Selasa, 13 November 2007

Mengangkasakan Universiti Tempatan


Polemik mengenai kualiti pengajian tinggi, khususnya kecemerlangan pelajar dan kewibawaan pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) bukan isu baru. Banyak pihak sejak awal penubuhan beberapa IPT awam pada awal 1970-an berpolemik menerusi pelbagai perspektif dan isu.

Cuma apabila diumumkan pada 8 November bahawa tiada sebuah pun IPT di Malaysia tersenarai di kalangan 200 universiti terbaik dunia berdasarkan penarafan Times Higher Education Supplement (THES) tahun ini, polemik tersebut mula menarik perhatian setiap peringkat masyarakat, termasuklah pucuk pimpinan negara.

Malah bahang mula terasa sebaik sahaja pengumuman Kajian Reputasi Akademik dan Hasil Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Awam (Ares) pada 2 November menunjukkan tidak ada universiti dalam negara yang mencapai tahap terbilang dan boleh dianggap bertaraf dunia.

Hasil kajian yang dibuat Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan membabitkan 17 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan menunjukkan hanya satu IPTA tempatan mencapai tahap cemerlang iaitu Universiti Sains Malaysia (USM).


TAMPARAN BERBISA

Jika pun ada yang tidak terkejut dengan kedua-dua berita penarafan itu, ia masih merupakan satu tamparan berbisa yang seharusnya menyentap kita daripada terus terlena dalam zon selesa, khususnya bagi mereka yang terbabit secara langsung dalam bidang pengajian tinggi.

Ini memandangkan kerajaan sendiri memberi perhatian kepada inisiatif meningkatkan mutu modal insan negara ini terutamanya di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Dalam RMK-9, tumpuan juga diberikan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dan hab pengajian tinggi rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka melahirkan kebimbangannya tentang hasil penarafan THES dan mengarahkan semua pihak mengambil pelbagai langkah untuk memperbaiki kedudukan IPT tempatan supaya setaraf dengan IPT luar yang cemerlang. Langkah itu diperlukan agar selaras dengan usaha kerajaan menarik lebih ramai pelajar asing melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed pula mengeluarkan arahan tegas kepada semua naib canselor universiti tempatan supaya menjadikan reputasi akademik sebagai strategi utama dalam inisiatif penambahbaikan institusi masing-masing.

Menurut Mustapa, beliau memandang serius keputusan tersebut dan secara intensif dan terancang melaksanakan pelbagai pembaharuan untuk mempertingkatkan kecemerlangan IPT tempatan selari dengan matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

"Universiti tempatan mestilah melipatgandakan usaha untuk menambahbaik prestasi institusi masing-masing agar tergulung di kalangan universiti terbaik dunia," katanya dalam kenyataan sebaik sahaja penarafan THES diumumkan.

PSPTN yang dilancarkan Perdana Menteri 27 Ogos lepas menetapkan matlamat meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur IPT dan membina rangkaian dengan institusi pendidikan tinggi ternama dunia.

Sebagai saluran utama penjanaan modal insan, IPT perlu diberi perhatian khusus kerana melaluinya akan lahir generasi muda yang berpendidikan, berkemahiran, kreatif, inovatif, bersikap progresif dan berfikiran kritis.


MARKAH PENILAIAN

Bagaimanapun, banyak pihak di kalangan ahli akademik di dalam dan luar negeri mempersoalkan ketepatan dan kesahihan kaedah penilaian THES yang menilai aspek kualitatif (reputasi dan kecemerlangan akademik) tetapi diterjemahkan secara kuantitatif (penarafan).

"Banyak kategori digunakan untuk membuat penilaian seperti peruntukan kepada penyelidikan. Sudah tentu negara di mana ekonominya lebih baik akan mendapat tempat yang lebih tinggi. Begitu juga unsur bilangan penuntut dan pensyarah luar negeri," demikian pandangan tokoh akademik Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim apabila dihubungi Bernama untuk mendapatkan pandangannya mengenai penarafan THES.

Penarafan (ranking) THES ini dikendalikan syarikat swasta British iaitu Quaquarelli-Symmonds (QS) bagi pihak THES (akhbar yang berpejabat di London yang melaporkan isu-isu tertentu berkaitan pengajian tinggi) sejak 2004.

QS mengumumkan beberapa perubahan dibuat setiap tahun dari segi kaedah penilaian bertujuan menjadikan kajiannya lebih tepat. Antaranya kaedah untuk menentukan petikan dalam penerbitan berwasit jurnal antarabangsa.

Akibatnya, penarafan hampir semua institusi yang tersenarai termasuk IPT ternama di negara-negara maju yang berada dalam kedudukan 20 terbaik pada tahun 2006 juga turut berubah.

THES membuat penarafan ke atas lebih 3,000 universiti setiap tahun.

Pemberian markah THES berdasarkan penilaian sepakaran (40 peratus), penerbitan yang dirujuk (20 peratus), nisbah pensyarah-pelajar (20 peratus), penilaian majikan (10 peratus), pensyarah antarabangsa (5 peratus) dan pelajar antarabangsa (5 peratus).

Dalam penarafan terbaru ini, Universiti Malaya menduduki tangga 246 daripada 192 tahun lalu, USM 307 daripada 277, Universiti Kebangsaan Malaysia 309 daripada 182, dan Universiti Pertanian Malaysia 364 daripada 292. Universiti Teknologi Malaysia pula buat pertama kali termasuk dalam senarai 500 dan berada di tangga 415.

Penarafan tersebut juga mengukuhkan kedudukan universiti ternama Amerika Syarikat dan Britain sebagai yang terbaik secara keseluruhannya, diterajui Harvard, Cambridge, Oxford, Yale, Imperial College London, Princeton, antara dalam senarai 10 teratas.


