Khamis, 8 November 2007

Budak empat tangan, kaki selamat dibedah


Lakshmi stabil selepas doktor buang lebihan anggota badan


BANGALORE: Seorang budak perempuan India yang dilahirkan dengan empat kaki dan tangan berada dalam keadaan stabil semalam, sehari selepas menjalani pembedahan maraton bagi membuang lebihan anggota badannya itu.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Lakshmi, masih berada di unit rawatan rapi di sebuah hospital di Bangalore, selatan India selepas menjalani pembedahan yang disifatkan doktor sebagai 'tempoh kritikal 72 jam' berikutan prosedur berkenaan.

"Dia adalah budak perempuan yang baru berusia 2 tahun, tetapi sudah menjalani pembedahan besar. Sehubungan itu, apa yang kita boleh buat sekarang adalah tunggu dan lihat perkembangannya," kata jurucakap Hospital Sparsh, Dr Mamatha Patil.

Lakshmi, yang digelar segelintir penduduk kampungnya sebagai kelahiran semula dewi Hindu yang sama dengan namanya, dilahirkan melekat pada tulang pinggulnya dengan 'kembarnya' yang terbantut pembesarannya ketika masih dalam rahim.

Berikutan itu, Lakshmi terpaksa mewarisi lebihan kaki, tangan, ginjal dan anggota badan lain ditinggalkan kembarnya itu.

Kelmarin, sekumpulan lebih 30 pakar bedah terbabit dalam pembedahan lebih 24 jam bagi membuang lebihan kaki dan tangan, pemindahan buah pinggang dan membentuk semula kawasan pinggulnya dengan harapan Lakshmi dapat menjalani kehidupan biasa kelak.

"Malah, di luar jangkaan kami, pembedahan pembentukan semula berjalan lancar," kata Ketua Pakar Bedah, Sharan Patil selepas pembedahan itu.

- AP