yang dikenakan oleh Barat adalah jelas.
Keadaan ketenteraman awam juga baik dan menghairankan wartawan-wartawan kerana baru hampir sebulan yang lepas seorang jurugambar media ditembak mati semasa bantahan di atas jalan yang bertukar menjadi rusuhan. Pemandangan bangunan-bangunan lama, warisan penjajahan British, pagoda-pagoda yang menawan dan kehebatan rakyatnya dalam menghadapi hidup yang sukar begitu menakjubkan.
PUBLISITI BURUK BAGI MYANMAR
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program lawatan wartawan ASEAN di bawah naungan Jawatankuasa-Kecil ASEAN mengenai Penerangan (ASEAN-COCI), daripada 25 hingga 29 Okt. Sejumlah 18 wartawan daripada sembilan negara Asean mengambil bahagian dalam lawatan itu.
Semasa pertemuan antara wartawan-wartawan Asean dan Persatuan Penulis dan Wartawan Myanmar (MWJA), media Barat dibidas kerana laporan berat sebelah mengenai perkembangan di Myanmar khasnya terhadap rusuhan oleh penyokong-penyokong Liga Kebangsaan Bagi Demokrasi (NLD) yang diketuai oleh Suu Kyi.
"Laporan-laporan berat sebelah ini memberi gambaran salah akan situasi sebenar di Myanmar. Media Barat menggambarkan penyokong-penyokong NLD sebagai berjuang untuk membebaskan rakyat Myanmar daripada satu sistem penindasan yang membawa kesengsaraan kepada semua," kata Setiausaha MWJA Dr Tin Tun Oo.
"Saya bukan menyokong kerajaan junta. Tetapi mana-mana kerajaan, tidak kira sistem pemerintahan mana, bertanggungjawab bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara. Sebagai contoh jika berlaku rusuhan di negara anda dan orang ramai tidak dapat dikawal, apa tindakan yang perlu diambil kerajaan anda untuk mengawal keadaan?" kata beliau.
Dan sekarang, tanpa bantahan, kata beliau keadaan adalah aman dan orang ramai boleh meneruskan dengan kegiatan harian mereka seperti pergi kerja atau membuka kedai-kedai mereka.
Dr Tin menjemput mereka dengan tanggapan negatif akan negara itu supaya datang ke negara itu untuk melihat sendiri akan keadaan sebenar.
RAKYAT PERLU MENETAPKAN MASA DEPAN MEREKA
"Bantahan di atas jalan tidak boleh menyelesaikan kebuntuan politik di Myanmar. Ia hanya akan memburukkan keadaan dan yang sengsara nanti adalah rakyat. Kerajaan tentera telah wujud sejak 1962 dan perubahan besar tidak boleh dibuat semalaman ataupun melalui jalan singkat.
"Kami mahukan sebuah kerajaan demokratik di Myanmar, tetapi mengikut acuan sendiri dan bukan di bawah telunjuk kuasa besar tertentu," tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sejarah Myanmar, Dr Khin Maung Nyut berkata laporan negatif yang digembar-gemburkan mengenai Myanmar oleh media Barat bukanlah sesuatu yang baru.
"Mereka telah melakukannya selama ini. Agenda mereka adalah untuk menggulingkan kerajaan tentera tetapi perbuatan mereka hanya membawa kesengsaraan kepada rakyat, dan menakutkan warga asing dan pelabur.
Ini ditambah dengan sekatan yang dikuatkuasa oleh kuasa-kuasa besar dalam usaha mereka mengenakan tekanan pada junta hanya menyusahkan orang ramai dengan menyebabkan masalah ekonomi, jelas beliau.
SUU KYI PERLU TURUT DIPERSALAH
Dr Maung Nyut berkata: "kami mencintakan negara kami dan mahu membangunkannya dan jika Suu Kyi mencintai negaranya beliau mesti menghentikan penyokong-penyokongnya daripada menimbulkan lebih banyak masalah.
"Beliau harus mula bekerjasama dengan kerajaan sedia ada untuk membuka laluan bagi perdamaian dan mewujudkan satu sistem demokratik yang sesuai dengan latarbelakang sosial dan budaya Myanmar selain memulihkan keyakinan antarabangsa," tambah beliau.
MASA DEPAN
Lawatan itu juga kebetulan semasa "Thadingyut" ataupun pesta cahaya (26 Okt) yang diraikan oleh penganut Buddha yang mewakili 90 peratus daripada 55 juta penduduk Myanmar. Wartawan-wartawan itu kagum dengan sambutan di pagoda terkemuka di Yangon, Shwedagon, dengan beribu-ribu orang membanjiri tempat ibadat itu membawa bunga dan persembahan lain untuk mengamalkan dengan bebas kepercayaan mereka.
Kemudian, wartawan-wartawan itu dibawa ke pusat pentadbiran baru Myanmar iaitu NayPyiTaw lebih kurang 400 km dari Yangon, yang mengambil masa satu jam untuk sampai dengan penerbangan. Mereka diberi taklimat akan pelbagai rancangan pembangunan negara itu dan masalah yang dihadapi kerana sekatan.
Pertemuan dengan para pegawai itu dengan jelas membayangkan harapan mereka dalam membangunkan Myanmar seiring dengan sembilan lagi rakan Aseannya.
Lawatan itu berakhir dengan para wartawan diraikan dengan muzik, lagu dan tarian tradisional Myanmar dan juga lawatan ke kampung tradisional yang menempatkan rumah-rumah kumpulan ethnik seperti Kachin, Kayah, Chin, Mon, Bamar, Rakhine dan Shan.
Lawatan itu pastinya membuka mata akan realiti di sebalik negara yang tidak banyak diketahui itu dan nasib rakyatnya.
Laporan Khas Oleh Ahmad Kamil Mohamed Tahir
Bernama