SEATTLE: Seorang wanita bertindak ganas menggigit hingga putus bibir bawah teman lelakinya ketika sedang bermesra dituduh menyebabkan kekasihnya mengalami kecacatan kekal.
Kejadian berlaku malam Isnin lalu ketika mereka berkucupan apabila wanita berkenaan secara tiba-tiba menggigitnya dan sempat meludah cebisan daging berkenaan, kata mangsa, Thomas J Brummel, 49, kepada Timbalan Syerif King County.
Berikutan itu, Laura Roberta Cutler, 44, didakwa kelmarin dengan tuduhan serangan domestik tahap kedua dan diarah membayar wang ikat jamin AS$75,000 (RM255,000).
"Polis turut dipanggil ke sebuah rumah di White Center, selatan Seattle dan menemui Brummel di depan rumah berlumuran darah dengan sebahagian besar bibir bawahnya hilang," kata Timbalan Ketua Detektif pejabat syerif berkenaan, Scott Tompkins dalam laporan afidavit kes berkenaan.
Anggota polis menemui cebisan daging bibir lelaki itu di lantai bilik tidur yang dipenuhi bulu kucing.
Doktor di Hospital Highline pula gagal menyambung semula bahagian bibir itu semula dan menegaskan lelaki itu berkemungkinan mengalami kecacatan kekal yang menjejaskan penampilannya.
Pasangan kekasih itu tinggal bersama dua penyewa lain semuanya dalam proses pemulihan dadah dan bersetuju berkongsi sebuah rumah yang diharap dapat mengikis masalah ketagihan mereka.
Namun, dalam aduannya, Tompkins menulis yang Cutler mabuk ketika detektif tiba di tempat kejadian dan 'sikap kasarnya jelas menjadi bukti keadaan dirinya tidak terkawal'.
-AP