BACHOK - Memang membingungkan apabila terdapat kes kanak-kanak yang baru berusia 10 tahun sudah mempunyai nafsu dan perasaan berahi untuk merogol kanak-kanak yang berusia lima tahun.
Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC 1) Datuk Abd. Rahim Hanafi berkata, fenomena ini bukan suatu cerita rekaan tetapi satu kes yang dilaporkan berlaku dengan melibatkan kanak-kanak yang belum mencapai usia baligh.
Menurutnya, ia tidak termasuk kes-kes yang direkodkan dan tersenarai di dalam statistik seperti kes rogol, penyalahgunaan dadah, merempit dan curi motosikal di kalangan remaja berusia 17 hingga 19 tahun.
"Kanak-kanak yang menjadi mangsa rogol dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan didapati wujud kesan kemasukan dan koyakan pada kemaluan mangsa yang membuktikan dakwaan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang melakukannya," katanya.
Abd. Rahim berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Motivasi Gerak Sepadu Pencegahan Jenayah Rukun Tetangga (RT) Jajahan Bachok di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tangok dekat sini kelmarin.
Program anjuran RT dan Polis tersebut dihadiri lebih 700 peserta. Tambahnya, dalam menangani kes jenayah melibatkan kanak-kanak dan remaja, tanggungjawab perlu dipikul oleh ibu bapa di rumah dengan pelbagai pendekatan pendidikan yang berkesan.
Oleh Torek Sulong
Kosmo! 19 November 2007