Ahad, 18 November 2007

Makanan Memang Sedap, Tapi Bagaimana Dengan Tahap Kebersihan?


Pasar malam memang merupakan sebahagian daripada cara hidup rakyat Malaysia. Ia telah menjadi semacam satu kebudayaan sehingga sesebuah kawasan perumahan akan menjadi malap jika tidak terdapat pasar malam beroperasi di kawasan tersebut.

Pasar malam merupakan tempat bagi orang ramai membeli barangan keperluan harian, serta makanan seperti nasi ayam, nasi lemak, mi goreng, kuih tradisional dan makanan lain.

Pasar malam juga menarik ramai pengunjung dan memberi suasana perayaan setiap kali ia diadakan. Satu contoh yang paling menarik ialah pasar malam hari Sabtu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Oleh kerana masalah lalu lintas, pasar malam itu telah dipindahkan ke Lorong Tuanku Abdul Rahman yang letaknya berdekatan dengan jalan tersebut, menambahkan lagi kesibukan di kawasan Masjid India.

"Pada satu ketika, saya ke pasar malam dan terasa pula nak beli nasi ayam untuk anak-anak tapi mengubah fikiran bila melihat penjual memegang ayam yang telah dipotong dengan tangannya yang tidak beralas," kata Salman Salleh, seorang guru.


TABIAT BURUK

Menurut Salman apa yang beliau perhatikan, ramai penjual makanan yang tidak kisah untuk memakai sarung tangan plastik bila memegang makanan.

"Sarung tangan ini bukanlah mahal sangat, lagi pun pemakaiannya boleh menjamin kebersihan makanan yang dijual. Kadang kala mereka ada juga pakai apron, tapi nampak macam tak bersih aje," kata beliau.

Kata Salman, peniaga perempuan memang memakai tudung tetapi bagi yang lelaki mereka jarang sekali memakai penutup kepala.

"Hilang selera nak makan bila lihat mereka (penjual) ambil mudah sahaja menyentuh makanan dengan tangan.

"Adakah mereka mengambil langkah kebersihan seperti membasuh tangan mereka dengan cecair antiseptik atau paling kurang dengan sabun sebelum memegang makanan? Saya rasa tidak, apatah lagi mereka yang menjual makanan itu adalah dari kalangan orang pendatang," kata Salman.


NASI BRIYANI

Ahli perniagaan Ming Yao bersetuju dengan pendapat Salman.

"Saya yang dari jenis kaki makan tapi saya pun pentingkan kebersihan makanan.

"Kalau depan kita pun penjual makanan tunjuk dia tak kisah langsung pasal makanan, Tuhan saja yang tahu sama ada dia menjaga kebersihan semasa memasak makanan itu," kata Ming Yao.

Menurut Ming Yao, pada satu hari beliau telah bertandang ke sebuah kedai nasi briyani yang popular di Petaling Jaya dan memesan satu bungkus 'briyani bukhara' untuk dibawa pulang.

Beliau terkejut bila melihat pelayan, yang merupakan seorang imigran, dengan selambanya mengisi pek plastik yang mengandungi kuah dhal serta acar bersama nasi ke dalam kotak makanan yang sama.

"Bila saya tanya kenapa dia letak sekali dengan nasi, dia jawab pek plastik tu bersih," kata Ming Yao.

Bila Ming Yao menyatakan pek-pek plastik itu tidak semestinya bersih, walaupun baru keluar dari kilang, dan tidak sepatutnya menyentuh nasi, pelayan itu menjawab: "Ini bersih punya, mau beli tak mau beli?"

Kata Ming Yao, rakyat Malaysia ada yang mementingkan kebersihan tapi bukan bagi yang lain, terutamanya kaum pendatang.


PIHAK BERKUASA TEMPATAN

Seorang pegawai di jabatan kesihatan sebuah pihak berkuasa tempatan, yang namanya enggan disiarkan, berkata penjual makanan di pasar-pasar malam dimestikan mengikut beberapa peraturan.

"Penjual makanan dikehendaki memakai apron bersih dan penutup kepala. Mereka juga diberitahu untuk memakai sarung tangan jika boleh. Mereka mestilah membersihkan tangan serta jari dan mengunakan senduk, pengepit dan sudu untuk mengambil makanan."

Menurut pegawai tersebut, para peniaga makanan dimestikan hadir untuk ujian kesihatan serta mengambil suntikan anti-taun. Kata beliau, tindakan akan diambil terhadap peniaga yang didapati melanggar peraturan ini.

"Pegawai-pegawai jabatan kesihatan ada membuat pemeriksaan tentang tahap kebersihan. Tetapi kita tidak dapat memeriksa semua peniaga," kata beliau, sambil menambah sesetengah peniaga hanya memakai apron bila ternampak pegawai kesihatan sedang membuat pemeriksaan.

"Mereka akan kembali kepada tabiat lama mereka," kata beliau.


KANAK-KANAK MENJUAL MAKANAN

Kata aktivis sosial dan pengguna Fatimah Mansur, senario kanak-kanak menolong ibu bapa mereka menjual makanan di pasar-pasar malam merupakan perkara biasa.

"Sebagaimana yang kita tahu bagi kanak-kanak, tanpa tunjuk-ajar, mereka kurang menjaga kebersihan termasuk ketika memegang makanan dengan tangan mereka. Jadi terpulanglah pada ibu bapa yang juga penjual makanan untuk memberi tunjuk-ajar yang sepatutnya tentang nilai dan perlunya kebersihan," kata beliau.

Menurut Fatimah, gaya hidup yang bersih seharusnya menjadi satu budaya bagi semua rakyat Malaysia.

"Contohnya kita masih di belakang dalam aspek menjaga kebersihan tandas awam," kata beliau.

Menurut Fatimah, sikap 'saya sudah, apa peduli dengan orang lain' mestilah diubah.

Kata beliau, adalah sukar untuk mendapatkan status negara maju bila masih terdapat mereka yang mempunyai sikap negatif terhadap penjagaan kesihatan.

"Apakah kita perlu menunggu kerajaan mengisytiharkan hari kebersihan atau apakah kita perlu program menjaga kebersihan?" tanya beliau.


Oleh Zulkiple Ibrahim
Bernama