Bina patung tembaga dengan aksi 'goyang gerudi'
JAKARTA: Penyanyi dangdut terkenal Indonesia yang mencetuskan kontroversi menerusi gaya tarian geleknya, Inul Daratista sekali menggemparkan masyarakat tempatan apabila membina patung dirinya sendiri.
Inul dilaporkan mahu menunjukkan patung itu untuk tatapan penduduk semalam tetapi membatalkannya kerana ada aktivis dan anggota pertubuhan tertentu marah terhadap perbuatannya itu. Malah, patung itu dilaporkan terpaksa diturunkan kerana pihak yang mengkritik Inul merancang memusnahkannya, kata polis.
Patung yang disumbangkan penyanyi itu sendiri untuk tatapan umum, ditegakkan di kawasan mewah Pondok Indah di selatan Jakarta semalam lima hari tetapi diselubungi kain putih sebelum diubah tempat, lapor laman web akhbar Detik.com.
Penduduk kampung bertindak menurunkannya selepas pihak polis mendedahkan, kumpulan yang menentang gaya tariannya mengancam untuk memusnahkan patung berkenaan yang diletakkan tidak jauh dari kediaman penyanyi itu.
Patung dibuat daripada tembaga, yang menonjolkan gaya Inul memegang mikrofon sambil mempersembahkan tarian rutinnya menelan belanja kira-kira 80 juta rupiah (RM29,678).
"Lebih baik kami menyelamatkannya sebelum dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab," ketua persatuan penduduk kawasan itu, Warsito Sanjoto, dipetik sebagai berkata, lapor akhbar Jakarta Post.
Warsito juga berkata, kehadiran patung Inul hanya bertujuan mengindahkan kampung mereka. Malah, ada enam lagi patung lain yang diberi oleh penduduk setempat dan diletakkan di lokasi tertentu di sekitar kampung berkenaan, katanya lagi.
Patung Inul itu sebelum ini dikawal anggota polis, tentera dan pengawal persendirian kawasan kejiranan terbabit.
Inul menjadi antara penyanyi paling mendapat sambutan hangat di Indonesia empat tahun lalu kerana tarian yang dipanggil ngebor atau 'goyang gerudi'.
Bagaimanapun, tarian yang dipersembahkan Inul mencetuskan kontroversi di negara paling ramai umat Islam itu, dengan ulama menyifatkannya sebagai aksi lucah dan menggesa pihak berkuasa mengharamkan konsertnya.
Antara pengkritik paling lantang terhadap tarian Inul termasuk panyanyi Rhoma Irama yang juga digelar 'Raja Dangdut' Indonesia.
- Reuters