Ahad, 18 November 2007

Pangkal huruf nama jadi penentu nasib


NEW YORK: Pangkal huruf nama memang mempunyai kesan atau berpengaruh bagi menentukan nasib seseorang, dakwa sekumpulan penyelidik.

Media ScienceDaily melaporkan, penyelidik yang menggelar fenomena itu 'kesan huruf nama', melakukan kajian dan mendapati ia sememangnya memberi kesan kepada kehidupan pemiliknya.

"Namun, kami dapati, ada kesan buruk jika seseorang itu terlalu suka nama sendiri yang pangkalnya C atau D yang didakwa menggalakkan mereka berasa selesa dan enggan berusaha gigih untuk berjaya berbanding mereka yang mempunyai pangkal huruf A atau B," kata ketua penyelidik, Leif Nelson daripada Universiti California.

Mereka membuat kesimpulan itu selepas meneliti fenomena dari segi akademik. Gred berdasarkan huruf seperti A, B, C dan D misalnya menggambarkan pencapaian berbeza.

Nelson dan rakan penyelidik meneliti pencapaian purata graduan sarjana bidang perniagaan daripada sebuah universiti tempatan, sepanjang tempoh 15 tahun.

Mereka dapati pelajar yang pangkal huruf namanya bermula dengan C atau D memperoleh mata purata gred lebih rendah berbanding mereka yang mempunyai pangkal huruf A atau B.

- Agensi