BUKAN PENGUKUR MUTLAK

Prof Datuk Dr Zaini Ujang, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM berpendapat penarafan THES perlu dilihat sebagai satu instrumen menambahbaik tahap kecemerlangan akademik dan penanda aras persaingan di peringkat antarabangsa.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa penarafan tersebut bukanlah pengukur mutlak tentang kecemerlangan universiti dan indeks kesarjanaan sesebuah negara.

Tegasnya juga, walau apapun kedudukan universiti tempatan, umum tidak boleh menafikan betapa institusi pengajian tinggi yang dibina sejak sebelum merdeka berjaya memainkan peranan melahirkan golongan terpelajar dan profesional untuk membangunkan Malaysia sehingga mencapai tahap yang ada kini.

Menurut beliau, untuk tampak lebih kompetitif dalam konteks penarafan THES, Malaysia tidak mempunyai banyak alternatif lain untuk melonjakkan kedudukan IPTAnya.

"Sebelum alternatif tersebut diputuskan kita perlu menjawab dua persoalan penting: Apakah penarafan tersebut memang menjadi keutamaan sebagai indikator utama kecemerlangan akademik dari segi perkembangan pengajian tinggi di Malaysia?

"Dan apakah dasar-dasar semasa seperti kuota bumiputera dan penyusunan semula masyarakat wajar dikorbankan semata-mata untuk membolehkan universiti tempatan mendapat kedudukan tinggi dan mengangkasakan Malaysia dalam senarai penarafan THES?" soal Prof Zaini.


REPUTASI PENSYARAH

Dalam masa yang sama, Prof Zaini, yang juga penulis buku Universiti Mendukung Tradisi Intelektual (1993) turut mengingatkan kecemerlangan akademik sesebuah universiti sangat bergantung kepada reputasi pensyarah dan budaya ilmu yang terbina di kalangan warga kampusnya.

Reputasi tersebut, kata beliau bukan sahaja daripada segi kelayakan akademik dan profesional malah pembabitan aktif secara berterusan membangunkan korpus ilmu atau kesarjanaan, dan kepakaran yang diiktiraf rakan sepakaran pada peringkat antarabangsa.

Antara ciri utama profesor ternama yang menjadi fokus penarafan THES, menurut Prof Zaini ialah pembabitan dalam aktiviti akademik pada tahap tertinggi menerusi keahlian dalam lembaga editor jurnal terkemuka, peranan dalam organisasi profesional antarabangsa dan penerbitan dalam jurnal terkemuka yang dirujuk penulis lain.

"Itu sebabnya pasaran kerja di kalangan ahli akademik antarabangsa menjadi lebih dinamik dan kompetitif. Ramai profesor terkenal ditawarkan pakej perkhidmatan lumayan bukan sahaja daripada segi gaji bahkan disediakan sumber kewangan untuk geran penyelidikan, pembantu penyelidik dan peralatan canggih.

"Dalam beberapa kes tertentu, seseorang profesor ternama yang baru dilantik turut diberi kemudahan lain seperti sekumpulan pensyarah serta penyelidik peringkat pasca kedoktoran dan cuti sabatikal bagi membolehkan aktiviti penyelidikan dan kesarjanaan dilakukan secara intensif," kata Prof Zaini.


SUMBANGAN IDEA BARU

Sementara itu, Prof Khoo pula berpendapat untuk menarik perhatian sarjana dunia dan mencapai taraf antarabangsa, sesebuah universiti itu harus menjadi landasan kepada penghasilan idea-idea baru.

"Bagi golongan lama seperti saya sumbangan kepada kesarjanaan mesti diutamakan. Dari segi penyelidikan dan penulisan, ia seharusnya membuktikan keunggulan kita dari segi sumbangan dalam bidang-bidang tertentu.

"Kita juga mesti menggalakkan penuntut-penuntut universiti memberi perhatian kepada usaha melahirkan idea baru ini dan bukan setakat menghafal buku," kata beliau.

Di samping itu, menurut beliau, untuk sesebuah universiti menjadi berkaliber, ia turut perlu mempunyai ramai sarjana bertaraf antarabangsa.


KEKUATAN SENDIRI

Dalam memperhebatkan usaha dalam bidang penyelidikan umpamanya, Malaysia mungkin perlu memberi tumpuan kepada bidang di mana ia mempunyai kekuatan dan kelebihan.

"Kalau kita beri tumpuan kepada bidang sains seperti nuklear fizik, sudah tentu susah kita nak lawan Barat. Begitu juga kalau kita pilih industri yang memerlukan penggunaan tenaga buruh yang ramai, sudah tentu kita tidak boleh melawan China dan India," kata Prof Khoo.

Beliau berpendapat Malaysia mempunyai kekuatan dalam bidang alam sekitar tropika dan budaya Asia.

"Dalam bidang alam sekitar tropika umpamanya kita dari dulu lagi telah mengeksport barangan tropika ke China dan dalam bidang budaya Asia pula, kita sendiri telah menguar-uarkan slogan Malaysia Truly Asia. Sepatutnya kita lebih memahami budaya Asia daripada orang-orang lain.

"Untuk itu, dalam bidang penyelidikan dan pengurusan, kita seharusnya mengutamakan kedua-dua sektor ini. Kita sudah tentu boleh kalahkan orang lain," tegas Prof Khoo.

Sewajarnya, jika kita mahu mengangkasakan universiti kita, pihak yang telah diamanahkan untuk memacu usaha memperhebatkan pembangunan dan kemajuan pengajian tinggi ini perlu fokus dengan apa yang hendak dilakukan.

Kita tidak mahu nanti "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran" atau "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan"!


Oleh Melati Mohd Ariff
Bernama