KEBEBASAN bersuara adalah hak individu dan dalam sistem demokrasi, semua pihak boleh menikmati kebebasan itu asalkan mereka tidak melanggar undang-undang negara berkenaan. Tetapi apa yang berlaku di ibu negara kelmarin menunjukkan ada pihak mencabar dan membelakangi undang-undang. Tindakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) meneruskan perhimpunan haram walaupun sudah dilarang mahkamah adalah keterlaluan serta mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam. Penganjur dan peserta demonstrasi jalanan itu, yang rata-rata berketurunan India harus akur bahawa selama ini kerajaan sudah memberi banyak kemudahan dan keselesaan hidup kepada golongan mereka. Kita ada menteri dan pegawai kanan berketurunan India, malah kita ada tokoh korporat, doktor dan jurutera daripada kalangan masyarakat India. Isu berkaitan pendidikan, ekonomi dan sosial membabitkan kaum itu banyak diselesaikan menerusi rundingan terus dengan kerajaan sama ada pada peringkat Pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan. Pada mesyuarat Kabinet setiap Rabu, misalnya, jemaah menteri sering membangkitkan isu berkaitan masyarakat India. Ada beberapa perkara yang dibincangkan secara tertutup kerana ia membabitkan perkara sensitif, tetapi kerajaan bersikap terbuka dan sentiasa membantu mereka. Pucuk pimpinan sejak dulu sentiasa memberikan sokongan dan bersimpati terhadap nasib masyarakat India. Malangnya, ada pihak yang berasa itu tidak mencukupi dan cuba bertindak di luar budaya berpolitik di negara ini.
Alasan kumpulan itu membantah tindakan Britain menghantar mereka ke Tanah Melayu sebagai buruh kira-kira dua abad untuk mengadakan perhimpunan itu tidak masuk akal. Mereka bukannya dipaksa ke negara ini sebaliknya kerana ia menjanjikan peluang pekerjaan dan kehidupan lebih selesa. Mereka seharusnya bersyukur kerana dapat tinggal dan bekerja di bumi bertuah Malaysia. Bayangkan jika mereka dan anak cucu mereka terus tinggal di India khususnya di bahagian selatan yang sebahagian masyarakatnya tidak ada pekerjaan tetap, tiada tempat tinggal dan menghadapi masalah makanan, kesihatan dan pelajaran. Kita memuji majoriti masyarakat India di negara ini yang bersikap rasional dengan tidak terpengaruh dengan tindakan kumpulan itu menyertai perhimpunan atau demonstrasi jalanan. Kita percaya masyarakat India boleh menyatakan hasrat atau meminta kerajaan melakukan sesuatu untuk mereka pada bila-bila masa dan tiada sesiapa menghalang. Mereka tidak perlu mengadakan tunjuk perasaan, sebaliknya boleh menyerahkan memorandum secara aman dan mengikut prosedur betul pada waktu pejabat.
Kita sedih walaupun perhimpunan Hindraf dikatakan akan berlangsung dalam suasana aman, realitinya sangat berbeza apabila mereka yang berhimpun enggan mematuhi arahan polis agar bersurai sehingga tercetus kekecohan. Mereka melakukan perbuatan sia-sia kerana petisyen yang hendak dihantar tidak dapat diserahkan, sebaliknya 241 orang ditahan termasuk mengambil keterangan 105 orang untuk membantu siasatan, manakala empat anggota polis cedera. Hakikatnya, perhimpunan seperti itu tidak harus berulang. Kerajaan mesti tunjukkan ketegasan supaya amalan buruk itu tidak menjadi budaya seperti di negara lain. Polis perlu menyampaikan mesej jelas kepada penganjur perhimpunan pada masa depan supaya jangan cuba menguji kesabaran kerajaan. Kita mahu pihak berkuasa menunjukkan ketegasan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba mencabar kedaulatan negara, apa lagi berniat untuk merenggang dan memecahbelahkan perpaduan kaum.
Berita Harian 27 November 2007