Rabu, 14 November 2007

FBI dapati Blackwater bersalah


WASHINGTON: Satu laporan rasmi Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) mengesahkan pengawal keselamatan firma Blackwater bersalah dan mencabuli undang-undang apabila menggunakan kekerasan dengan menembak mati 14 daripada 17 penduduk awam Iraq.

Akhbar The New York Times memetik pegawai awam dan tentera yang mengetahui kes berkenaan, melaporkan Jabatan Kehakiman sudah menilai semula hasil siasatan itu biarpun pihak FBI sebaliknya masih menyiasat kejadian tembakan di Baghdad pada 16 September lalu.

Malah tiada sebarang bukti menyokong dakwaan petugas Blackwater yang mereka ditembak penduduk awam berkenaan.

Pihak FBI turut membuat kesimpulan yang tiga kematian terbabit sebaliknya wajar mengikut peraturan yang membenarkan penggunaan kekerasan sebagai reaksi ancaman yang jelas.

Penyiasat terbabit juga memutuskan sekurang-kurangnya lima pengawal Blackwater melepaskan tembakan dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, hanya seorang pengawal menjadi tumpuan siasatan dan dipertanggungjawabkan ke atas beberapa kematian.

Sementara itu, seorang pegawai kerajaan yang terbabit dengan siasatan itu memberitahu agensi berita Associated Press (AP) semalam yang tiada sebarang rumusan dicapai berhubung kes berkenaan manakala pegawai Jabatan Negara pula mendakwa beliau tidak pasti jika jabatan berkenaan sudah dimaklumkan dengan hasil siasatan berkenaan.

Kedua-dua pegawai terbabit enggan dikenali berikutan status siasatan yang masih diteruskan itu.

Bagaimanapun, jurucakap Blackwater, Anne Tyrrell berkata pihaknya menyokong kebertanggungjawaban industri keselamatan itu serta peraturan yang berkaitan.

"Jika seorang itu didapati bersalah, kami akan menyokong keputusan itu. Tetapi mereka yang menjadi tumpuan, setakat ini belum disoal siasat pihak berkuasa."

- AP