Banjir yang menjejaskan hampir setengah juta penduduk daerah Kuching yang tinggal di sepanjang Sungai Sarawak pada tahun 2003 mungkin masih segar dalam ingatan walaupun empat tahun sudah berlalu.
Kesinambungan daripada banjir terburuk selepas 1963 itu penduduk Kuching khasnya yang tinggal di sepanjang Sungai Sarawak Kanan dan Sungai Sarawak Kiri pastinya tidak dapat tidur lena setiap kali musim tengkujuh tiba.
Pengawal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Muhamad Yacub Kari berkata pengalaman banjir pada tahun 2003 telah memberi pengajaran kepada semua pihak dan pelbagai langkah keselamatan telah diambil termasuk memasang sistem amaran awal banjir.
"Sungai Sarawak merupakan antara sungai pertama di negara ini untuk mempunyai satu sistem amaran awal banjir yang canggih," katanya kepada Bernama.
Muhamad Yacub berkata sistem bernilai RM2.8 juta itu dikenali sebagai Remote Radio Communication Station (RRCS) dan menggunakan teknologi dan kepakaran Australia.
SISTEM TERANCAM
Stesen RRCS dipasang di 24 lokasi strategik di sepanjang Sungai Sarawak Kanan dan Sungai Sarawak Kiri pada penghujung tahun 2005 dengan setiap stesen itu dilengkapi dengan tolok paras air dan sensor hujan untuk memantau paras air dan sukatan hujan setempat.
"Setiap stesen RRCS juga dilengkapi dengan sistem siren yang mampu memberi amaran kepada penduduk dalam lingkungan kawasan satu kilometer," katanya.
Malangnya, Muhamad Yacub berkata sistem RRCS yang menjadi benteng kepada rakyat kini hanya dapat berfungsi 80 peratus kerana perbuatan vandalisme.
"Ketika ini lima daripada 24 RRCS yang kita pasang di sepanjang Sungai Sarawak telah pun rosak, beberapa kelengkapan seperti bateri, panel solar dan beberapa lagi peralatan telah dirosakkan ataupun dicuri," katanya.
Muhamad Yacub berkata oleh kerana Sistem RRCS merupakan sistem sokongan kepada Sistem Baraj Sarawak yang memainkan peranan penting dalam mengawal banjir, fungsi sistem baraj juga turut terjejas.
Sistem baraj dengan lima buah pintu yang masing-masing 25 meter lebar mampu mengeluarkan air 3500 mililiter sesaat ke laut.
LANGKAH DIAMBIL UNTUK MELINDUNGI SISTEM
Ketika ini pelbagai langkah sedang dilakukan oleh LSS untuk memastikan RRCS tidak terus menjadi mangsa vandalisme seperti mengadakan pemantauan berkala di setiap stesen RRCS melalui penubuhan satu pasukan bergerak LSS.
Muhamad Yacub berkata langkah terakhir yang boleh dilakukan oleh pihaknya jika masih berlaku vandalisme ialah dengan memindahkan stesen RRCS berkenaan ke kawasan baru dan langkah ini boleh menelan belanja RM170,000 bagi setiap stesen.
"Kita merayu kepada masyarakat agar bersama-sama menjaga harta benda awam ini kerana ia juga demi kebaikan semua, RRCS adalah harta rakyat, kalau ia dirosakkan bererti sama seperti rakyat merosakkan harta mereka sendiri," katanya.
Laporan khas oleh Amrizan Madian
Bernama